Monday, September 26, 2016

PSRA - Selamat Berjuang..!

Mulai hari ini (Isnin-26/09) sehingga ke penghujung minggu (Jumaat-30/09) adalah antara hari-hari yang mencabar bagi anak-anak pelajar Darjah 6 di sekolah rendah agama di Selangor. Selama 5 hari berturutan, mereka memerah otak menghadapi Ujian PSRA (Penilaian Sekolah Rendah Agama) yang diseliakan oleh JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor). Anak kami, Muhammad Imran dan sepupunya, Adam Khaliq adalah antara calonnya.

Dua minggu yang lepas mereka bertungkus lumus menjawab soalan-soalan UPSR dan minggu ini perjuangan dengan PSRA pula. Dalam erti kata lain... ketika anak-anak Tahun 6 di negeri lain atau yang tidak bersekolah rendah agama telah pun MERDEKA, mereka perlu bersabar menyambutnya demi PSRA.

Pada tahun lepas, Imran telah pun menduduki UPKK (Ujian Penilaian Kelas KAFA) di bawah kendalian JAKIM yang diambil oleh hampir seluruh pelajar Tahun 5 di seluruh negara. 

AlhamdulILLAH... Imran memperolehi keputusan yang baik.  Harapan kami, untuk PSRA ini Imran mampu mengekalkan momentum pencapaiannya dengan merangkul tahap Mumtaz. Inshaa ALLAH. Amiin.

Hanya kepada ALLAH SWT dipanjatkan pengharapan dan rasa syukur atas setiap apa yang dikurniakan olehNYA.

Seperti lazimnya, untuk anakanda Imran, sentiasa dititipkan pesanan dan dorongan... Berusahalah menjawab dengan tenang, perhatikan kehendak soalan dan ingatlah selalu kepada ALLAH SWT dan baginda RasuluLLAH SAW. Inshaa ALLAH segalanya bakal dipermudahkan.
Munajat kami...
Ya ALLAH... Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang... Engkau bantulah anak-anak kami dalam menjawab soalan peperiksaan. Tenangkanlah hati dan terangkanlah minda mereka. Permudahkanlah dan jangan susahkan. Amiin amiin amiin Ya Rabbal 'alamiin.

Friday, September 23, 2016

Perginya Murabbi Ummah.. TG Haron Din

Tanpa disedari telah pun seminggu berlalu... Terasa bagaikan baru berlaku...

Di pagi Jumaat (16/09/2016) yang penuh barakah, sekitar jam 10:05 pagi kita dikejutkan dengan kembalinya ke rahmatuLLAH seorang murabbi tersohor di tanah air iaitu Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din al-Hafiz. Satu kehilangan yang amat besar kepada ummah.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun jauh di bumi USA, lebih khusus lagi di Stanford University Hospital, San Francisco, California di saat menerima rawatan susulan bagi penyakit jantung yang dialaminya.

Tiba-tiba sahaja hati terasa amat sebak. Pilu mengingatkan betapa telah pergi seorang lagi ulama' yang begitu tenang menghadapi pelbagai fitnah serta mehnah kehidupan dan begitu bersungguh serta istiqamah dalam perjuangan dakwahnya. Keikhlasannya amat terserlah, jelas dapat dibaca pada bicara dan tindakannya walaupun sebenarnya ia berkait dengan hati.

Dalam masa terdekat ini, sekitar Jun - Julai yang lalu, kita telah kehilangan Dr Abdul Aziz Hanafi dan TG Hj Salleh Musa. Setahun sebelumnya kita terkesan dengan pemergiaan TG Datuk Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Itu di peringkat negara. Di peringkat antarabangsa, pada jarak waktu yang dekat, kita telah pun kehilangan beberapa cendekiawan Islam yang banyak jasanya; antaranya Sheikh Dr Sa'id Ramadhan al-Buti, Sheikh Dr. Wahbah az-Zuhaili, Abuya Djamaluddin Waly (Aceh),Tgk H Mukhtar Luthfi (Aceh) dan ramai lagi.

