Friday, September 10, 2010

Solat Raya

Hari ini Hari Raya Eid ul Fitr. Ianya disambut oleh umat Islam dikebanyakan negara termasuk di Malaysia dan juga oleh kami di Victoria, Australia. Sambutan yang menandakan berakhir sudah bulan Ramadhan dan kini bermula pula bulan Syawal.

Solat sunat Eid ul Fitr adalah antara tumpuan utama sambutan perayaan ini. Di sekitar Dandenong, terdapat beberapa tempat mengadakannya mengikut komuniti masing-masing.
Di masjid juga dilangsungkan solat sunat ini tetapi bukannya pada hari ini tetapi semalam. Ini kerana majoriti masjid di sini biasanya didominasi oleh masyarakat Turki yang merayakannya semalam.

Setiap tahun, biasanya kami bersolat sunat Eid ul Fitr di Monash University, Clayton. Berkumpul bersama rakan-rakan pelajar Malaysia serta masyarakat Muslim dari pelbagai bangsa, keturunan dan warna kulit.

Pada kali ini kami mengubah lokasi di mana terdapat komuniti Melayu (Khairat Melayu Islam Victoria – KMIV) menganjurkannya, bertempat di Mt Waverley Youth Centre.

Bagi kami, ini adalah tahun terakhir kami di Melbourne. Amat baik sekali jika dapat bersua muka dan berkumpul bersama-sama dengan mereka yang sebangsa dan sebahasa. Malah ramai di antaranya amat kami kenali dan rapat sekali. Melalui pertemuan ini dapatlah kami menyampaikan ungkapan perpisahan kiranya tidak bertemu lagi selepasnya.

Solat sunatnya sedikit lewat, melepasi jam 10:00 pagi baru dimulakan. Mengikut perancangan akan diteruskan pula dengan solat Jumaat kira-kira jam 12:30 tengahari.

Kami tiba sekitar jam 9:00 pagi. Ruang dewan yang disewa selesa sekali walaupun hanya dihampari tikar dan kanvas.
Menghampiri jam 10:00 pagi, ruang solat dipenuhi para jemaah. Dianggarkan hampir 500 orang yang turut serta. Alunan-alunan takbir dengan lengok kemelayuan yang dikumandangkan benar-benar meruntun jiwa, menghimbau kenangan di tanah air.

Intipati khutbah yang disampaikan oleh imam selepas solat sunat ringkas sahaja tetapi amat menyentuh perasaan. Pesanannya... jagalah solat pada setiap waktu, Insya Allah solat akan menjaga kita ketika di akhirat.

Seusai solat, masing-masing bersalaman dan berpelukan mesra sambil melafazkan ampun maaf atas segala salah dan silap yang dilakukan. Betapa indahnya Islam jika disebatikan dalam diri dan masyarakat.

Kami tidak menunggu lama walaupun bermacam-macam jenis juadah terhidang di meja, sama-sama memberi sama-sama merasa. Kami ada jemputan ziarah raya yang perlu dipenuhi sebelum masuknya waktu solat Jumaat, begitu juga selepasnya.

1 comment:

en_me said...

salam aidilfitri juger wat abg ropidi ittewww.. ja’alanallahu minal ‘aidin wal faizin, maaf zahir batin dr me yg jauh dimata..