Mulai semalam, para pelajar Tingkatan 3 sedang bertungkus lumus menduduki peperiksaan bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Mengikut jadual, perjuangan mereka akan berakhir pada hari Khamis ini.
Di dalam keluarga kami tiada yang berada di Tingkatan 3 tahun ini. Yang ada adalah 2 orang anak saudara - seorang di Selangor dan seorang lagi di Terengganu iaitu Ain Farhani dan Syazni.
Selamat Berjuang kepada semua para pelajar Tingkatan 3. Moga dilimpahi rahmat, dicerahkan hati dan dianugerahi kecemerlangan. Ameen.
Merekalah antara perintis kepada sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) - satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu
menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan
psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS mentaksir bidang akademik
dan bukan akademik.
PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya
dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran.
(kutipan dari portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia)
Entahlah... kami sendiri pun tidak jelas dengan PBS ini. Apa yang diketahui hanyalah dari cakap-cakap orang sekeliling dan juga sumber rujukan yang terlalu umum.
Tengok dahululah hasil dari kumpulan perintis ini dan berdikit-dikit cuba memahami kaedah dan pendekatan yang dilaksanakan. Tambahan pula pada tahun hadapan anak sendiri yakni Nur Solehah yang akan menghadapinya, maka kami perlulah faham sefaham-fahamnya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kemusykilan di belakang hari. Inshaa ALLAH.
Cuma, apa yang diharapkan sistem ini dapat memberi kesan yang lebih baik kepada para pelajar terutama dari segi pembentukan sahsiah diri selari dengan kecemerlangan dalam pembelajaran. Paling utama para pelajar dapat menimba ilmu dalam suasana yang lebih ceria dan menyeronokkan tanpa tekanan dan deraan rohani dan jasmani.
Dengan kata lain, PT3 diharap lebih baik daripada SRP dan PMR.
1 comment:
Gud luck pada mereka
Post a Comment