Inilah petanda dunia sudah semakin hampir ke penghujungnya di mana ilmu agama semakin terpinggir dengan meninggalnya para ulama. Bersabda RasuluLLAH SAW:
 
إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ؛ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاً،
فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا. 

Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu sekaligus dari para hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan mewafatkan para ulama, sehingga ketika tidak tersisa lagi seorang alim, maka manusia akan menjadikan orang-orang bodoh sebagai pemimpin, lalu mereka ditanya, kemudian mereka akan memberikan fatwa tanpa ilmu, maka mereka sesat lagi menyesatkan orang lain".
[Al-Bukhari (100, 7307); Muslim (2673)]

Lihatlah akan realitinya pada hari ini. Betapa ramai orang yang berlagak pandai tetapi sebenarnya dangkal, lebih menampakkan kebodohan dan kejahilannya. Sebahagiannya pula hebat bercakap hal agama tapi menyeleweng dari kebenaran dan disiplin agama. Inilah juga petanda dunia akhir zaman.

Berbalik kepada pemergian TG Haron Din.

Sebelum berangkat ke bumi US, TG Haron Din telah berpesan... 'Di mana dia hembuskan nafas terakhir, di situlah dia bersemadi'. AlhamduliLLAH segalanya dipermudahkanNYA.

Jenazah almarhum disolatkan oleh ribuan jemaah seusai solat Jumaat di Masjid an-Nour, Santa Clara dengan diimamkan oleh anaknya, Hamdi Haron. Seterusnya jasadnya dikebumikan di Five Pillars Cemetery, Livermore.

Di tanah air pula, jutaan pencinta ulama turut sama menyempurnakan solat ghaib di merata masjid, surau dan musolla. Menariknya solat ghaib di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah diimamkan oleh cucu almarhum sendiri, Hakeem Hamdi. SubhanaLLAH. Itulah kelebihan yang ada pada ulama yang begitu ikhlas dengan ilmu agama yang ada padanya, sekaligus menjadi antara bekalan paling berharga menuju Syurga FirdausNYA.

Metro Ahad, 18/09/2016 -  Foto Iddin no. 2, 3 & 5 dari atas kiri
AlhamduliLLAH... anak sulung kami, Izzuddin yang baru tiba di California beberapa hari sebelumnya berkesempatan turut sama menunaikan solat jenazah ke atas Tuan Guru Haron Din serta mengiringi jenazahnya sehingga selesai dikebumikan. Ada hikmahnya bagi Iddin.

Melalui beberapa keping foto terkini yang sempat diambil yang dihantar oleh Iddin, kami perpanjangkan ke pelbagai grup media sosial.

Rupa-rupanya ia diambil oleh beberapa akhbar sebagai foto sisipan atau pelengkap kepada berita yang disiarkan. AlhamduliLLAH moga ada manafaatnya.

Munajat kami untukmu Tuan Guru...
''Ya ALLAH, Tuhan Yang Maha Agong... Rahmatilah akan roh Almarhum Tuan Guru Haron Din dan himpunkanlah ia di kalangan para Auliya', Solehin, Siddiqin dan Syuhada'. Amiin... amiin.. amiin.. Ya Rabbal 'aalamiin."

Berbahagialah dikau wahai Tuan Guru..! Jasamu pada agama tiada ternilai... hanya ALLAH SWT yang mampu membalasnya.

Tuesday, September 20, 2016

Iddin Balik Ke California

Anak sulung kami, Muhammad Izzuddin kini sedang melanjutkan pengajian di California, USA. Beliau ke sana sejak 2 tahun lepas.

Pada awal Julai baru-baru ini, Iddin pulang bercuti ke tanah air. Terlerai kerinduan yang terpendam selama ini. Walaupun selama ini kami sekeluarga sering bersua di alam maya terutama melalui aplikasi Skype tetapi amat jauh bezanya apabila bersama di alam nyata.

Rakan-rakan lama ketika Rumah Terbuka Hari Raya
Keakraban sesama ahli keluarga terutama sesama adik beradik amat menyerlah. Gurau senda dan gelak tawa menceriakan suasana.

