Wednesday, February 26, 2014

Ziarah Warga Kg Dandy

Selama hampir 4 tahun (2007 - 2010) kami sekeluarga pernah berkelana di bumi kangaroo, Australia; khususnya di Dandenong - sebuah daerah di tenggara Bandaraya Melbourne.

Nostalgia 09/2009: BerBBQ di musim sejuk
Bersama kami, terdapat beberapa lagi keluarga rakyat Malaysia yang menetap dan bermukim di Dandenong dan sekitarnya - bersilih ganti kerana majoritinya daripada kalangan para pelajar Master dan PhD. Pernah pada suatu ketika sehingga mencecah 20 buah keluarga. Berjiran dengan kami adalah komuniti yang lebih besar, tinggal di sekitar kampus Monash University di Clayton.

Berada jauh daripada ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan menyebabkan hubungan kami menjadi begitu akrab bagaikan adik beradik. Dengan kata lain, susah senang dikongsi bersama. Dari sinilah terbentuknya komuniti Warga Kg. Dandy (Dandy adalah singkatan bagi Dandenong).

Setelah kembali ke tanah air, kemesraan kental yang sedia terjalin terus dipertahankan. Kesibukan urusan harian dan tempat tinggal di merata daerah dan negeri sedikit sebanyak menjarakkan pertemuan. Namun dengan pelbagai kecanggihan teknologi terkini seperti WhatsApp, Facebook, Twitter dan Instagram dirasakan segalanya dekat bagaikan bersua muka. Lebih meriah lagi di kalangan para ibu.

Sesekali dapat berkumpul bersama adalah satu nikmat yang dianugerahkan. Beberapa bulan lalu, warga Kg Dandy (alumni) ini berkumpul di rumah Huzaizi-Zainah di Putrajaya. Malangnya kami tidak dapat turut serta kerana tidak dapat dihubunginya (ketika itu Laili kehilangan telefon dan simcard). Apakan daya...

Di samping itu, secara peribadi ramai di antaranya saling kunjung mengunjungi, lebih-lebih lagi apabila mereka berada di kawasan berdekatan tempat tinggal rakan-rakan.

Begitu jugalah kami. Di penghujung minggu baru-baru ini kami berkesempatan menyinggah di rumah Hanif-Sham di Bukit Bandaraya, Seksyen 8, Shah Alam. Pada hari tersebut berkebetulan kami berdua ada urusan di Seksyen 15, Shah Alam. Seronok dapat bertemu dengan anak-anak mereka yang semakin membesar - Nazhan, Nadhirah, Farihah dan Masha. Merekalah jiran terdekat kami ketika di Dandenong.

Bersantai di ruang tamu rumah Zain-Saliza
Keesokan harinya pula kami ke rumah Ust Zain-Saliza di Taman Mulia, Mantin, Negeri Sembilan sebelum bergerak memenuhi jemputan perkahwinan di Bandar Baru Bangi.

Telah kerap kali mereka menjemput kami bertandang ke rumah mereka. Apatah lagi anak bongsu kami, Imran sering bertanya bila nak ke rumah Auntie Ja.

Teruja sekali apabila dapat bersua muka. Hilang rasa rindu yang bersarang. Tambahan pula ibu Saliza yang dipanggil 'Che' (panggilan orang Terengganu) pun turut ada bersama. Seronok sekali melihat keletah lasak si kembar bongsu, Rayyan dan Raihan yang telah pun meningkat usia 5 tahun (kali terakhir berjumpa 3 tahun lepas) serta si kembar sulung, Faris-Farah yang kini 11 tahun usia mereka. Untung mereka, 2 kali bersalin melahirkan 2 pasang anak kembar. Rezeki ALLAH SWT. Tidak dinafikan penatnya yang amat sangat.

Jutaan terimakasih di atas layanan istimewa yang diberikan oleh Hanif-Sham sekeluarga serta Zain-Saliza sekeluarga. Moga kalian semua sentiasa diberkati Illahi. Ameen.

Demikianlah hikmahnya berkelana di negara orang. Di samping dapat mengenali dan mengutip pengalaman di negara yang berbeza budaya hidup dan persekitarannya, paling utama dapat menjalin ukhuwah di kalangan rakyat Malaysia di perantauan. Inshaa Allah moga ianya terus kekal selamanya sehingga berkampung pula kita di Jannah. Ameen.

Thursday, February 13, 2014

Hikmah Di Sebalik Musibah

Ramalan Cuaca Hari ini (13/02/2014)
Sekarang ini cuaca di Malaysia agak panas. Secara kasar, suhunya melewati 30*C terutama di waktu tengahari membawa ke petang dan juga malam. Badan terasa rimas, berpeluh sehingga ke pagi.

Bagi yang menggunakan pendingin hawa (ingat : bukannya penghawa dingin) atau lebih tepat lagi penyaman udara bolehlah nyaman bersantai tetapi kenalah berani tanggung tarif elektrik yang telah pun meningkat.

Dek kerana cuaca panas, di merata tempat, rumput-rumput dah pun mengguning. Dedaunan kering bersepahan. Di sesetengah tempat tanahnya pula merekah. Paras air di sungai dan empangan semakin cetek. Inilah kemarau namanya.

Apabila kemarau, maka tidak secara langsung akan timbul pelbagai kemungkinan yang tidak baik. Kebakaran mudah berlaku dan mudah merebak. Jerebu pun boleh terjadi. Krisis bekalan air pula mungkin meruncing. Lebih teruk lagi, penyakit Demam Denggi semakin menular, berpunca daripada pembiakan nyamuk Aedes yang aktif.

Kita lihat sahaja apa yang sedang berlaku di sekeliling kita dan juga di negara-negara jiran. Bahana cuaca panas mencetuskan bermacam bencana panas.

Bukit di SKVE, Puchong hangus
Di negara kita, kelmarin telah berlaku kebakaran hutan di Tasik Banding yang berkeluasan 60 hektar. Begitu juga 44 hektar kawasan di Ladang Sungai Endau, Rompin masih giat dilakukan operasi pemadaman. Diberitakan kawasan hutan tanah gambut di tepian Lebuhraya Elite, Sepang turut berasap. 

Baru-baru ini pula 2 buah bukit yang bertentangan, dipisahkan oleh Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE) berdekatan Puchong hangus terbakar. Tidak lama lalu dikatakan kebakaran belukar berlaku di Dungun, Terengganu. Manakala ratusan kebakaran kecil pula banyak dilaporkan di seluruh negara. Kemungkinan berlaku kebakaran berskala besar masih ada kerana ianya tidak dapat dijangka.

Di luar negara pula, dilaporkan kebakaran hutan mula merebak di Sumatera. Lazimnya jika tidak dapat dikawal, maka kesan jerebunya akan sampai ke negara kita terutama di Pantai Barat Semenanjung. Itulah yang berlaku saban tahun. Sekarang ini pun jerebu telah mula muncul di ruang udara negara kita. Diburukkan lagi dengan debu-debu daripada letusan Gunung Berapi Sinabung pada 1 Februari lalu yang mengorbankan 17 orang penduduk masih terapung-apung di udara.

Nostalgia: Hutan Bunyip terbakar ketika Black Saturday 2009
Ada kemungkinan ianya akan sampai ke negara kita, kesan daripada cuaca panas dan tiupan angin monsun. Jika fenomena tersebut berlaku, pihak Jabatan Mateorologi Malaysia telah menasihatkan penduduk kawasan terlibat agar berkurung di dalam rumah. Itulah langkah pencegahannya walaupun perit untuk dipatuhi oleh para pencari rezeki.

Beberapa hari ini pula, kesan suhu seharian yang panas sehingga mencecah 40*C, sebahagian besar utara Melbourne di Victoria, Australia mengalami kebakaran hutan yang melibatkan ratusan ribu hektar dan banyak rumah yang hangus dalam kebakaran.

Dikatakan ianya kebakaran paling teruk kali kedua selepas Black Saturday Tragedy pada 7 Februari, 2009 yang mengorbankan 173 orang dengan keluasan kawasan kebakaran melebihi 330,000 hektar, juga di utara Melbourne. Ketika peristiwa itu, kami sekeluarga baru 2 tahun berada di Melbourne. Kisahnya ada disentuh dalam entri pada masa itu - klik di sini.

Aedes: kecil-kecil cili padi, padahnya mati
Bahang panas pastinya boleh menyebabkan badan kekeringan/ kekurangan air dalam badan. Apatah lagi kes penyakit Demam Denggi kini begitu mendadak sekali naik dalam tempoh awal Januari - kini melebihi 200% berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Beringatlah - Jagalah kebersihan persekitaran kita dan banyak-banyakkan minum air terutama air putih seperti air mineral dan air masak. Sebaiknya jadikanlah air sebagai bekalan ketika berada di luar rumah.
Dengan pelbagai musibah yang berlaku (baru-baru ini banjir besar, kini kemarau pula), sebagai hamba ALLAH yang beriman, kita perlu mengambil iktibar/ pengajaran serta peringatan bahawa ada mesej yang ingin disampaikan oleh ALLAH SWT dari musibah yang dihantar. Tidak sewenang-wenangnya kita menyerah kepada takdir dan perubahan iklim semata-mata. Pasti ada hikmah di sebalik setiap peristiwa yang berlaku. Sekurang-kurangnya kita meletakkan pengharapan dan memohon pertolongan daripada Maha Kuasa bagi mengatasi setiap kesulitan yang timbul.

Moga kita semua terpelihara daripada segala musibah dan bala bencana. Ameen.

Tuesday, February 11, 2014

Gergasi Belakang Rumah

Imran, anak bongsu kami yang berusia 10 tahun amat meminati dunia haiwan sejak kecil lagi. Buku-buku berkaitan haiwan sememangnya menjadi koleksi utamanya. Sebahagiannya telah pun lunyai kerana terlalu kerap dibelek dan dibawa bersama kemana sahaja ia pergi. Lebih menarik lagi, Imran pandai membaca ketika berusia 5 tahun berpunca daripada minatnya terhadap buku-buku tersebut.

Sebutlah apa sahaja nama haiwan, Inshaa ALLAH akan diketahui termasuklah ciri-ciri umum bagi haiwan berkenaan. Namun kini minatnya berkurangan sedikit, selari dengan perkembangan usia dan persekitaran yang pelbagai kecenderungan.

Walaupun begitu, jika ada kesempatan mengunjungi taman haiwan, pameran dan pertunjukan yang berkaitan, pasti tidak akan dilepaskan peluang. Zoo Negara yang berdekatan rumah kami adalah antara destinasi lawatan yang diminatinya. Itu pun telah lama tidak kami singgahi. Kasihan Imran...

Pada hujung minggu baru-baru ini, bersama Imran dan sepupunya Hawa dan Wafi; kami ke Marina Putrajaya di Precinct 5, Putrajaya di mana pameran serangga dan dinosaur yang bertemakan Backyard Monsters and Dinosaurs sedang berlangsung. Pameran yang bermula dari jam 10 pagi - 10 malam ini telah pun hampir ke penghujungnya pada 28 Februari ini setelah bermula sejak akhir Ogos, 2013 lalu. Bayaran masuknya cuma RM10 untuk dewasa dan RM6 bagi kanak-kanak.

Imran kelihatan amat teruja sekali. Begitu juga Hawa dan Wafi. Tampak tidak sabar untuk memulakan penerokaan. 

