Wednesday, October 5, 2011

Kenangan Tulip dan Sakura

Australia, terutama di negeri-negeri sebelah selatan benua termasuklah Victoria dan Tasmania kini mengalami musim bunga. Satu suasana yang amat menyenangkan dengan panorama alam nan indah dan persekitaran yang menyegarkan. Lebih-lebih lagi baru sahaja melepasi musim sejuk yang dirasakan 'terkurung dan menyakitkan'. Apatah lagi bagi yang tidak menyukai suasananya seperti kami.

Sesekali menjenguk Facebook dan weblog rakan-rakan yang masih meneruskan perjuangan di bumi Australia pasti ada sahaja cerita dan berita baru. Lahir rasa rindu untuk ke sana, lebih-lebih lagi di musim bunga yang penuh ceria ini.

Kini bunga-bungaan yang berwarna-warni mulai berkembang mekar. Taman-taman bunga menjadi tumpuan ramai.

Salah satunya adalah Tesselaar Tulip yang terletak di Monbulk Road, Silvan; kira-kira 1 jam dari Melbourne City. Dari Dandenong di mana kami menetap dahulu sekitar setengah jam sahaja jaraknya. Hampir saban tahun kami tidak melepaskan peluang apabila tiba musimnya.

Musim bunga tulip tidak lama, hanya sebulan dalam setahun. Lazimnya bermula di pertengahan bulan September. Jika kunjungan kena pada masanya pasti meninggalkan kenangan dan keseronokan yang berpanjangan di mana hampir setengah juta bungaan tulip berwarna-warni melebarkan kelopaknya di bawah panahan lembut matahari. Kelopak bunga seakan-akan jantung pisang tercacak tegap seolah-olah menongkat langit. Saujana mata memandang.

Bagi peminat dan penggemar bunga terutama di kalangan wanita, inilah salah satu syurga idaman mereka.

Walaupun keindahan dan kelembutan bungaan tulip memukau pandangan, kami sekeluarga lebih teruja dengan kecantikan dan keunikan bungaan pink blossom @ sakura yang terdapat di laman hadapan rumah sewa kami dahulu. Sepertimana tulip, sakura juga berbunga hanya setahun sekali di penghujung musim sejuk, seolah-olah penanda akan berakhirnya musim 'sengsara'.

Kelopak bunganya kecil dan nipis mengepak keluar dari tunas bunga menjadi tarikan kepada sang lebah untuk mendampinginya. Gugusan bunga-bungaan sakura berwarna merah jambu yang berkembangan di pokok tanpa dedaunan melatarinya tampak amat mempesonakan sekali. Tiada terucap oleh kata-kata.

Namun keindahannya tidak lama bertahan apatah lagi dengan kehadiran angin dan hujan, mudah sahaja kelopaknya tertanggal. Hilanglah serinya. Maka tunggulah akhir musim sejuk tahun mendatang.

2 comments:

Mohd Shafiq MI said...

Salam. .Nak tanya. .Kalau kerja di melboune and tinggal di dandenong ni ok ke. .

Anonymous said...

Salam Shafiq. Tak terperasan pulak ada pertanyaan ni. Ada juga orang bekerja di melbourne berulang menaiki tren (sama spt LRT di KL) dari dandenong. kami sukakan dandenong kerana mudah mendapat makanan halal,sewa rumah lebih murah dan suasana tenang berbanding metro melbourne, terutamanya utk yang berkeluarga.
kalau ada pertanyaan lanjut, boleh saja e melkan pada kami.

laili/ropidi