Paling seronok apabila dapat menyambut Ramadhan dan Eid Fitr bersama-sama. Juga bersama menjadi hos rumah terbuka Hari Raya dan bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Keluarga Tauhideans (keluarga Tauhid-Azizah) di Anang Sari Homestay di Melaka. Begitu juga ketika berada di kampung halaman di Kuala Terengganu dan Sepang, Selangor.

Bagi Iddin... sempat juga dia menaburkan baktinya sebagai facilitator di dalam Kem Cemerlang SPM di Mersing. Diikuti 'merayau' beberapa hari bersama teman-teman lamanya ke utara Semenanjung Malaysia. Pada saat lain, kerap kali menjadi pemandu peribadi untuk atuk dan nenek bagi memenuhi jemputan perkahwinan, balik kampung dan sebagainya.

Sebelum berlepas ke CA
Di penghujung minggu lepas (10/09/2016)... di awal cuti persekolahan Penggal ke-3/2016, Iddin kembali terbang ke California bagi meneruskan perjuangannya di UC Davis (University of California) di Davis untuk kira-kira 2 tahun lagi sebelum menamatkan pengajian Bachelor Science in Biology.

Jarak waktu 3 bulan terasa amat pendek sekali. Cepat sahaja berlalu. Pejam celik... pejam celik... dah balik ke CA. Jika direnungkan secara mendalam... itulah juga hakikat kehidupan di atas muka bumi ini... cuma bila masanya tidak pasti. Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui.

Buat Iddin... selamat meneruskan perjuangan di bumi Uncle Sam. Buatlah yang terbaik untuk kehidupan di masa hadapan samada di dunia nan fana' ini, apatah lagi untuk bekalan di akhirat yang kekal abadi.

Semoga sentiasa di bawah lindungan dan peliharaan ILLAHI dan Selamat Maju Jaya. Ameen.

Tuesday, September 13, 2016

Salam Eid al-Adha 1437H

Allahu Akbar... Allahu Akbar... Allahu Akbar....

10 Zulhijjah telah pun berlalu. Namun takbir raya masih dikumandangkan terutama seusai solat fardhu yang lima. Itulah sunnahnya kerana Eid al-Adha masih diraikan sehinggalah tenggelamnya mentari petang 13 Zulhijjah.

Eid al-Adha... bukannya sekadar keraian biasa seumpama Eid Fitr bagi menzahirkan kesyukuran setelah berjaya mengekang nafsu selama sebulan Ramadhan. Eid al-Adha adalah lambang tuntutan pengorbanan dan ketaatan yang seikhlasnya hanya kepada ALLAH Rabbul Jalil.

Bagi para jemaah haji... mereka berkorban segala-galanya... harta, jiwa raga dan keluarga semata-mata bagi memenuhi tuntutan pelengkap kepada Rukun Islam. Tiada bezanya antara yang kaya dan papa... apatah lagi ketika berpakaian ihram.... berkumpul dan bergerak bersama di Arafah, Muzdalifah dan Mina. Tidak terkecuali tika berada di Madinah mahupun Mekah. Yang dinilai oleh ALLAH SWT hanyalah ketaqwaan kepadaNYA.

Manakala bagi yang tidak mengerjakan ibadah haji, mereka dituntut untuk berkorban wang ringgit atau haiwan ternakan sendiri untuk mendapatkan bahagian korban. Ianya dikategorikan sebagai sunat muakkad yakni sunat yang amat dituntut. Bagi jemaah haji, lazimnya mereka juga menyertai ibadah korban di Mekah.

Niatnya hanya satu - patuh kepada perintah ALLAH dan Rasul demi membantu umat Islam lain yang amat memerlukan. Moga ibadah korban kita diterima oleh ALLAH SWT. Ameen.

Setiap kali tibanya musim haji seperti sekarang... ingatan kami akan terus terimbau kepada pengalaman kami mengerjakan haji pada tahun 2012 yang lalu terutama ketika berada di Masyair Haram (Arafah-Muzdalifah-Mina). Alangkah seronoknya jika berpeluang untuk ke sana lagi. Moga kami dipanjangkan usia dan dikurniakan kesempatan bagai yang diimpi-impikan. Ameen.

