Sunday, June 17, 2012

Aura Israk-Mikraj

27 Rejab - Israk dan Mikraj. Untuk tahun ini, hari ini adalah harinya. Ianya termetrai dalam sirah RasuluLlah SAW sebagai anugerah Illahi bagi memperkukuhkan keimanan baginda kepada Allah SWT atas tentangan amat dahsyat dari kafir Quraisy.

Israk dan Mikraj ini bukan hanya untuk RasuluLlah SAW tetapi sebenarnya untuk umat baginda. Bukan sekadar untuk diingati dan diraikan tika tiba tarikhnya. Selagi nadi berdenyut, maka ianya perlu diambil pengiktibaran berterusan bagi meneruskan kehidupan di dunia ini.

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah al-Isra':1)

Apabila disebut israk dan mikraj, maka akan terlintas di fikiran akan perjalanan roh dan jasad RasuluLlah SAW mengenderai Buraq dengan diiringi malaikat Jibrail a.s. dalam 2 fasa. Fasa pertama dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis, Palestine. Manakala fasa kedua pula dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha, melewati 7 lapisan langit bertemu Allah SWT sebelum kembali ke Mekah.

Sesuatu yang tidak masuk diakal - segalanya berlaku dalam satu malam sahaja. Sedangkan di zaman itu, perjalanan dari Mekah ke Baitul Maqdis sahaja mengambil masa 40 hari. Apatah lagi untuk naik ke langit. Mustahil pada akal manusia tetapi tidak pada iradat Allah SWT.

Di sepanjang perjalanan yang amat menakjubkan ini, RasuluLlah SAW melalui pelbagai peringkat dan peristiwa yang memberi impak yang tiada taranya dalam kehidupan kita semua sebagai umat Muhammad SAW dan hamba Allah SWT. Ianya benar-benar menguji keimanan kita kepada al-Khaliq.

Sekurang-kurangnya 3 perkara yang lekat di sanubari. Pertamanya betapa agungnya kuasa Allah SWT yang dapat menjalankan manusia dalam waktu yang begitu singkat, apatah lagi melewati lapisan langit sambil dipertemukan dengan beberapa orang Rasul/Nabi tanpa peralatan pernafasan.

Keduanya perintah solat secara terus dari Allah SWT - rahmat Allah, solat 50 waktu dipendekkan kepada 5 waktu sahaja. Itupun masih ramai yang tidak mampu melaksanakannya.

Ketiganya diperlihatkan oleh Allah SWT batasan seksaan pedih para ahli neraka akibat durhakanya ketika di dunia dan juga keseronokan hidup di syurga. Sewajibnya setiap insan yang mengaku Muslim mengambil iktibar dan berusaha menjadi hamba Allah yang bertaqwa (melaksanakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya).

Namun disebalik Israk dan Mikraj ini, persoalan sejagat yang amat getir kini adalah hilangnya kekuasaan umat Islam ke atas Masjidil Aqsa serta Baitul Maqdis itu sendiri. Perlu dimaklumi, Masjidil Aqsa seumpama Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi adalah antara 3 warisan pusaka untuk dijagai oleh umat Islam.

Justeru itu, marilah kita menyokong sedaya upaya kita setiap langkah yang diambil untuk membebaskan Masjidil Aqsa ini serta bumi Palestine dari jajahan Zionis Israel laknatuLlah. Moga dengannya umat Islam dikurniakan kemenangan dan kita tidak dipersoalkan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar apakah usaha kita dalam membebaskan Masjidil Aqsa.

Diharapkan kita semua tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang sentiasa dirahmati dan sedar akan hakikat kejadian kita dijadikan. Ameen.

"Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan agar beribadat (tunduk patuh) kepadaKu". (Surah az-Zaaria'at:56)

No comments: