Alam persekolahan di tahun baru 2014 bermula sudah. Terujanya anak-anak setelah lama bercuti akhir tahun. Terlebih lagilah bagi yang baru melangkah ke alam persekolahan, tidak kiralah peringkat rendah mahupun menengah ataupun pra sekolah. Sibuknya anak-anak menandakan kesibukan sama dirasai oleh ibu bapa dan penjaga. Itulah rutin kehidupan seharian yang bakal dilalui sepanjang tahun ini.
Hadirnya tahun baru menandakan bertambahnya usia setahun lagi, sekaligus meningkat setahun dalam dunia persekolahan. Kini anak bongsu kami, Imran di Tahun 4, masih di sekolah lama, SK Hulu Kelang. Nur Solehah pula di Tingkatan 2 - MRSM Kota Putra, Besut. Manakala Nur Hanisah di Tingkatan 4 - SMK Lembah Keramat dan anak sulung kami, Izzuddin baru sahaja tamat persekolahan Tingkatan 5 di MRSM Serting, Negeri Sembilan.
Bagi negeri-negeri yang bercuti awal tahun baru 2014, hari ini adalah hari pertama persekolahan. Bagi negeri-negeri lain, semalam adalah harinya.
Majlis Multaqa' di Dewan Ulul Albab, MRSM Kota Putra |
Ketika menghantar Solehah ke MRSM, sempatlah kami sekeluarga (kecuali Izzuddin yang pergi umrah) bercuti beberapa hari di rumah Tok Ayah di Telok Menara, Terengganu. Seterusnya kami menginap di Bukit Keluang Beach Resort, hanya beberapa kilometer jaraknya dari MRSM Kota Putra. Itulah percutian terakhir kami sekeluarga untuk tahun 2013. AlhamduliLlah sempat juga diatur untuk anak-anak.
Kepada para pelajar, selamat kembali ke alam persekolahan. Berusahalah sedaya mungkin untuk menjadi anak-anak yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan menjadi penyejuk jiwa bagi ibu bapa yang membawa kejayaan hidup di dunia dan terlebih lagi di akhirat.
1 comment:
selamat bersekolah...
Post a Comment