Kepada para jemaah haji... AlhamduliLLAH... moga kalian dianugerahi haji dan umrah nan mabrur. Ameen. 

Maka bermulalah mujahadah seterusnya yang lazimnya ramai yang kecundang iaitu istiqamah beramal seumpama di Masjidil Haram dan Madinah. Antaranya solat berjemaah di masjid/surau, membaca al-Quran dan menekuni terjemahannya, berpuasa sunat sekurang-kurangnya Isnin dan Khamis, bertahajjud di sepertiga malam, solat dhuha, menjaga batasan aurat tidak kira lelaki mahupun perempuan dan sebagainya. 

Jika tidak... apakah layak untuk kita mengharapkan haji yang mabrur? Dan layakkah kita digelarkan Haji dan Hajjah? Apakah ALLAH SWT redho kepada kita? Renung-renungkanlah... agar kita menjadi hamba-hambaNYA yang dirahmati dari ibadah haji yang dilaksanakan. Insafi diri..!

Monday, September 5, 2016

UPSR - Selamat Berjuang...!

Hari ini, 5-Sept-2016, bermulanya perjuangan para pelajar Tahun 6 dalam menghadapi cabaran UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah).

Selamat Berjuang..!

Inilah perjuangan penamat selama berada di peringkat sekolah rendah. Sejauh mana penerimaan segala ajaran guru-guru dengan format terbaru yang lebih bersepadu, merangkumi KSSR, PBS dan KBAT bakal teruji selama 4 hari UPSR berlangsung.

Umumnya, UPSR sebelum ini meletakkan gred 5A adalah yang terbaik tetapi untuk tahun ini ditambah satu gred lagi kepada 6A. Tambahannya kepada subjek Bahasa Inggeris yang dipecahkan kepada dua iaitu Pemahaman dan Penulisan, sama seperti subjek Bahasa Melayu.

Nampaknya cabaran yang amat getir bagi pelajar yang lemah dalam subjek Bahasa Inggeris. Apakah ini suatu langkah yang terbaik untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris? Tunggu dan lihat sahajalah dari keputusan peperiksaan ini nanti... 

Namun, secara kasar, ada kesannya terhadap para pelajar luar bandar yang lazimnya lemah dalam subjek berkenaan.

Bagi subjek-subjek lain juga terdapat perubahan format ke arah membentuk daya berfikir yang lebih kritis termasuk subjek Sains ada penambahan kertas peperiksaan tetapi grednya dikira satu.

Pada tahun ini, anak bongsu kami; Muhammad Imran adalah salah seorang daripada calon UPSR. Bersamanya adalah 3 orang sepupunya - seorang di Lembah Kelang; Adam Khaliq dan 2 orang lagi di Kuala Terengganu; Wajdi dan Hafiz.

Untuk mereka berempat dan juga para pelajar Tahun 6 semua.... Selamat Berjuang dan Buat Yang Terbaik. Moga berjaya dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Amiin.

Dua minggu selepas UPSR, Imran dan Adam bakal menduduki PSRA pula, khusus untuk pelajar Darjah 6 di sekolah rendah agama di Selangor.

Untuk anakanda Imran, sentiasa dititipkan pesanan dan dorongan... Berusahalah menjawab dengan tenang, perhatikan kehendak soalan dan ingatlah selalu kepada ALLAH SWT dan baginda RasuluLLAH SAW. Inshaa ALLAH segalanya bakal dipermudahkan.

Munajat kami...
Ya ALLAH... Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang... Engkau bantulah anak-anak kami dalam menjawab soalan peperiksaan. Tenangkanlah hati dan terangkanlah minda mereka. Permudahkanlah dan jangan susahkan. Amiin amiin amiin Ya Rabbal 'alamiin.

Petunjuk:-
KSSR - Kurikulum Standard Sekolah Rendah
PBS    - Pentaksiran Berasaskan Sekolah
KBAT - Kemahiran Berfikir Aras Tinggi