Friday, June 11, 2010

Demam Bola

Hari ini, bermulalah sepak mula Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan. Kejohanan terunggul bola sepak peringkat dunia yang dilangsungkan 4 tahun sekali. 32 pasukan bakal turun bertarung, berusaha memartabatkan negara masing-masing.

Kaki bola pasti tersenyum lebar. Yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Masing-masing mempunyai pasukan pilihan dengan para pemain sanjungan mereka. Setiap malam membawa ke pagi ada sahaja siarannya di kaca televisyen. Sudah pasti tidak dilepaskan. Slogan mereka; makan bola, minum bola, tidur bola, mandi bola dan apa sahaja...bola. Begitulah bersemangatnya mereka.

Saya tidaklah seumpama itu. Sekadar minat bola sahaja, bukannya kaki bola. Tidak larat untuk bersengkang mata di 'pagi buta' kerana bola. Malah ke stadium untuk menonton bola pun tidak pernah.
Bagi Izzuddin lain pula. Sanggup dia bangun pagi-pagi dan menontonnya sendirian. Malah ketika di tanah air dahulu pun (Piala Dunia 2006) dibuatnya. Namun, keizinan diberi ada syaratnya, hanya pada hari cuti sahaja, bukannya hari persekolahan.

Teringat semasa di tanah air dahulu. Ketika musim Piala Dunia, ramai yang berubah sikap. Mengambil cuti, lebih-lebih lagi cuti kecemasan menjadi mainan. Yang ponteng dan hilang ketika bekerja pun ada. Terlebih pelik lagi, tiba-tiba sahaja pelbagai penyakit cepat sekali berjangkit. Slip rawatan doktor (MC) menjadi bukti.
Aura Piala Dunia sememangnya membuatkan ramai orang tidak senang. Bukan sahaja pekerja, bos pun turut pening kepala. Produktiviti pun turut tidak menentu.

Di Australia, khususnya di Melbourne, bahang Piala Dunia semakin membara. Tambahan pula Australia adalah salah sebuah negara yang bertanding, berada di dalam Kumpulan D bersama-sama Jerman, Serbia dan Ghana. Di sana sini kelihatan pakaian hijau kuning keemasan dipakai penuh bangga. Sudah pasti ghairahnya lebih lagi berbanding di Malaysia.

Di Australia, bolasepak dikenali dengan nama soccer dan para pemainnya dipanggil socceroos. Ianya bukanlah permainan utama.

Australian football
, ringkasnya footy adalah permainan bolasepak kebanggaan rakyat Australia (foto sebelah). Corak permainannya hasil gabungan antara soccer dan rugby. Kini sedang rancak berlangsung kejohanan bolasepak peringkat kebangsaan, Australian Football League (AFL).

Di samping AFL, sekarang ini juga sedang berlangsung kejohanan rugbi peringkat kebangsaan di Australia, National Rugby League (NRL). Ianya antara sukan yang popular di Australia, di samping kriket dan tenis.

Dengan pelbagai kejohanan besar yang berlangsung serentak, membuatkan seluruh Australia dilanda demam bola. Setiap hari, dari awal pagi membawa ke pagi berikutnya membuatkan kaki bola benar-benar tenggelam dalam keghairahan yang tidak kunjung padam. Menggalahkan demam bola di tanah air.

No comments: