Thursday, October 25, 2007

Fenomena Musim Bunga

Suhu hari ini agak sejuk hingga terasa ke tulang. Baju sejuk dan stoking yang dipakai pun rasa macam tak ada apa-apa, nak ke tandas pun terasa malas. Imran yang terkenal tahan sejuk pun turut mengeluh, terpaksa dipakaikan baju tebal. Menurut TV, ramalan suhunya 20 darjah Celcius dan yang terbaru diumumkan 17 darjah Celcius. Hujan renyai-renyai turun sejak pagi belum berhenti, makin menyejukkan suhu persekitaran.

Hujung minggu baru-baru ini lain pula ceritanya. Cuacanya agak panas dan perit mengigit kulit dengan matahari bersinar tanpa dibatasi awan. Suhunya mencecah 35 darjah Celcius walaupun paginya diramalkan cuaca panas dengan suhu 25 darjah Celcius, dikatakan tertinggi sepanjang musim bunga ini. Malah adakalanya panas ataupun hujan diiringi angin menderu sejuk. Dalam sehari pula boleh jadi ada panas, hujan dan angin bersilih ganti.

Begitulah fenomena suhu di musim bunga di Melbourne, diakui sendiri oleh penduduk jati Australia. Umumnya ramalan cuacanya boleh dipercayai dan sememangnya menjadi rujukan setiap hari sebelum melangkah keluar dari rumah. Namun, ibarat kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan perlu dipraktikkan kerana ianya sekadar ramalan dan biasanya boleh berubah secara tiba-tiba.

Bunga Ros kuning dihadiahkan oleh Kristie, mekar segar berkembang
Namun begitu musim bunga (spring) sememangnya ditunggu-tunggu setelah semusim menahan sejuk di musim sejuk (winter). Pepohonan yang hanya tinggal ranting sebelum ini kembali menghijau segar dan pepohon bunga mula mengeluarkan bunga yang pelbagai warna dan rupa. Amat menarik sekali terutama kepada peminat bunga dan hiasan laman. Yang tak menariknya rumput dan pokok renek yang tak diperlukan pun turut galak melonjak naik dengan cepat. Apa yang dibimbangkan adalah spesies menjalar seperti ular mula aktif keluar mencari makan sama seperti mangsanya tikus dan katak. Begitu juga semut dan nyamuk yang "bertapa" sepanjang musim sejuk mula keluar merayap dan berterbangan dengan bebas.
Di samping itu, dari sehari ke sehari waktu siangnya semakin memanjang berbanding waktu malam. Seperti hari ini, matahari terbit seawal jam 05:20 pagi dan akan tenggelam kira-kira jam 06:50 petang. Dan di musim panas nanti yang akan bermula pada bulan Disember nanti, waktu siangnya akan lebih panjang lagi, ada ketika sehingga 17 jam berbanding malamnya hanya 5 jam sahaja. Bayangkan waktu Maghrib dan Isyaknya begitu lewat sedangkan Subuhnya begitu awal sekali... pasti ramai yang tidur balik selepas solat Subuh.

No comments: