Monday, September 5, 2016

UPSR - Selamat Berjuang...!

Hari ini, 5-Sept-2016, bermulanya perjuangan para pelajar Tahun 6 dalam menghadapi cabaran UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah).

Selamat Berjuang..!

Inilah perjuangan penamat selama berada di peringkat sekolah rendah. Sejauh mana penerimaan segala ajaran guru-guru dengan format terbaru yang lebih bersepadu, merangkumi KSSR, PBS dan KBAT bakal teruji selama 4 hari UPSR berlangsung.

Umumnya, UPSR sebelum ini meletakkan gred 5A adalah yang terbaik tetapi untuk tahun ini ditambah satu gred lagi kepada 6A. Tambahannya kepada subjek Bahasa Inggeris yang dipecahkan kepada dua iaitu Pemahaman dan Penulisan, sama seperti subjek Bahasa Melayu.

Nampaknya cabaran yang amat getir bagi pelajar yang lemah dalam subjek Bahasa Inggeris. Apakah ini suatu langkah yang terbaik untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris? Tunggu dan lihat sahajalah dari keputusan peperiksaan ini nanti... 

Namun, secara kasar, ada kesannya terhadap para pelajar luar bandar yang lazimnya lemah dalam subjek berkenaan.

Bagi subjek-subjek lain juga terdapat perubahan format ke arah membentuk daya berfikir yang lebih kritis termasuk subjek Sains ada penambahan kertas peperiksaan tetapi grednya dikira satu.

Pada tahun ini, anak bongsu kami; Muhammad Imran adalah salah seorang daripada calon UPSR. Bersamanya adalah 3 orang sepupunya - seorang di Lembah Kelang; Adam Khaliq dan 2 orang lagi di Kuala Terengganu; Wajdi dan Hafiz.

Untuk mereka berempat dan juga para pelajar Tahun 6 semua.... Selamat Berjuang dan Buat Yang Terbaik. Moga berjaya dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Amiin.

Dua minggu selepas UPSR, Imran dan Adam bakal menduduki PSRA pula, khusus untuk pelajar Darjah 6 di sekolah rendah agama di Selangor.

Untuk anakanda Imran, sentiasa dititipkan pesanan dan dorongan... Berusahalah menjawab dengan tenang, perhatikan kehendak soalan dan ingatlah selalu kepada ALLAH SWT dan baginda RasuluLLAH SAW. Inshaa ALLAH segalanya bakal dipermudahkan.

Munajat kami...
Ya ALLAH... Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang... Engkau bantulah anak-anak kami dalam menjawab soalan peperiksaan. Tenangkanlah hati dan terangkanlah minda mereka. Permudahkanlah dan jangan susahkan. Amiin amiin amiin Ya Rabbal 'alamiin.

Petunjuk:-
KSSR - Kurikulum Standard Sekolah Rendah
PBS    - Pentaksiran Berasaskan Sekolah
KBAT - Kemahiran Berfikir Aras Tinggi


No comments: