Friday, November 25, 2016

UPSR n PSRA > TAHNIAH Imran..!

Imran di KAFA al Ridhuan
Dah pun lebih seminggu keputusan UPSR dan PSRA diumumkan. 

ALHAMDULILLAH.. selayaknya puji-pujian hanya untukNYA. Sekalung TAHNIAH untuk Imran atas kejayaan cemerlang dalam kedua-dua peperiksaan tersebut.

Untuk UPSR Imran kekurangan 1A menjadikan keputusannya 5A 1B. Manakala dalam PSRA pula mengungguli keputusan MUMTAZ bagi setiap subjek yang diduduki.

Kami menerimanya penuh syukur dan redha walaupun untuk UPSR diletakkan matlamat semua Gred A.

Kami faham... dengan format baru peperiksaan berasaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang menerapkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) pasti ada impaknya pada keputusan keseluruhan.

Malah inilah fenomenanya di seluruh negara, peratusan semua Gred A mendadak turun dari 8% dari tahun 2015 kepada hanya 1.11% sahaja pada tahun 2016. Sekaligus membuka peluang kepada calon yang mendapat 3A 3B untuk turut bersaing masuk ke sekolah berasrama penuh. Ada baiknya... itu pandangan peribadi kami.

Imran bersama sebahagian guru di SK Hulu Kelang
Sekarang ini Imran sedang menunggu panggilan beberapa sekolah berasrama penuh untuk proses ujian dan temuduga. Tidak semua jenis sekolah yang dipohon. Hanya sekolah yang mengabungkan akademik dengan program agama dan hafazan sahaja yang menjadi pilihannya.

Itulah minat dan kehendaknya. Sebagai ibu bapa, kami memberi sokongan sepenuhnya. Moga-moga 'tersangkutlah' hendaknya mana-mana satu sekolah yang terbaik untuknya - dunia dan akhirat. Ameen Ya Rabbal 'alameen.

ALHAMDULILLAH dan TAHNIAH

Ucapan yang sama juga untuk semua anak-anak Tahun 6 yang berjaya melalui era persekolahan selama 6 tahun di peringkat rendah. Tidak kiralah apa keputusan peperiksaan yang diperolehi. Anggaplah ianya sebagai salah satu ujian dalam kehidupan ini.

Bagi yang berjaya tidak semestinya akan terus berjaya jika tidak berusaha merintis jalan kejayaan. Begitu juga bagi yang gagal, peluang untuk berjaya masih terbuka luas. Sesungguhnya perjalanan hidup ini masih jauh... sebelum kematian menoktahkannya. Paling bererti adalah kejayaan kita di dunia dan di akhirat dengan kehidupan yang diredhai ALLAH SWT.

ALHAMDULILLAH... TAHNIAH... TERIMA KASIH tidak terhingga khusus untuk para guru yang berhempas pulas, berusaha penuh daya disulami kasih sayang demi memandaikan anak-anak kita semua. Betapa besarnya jasa seorang guru dan betapa mulianya tugas seorang guru. Hanya ALLAH SWT yang mampu membalasnya. Ameen.

No comments: