Sunday, June 13, 2010

Musim Salji di Victoria

Tidak disangka-sangka, salji datang lebih awal pada musim sejuk tahun ini. Sehari dua ini, kesemua kawasan rekreasi salji di pergunungan telah pun mula dibuka. Maka bermulalah pesta main salji di Victoria. Berkebetulan pula esok (Isnin) pun hari cuti umum (Queen’s Birthday) di Australia.

Pemandangan salji di Falls Creek jam 5:00 petang hari ini
Purata suhu (siang hari) di pergunungan kini antara -1 hingga -4.5 darjah Celcius. Di malam hari berlebihan lagilah sejuknya. Tidak hairanlah salji mudah sahaja turun. Jika keadaan suhunya tidak berubah, tanpa diselangi panas, keindahan persekitaran bersalji pasti akan lebih menyerlah.

Bagi yang berminat, maklumat semasa boleh dirujuk di Victoria Snow Report. Laporannya sentiasa dikemaskini.

Di Victoria, terdapat kira-kira 10 kawasan bersalji yang menjadi tumpuan ramai. Falls Creek, Mt. Hotham, Mt. Buller, Mt. Baw-Baw dan Lake Mountain adalah antara yang terkenal.

Dengar khabar ramai rakan-rakan di sekitar Melbourne telah pun mengorak langkah ke sana. Lebih seronok lagi, para pelancong dari luar, terutama dari Malaysia turut sama dapat merasai pengalaman yang menyeronokkan ini. Tuah badan.

Insya Allah, kami akan pergi juga tetapi bukanlah sekarang. Tunggulah salji tebal sedikit. Lokasinya belum pasti. Mungkin jauh sedikit dari kunjungan kami sebelum ini.
Salji memutih, terhampar luas bagaikan permaidani. Indahnya ciptaan Illahi. SubhanaLlah.

No comments: