Tuesday, October 16, 2007

Eidil Fitr Di Rantauan

Tahun ini Eidil Fitr di Australia telah ditetapkan oleh Australian Islamic Socety pada hari Sabtu, 13/10/2007 (sama seperti di Malaysia). AlhamduliLlah ianya jatuh pada hujung minggu, jika tidak terpaksalah ibu bapa yang bekerja dan anak-anak yang bersekolah mengambil cuti. Bagi masyarakat Turki, mereka merayakannya pada hari Jumaat, sama seperti sambutan di tanah air mereka.

Raya Pertama

Di padang Monash Uni - selepas solat sunat Eidil Fitr

Awal pagi, kami sekeluarga bergegas ke padang Monash University di Clayton, kira-kira 15 km dari rumah untuk mengerjakan solat sunat Eidil Fitri. Di padang yang luas, berkumpul Muslimin dan Muslimat dari pelbagai bangsa dan budaya dengan pelbagai gaya pakaian yang dipakai sama-sama bertakbir dan bersolat. Komuniti Islam Malaysia amat senang dikenali dengan sut baju Melayu bersamping bagi lelaki serta berbaju kurung bagi perempuan. Inti sari khutbah yang menekankan peri pentingnya penyatuan ummah juga amat baik untuk diambil iktibar.

Selesai solat, bermulalah acara kunjung-mengunjung secara konvoi dari rumah ke rumah mengikut aturan yang telah ditetapkan. Kunjungan pertama ke rumah Khairuddin di Clayton (gabungan Din-Liza, Khairul-Ina, Norin-Mar-Asmah) dengan juadah ala-Malaysia yang amat menyelerakan, antaranya lemang, nasi himpit, rendang, mee sop dll sambil dihiburkan dengan lagu-lagu raya.

Kemudian berkunjung ke rumah Radin, Dr. Mariana dan Nizam, juga di Clayton. Selepas itu bergerak pula ke Springvale ke rumah Zarina, Zamzuri dan Eddie. Seterusnya singgah pula di rumah Wafil, Lajiman, Aznan, Nordin dan Tengku Rashdan di Dandenong North. Juadah yang dihidangkan tidak kurang juga hebatnya, antaranya satay, serawa durian, roti kari, lontong, pulut kacang dan mee bandung (malah banyak lagi).

Wow… 12 rumah dalam satu hari (sehingga jam 09:00 malam), satu rekod yang tidak pernah dibuat hatta di Malaysia sendiri. Walaupun terasa amat letih tetapi menyeronokkan. Bukan sahaja mengenyangkan perut sehingga semput untuk bernafas tetapi dapat menjalin silaturahim yang lebih akrab sesama anak Malaysia di rantauan. Dan amat bersyukur sekali dengan sikap sporting anak-anak yang mengikut sahaja perancangan kami dengan penuh kesabaran walaupun tampak rona kepenatan di wajah mereka.

Raya Kedua

Laili sibuk melayan tetamu yang hadir
Hari ini kami tak ke mana-mana, hanya di rumah sahaja. Hari ini kami jadi hos rumah terbuka yang kami adakan. Seawal pagi, selepas solat Subuh… kemas rumah seterusnya acara memasak juadah untuk hidangan tetamu. Menu pilihan kami adalah, yang pasti Dendeng (dah dikenali sebagai Dendeng Dandenong), Laksa Terengganu (kuah putih ikan mackerel) dan Nasi Tomato (kuah kari biri-biri) dengan desert Puding Buah-buahan, Honey Joy dan buah-buahan.

Tas dan Kristie rancak berbual dengan Laili
Sambutannya amat menggalakkan, hampir 100 orang yang hadir memeriahkannya termasuk kanak-kanak yang tampak begitu ceria datang secara berperingkat-peringkat bermula jam 11:30 pagi sehinggalah jam 08:00 malam. Dan yang paling kami hargai adalah kesudian tuan rumah, Mr. Tas dan isterinya, Kristie meluangkan masa hampir 2 jam turut sama merasai kemeriahan sambutan Eidil Fitr.

Sebahagian dari tetamu yang hadir bergambar bersama
Segala letih dan penat selama 2 hari berkejar ke sana ke sini dan berhempas pulas menyediakan juadah bagaikan tidak terasa sehinggalah malam menjelma… barulah terasa badan amat lesu sekali dan mata bagaikan tidak boleh dibuka. Selepas solat Isya’ terus tidur… segala periuk-belanga-pinggan-mangkuk-sudu-garpu semuanya tolak ke tepi… besok ajalah basuh.

No comments: