Thursday, June 17, 2010

Tetamu Malaysia - Keluarga Dr. Hasnida

Dr. Hasnida adalah rakan sepenggajian Laili ketika di peringkat Sarjana Muda di UKM dahulu. Kini mengusahakan klinik perubatan di kawasan perumahan mereka di Bandar Tun Abdul Razak, Cheras. Suaminya, Prof. Dr. Hatta Sidi, Ketua Jabatan Psykiatrik di HUKM pula adalah rakan sekerja Laili. Berlainan jabatan tetapi di bawah fakulti yang sama.

Mereka sekarang berada di Melbourne. Bercuti sambil melancong sejak seminggu yang lalu. Turut serta adalah 3 orang anak mereka. Insya Allah mereka akan pulang ke tanah air pada hari ini.

Pada malam Isnin baru-baru ini, sekembalinya dari bermain salji di Mt. Buller, mereka singgah di rumah kami. Pertemuan yang tidak dirancang. Kesibukan di tanah air, rupa-rupanya membuka ruang berjumpa di perantauan.

Dan kebetulan ada rezeki untuk mereka, nasi amal sambal goreng yang dibeli dari jualan amal pembinaan masjid di sebelah petangnya masih banyak berbaki. Rezeki mereka. Jika tidak mungkin membazir sahaja kerana anak-anak kami tidak menyukai rasanya yang pedas.

Betapa cantiknya aturan Allah SWT. Setinggi-tinggi kepujian untukNya.

Sikap peramah dan suka merendah diri setiap ahli keluarga mereka memudahkan bicara. Anak-anak begitu cepat mesranya, bagaikan telah lama kenal. Saya sendiri pun pertama kali dapat mengenali mereka secara dekat.

Apabila lama tidak berjumpa, terlalu banyak perkara yang ingin diperkatakan. Dari soal keluarga dan kerja sehinggalah kepada perkembangan semasa di negara tercinta, dikongsikan penuh sedar dan semangat yang menggunung.

Hampir 3 jam bersama, tidak terasa masa begitu cepat berlalu. Tidak puas rasanya. Masih banyak hal yang ingin dibualkan. Namun mereka perlu beredar pulang ke rumah rakan mereka, Dr. Norzila di Clayton South.

Insya Allah ketemu lagi kita di tanah air nanti.

1 comment:

Hatta said...

Eli.... Baru terbaca sejarah pertemuan kita ketika awak diperantauan.. really nice dapat bertemu di sana. Di sini, kita sibuk dengan urusan masing2. Alhamdulillah ada WA Gp, dapat juga berhubung dan bertukar2 cerita dan bertanya khabar rakan seperjuangan.

From : Hasnida