Wafi ketakutan di sebelah Tarantula Gergasi
Menyelak tabir hitam di pintu masuk dewan pameran, hampir kesemuanya tergamam dan tersentak apabila terpandang ruangan dalaman yang gelap dengan penataan cahaya yang amat minima berserta bunyi-bunyiannya yang menakutkan. Tambahan pula menunggu di pintu masuk adalah seekor labah-labah Tarantula hitam yang amat besar, sesekali bergerak-gerak menyambut kehadiran para pengunjung.

Wafi yang berusia 3 tahun terus bergayut dengan ibunya dan langsung tidak ingin berenggang sepanjang berada di dalam dewan. Malah kanak-kanak lain yang lebih kurang sebayanya juga demikian lakunya. Bagi Imran dan Hawa yang telah pun berada di alam persekolahan, kejutannya hanyalah di peringkat awal sahaja. Selepas itu mereka seronok mendekati setiap replika serangga belakang rumah serta dinosaur yang dipertontonkan sambil mengenali lebih dekat haiwan-haiwan berkenaan.

Dengan keluasan dewan yang terhad, tidak banyak serangga dan dinosaur yang dapat ditonjolkan. Namun banyak makumat yang boleh diperolehi sekiranya rajin membaca dan melakukan pemerhatian. 

Terdapat 7 replika serangga gergasi iaitu Tarantula, Kumbang Tanduk, Kalajengking, Semut, Pepatung, Mentadak dan Labah-labah Black Widow. Pelbagai serangga yang diawet juga dipamerkan seperti Rama-rama, Kupu-kupu, Lebah dan Kumbang. Bagi dinosaur pula, terdapat 8 jenis semuanya iaitu Basilosaurus, Deinonychus, Stegosaurus, Tyrannosaurus, Apatosaurus, Dimetrodon, Triceraptor dan Pachycephalosaurus.

Umumnya, ianya kunjungan yang berbaloi. Cuma kami kurang berpuas hati dengan konsep pencahayaan yang suram menyebabkan pemandangan terbatas, sekaligus menyebabkan rupa setiap haiwan tidak dapat dihayati. 

Lebih menyedihkan, disebabkan kegelapan, suasananya amat menggerunkan bagi kanak-kanak kecil yang sepatutnya dapat berseronok sambil mengenali setiap serangga di sekeliling mereka dan realiti dinosaur yang hanya tinggal sejarah. Suasananya amat berbeza daripada Dinosaurs Live! yang kami kunjungi di Pusat Sains Negara di pertengahan tahun 2012 lalu.

Bagi merakam foto pula, tanpa menggunakan flash, hasilnya kurang memuaskan. Masalahnya, jika menggunakan flash, hasilnya juga mengecewakan kerana cahaya kamera menyebabkan warna asalnya hilang disimbahi cahaya. Bagi juru gambar profesional mungkin tiada masalahnya.

Friday, February 7, 2014

Menjejaki Sejarah Batu Pahat

Beberapa hari lalu saya berkesempatan berada di Batu Pahat kerana mengiringi Laili yang mempunyai tugasan di Klinik Kesihatan Batu Pahat. Sementara menunggu sesi kerjanya berakhir di sebelah petang, saya mengambil peluang berjalan-jalan di sekitar bandar.

Mercu tanda Batu Pahat
Secara umumnya, Bandar Batu Pahat mencatat rentetan kisah sejarah yang amat bermakna untuk negara. Sebahagian daripada kesan-kesan sejarahnya masih dapat dilihat di merata ceruk di Batu Pahat samada melibatkan individu tertentu seperti Dato' Onn Jaafar ataupun bangunan  lama yang masih ada. Sewajarnyalah tinggalan sejarah ini dipelihara dengan baik sebagai warisan untuk generasi mendatang yang semakin tenggelam dalam arus kemodenan. 

Langkah pertama saya adalah menyinggah di Dataran Penggaram (nota: Bandar Penggaram adalah nama lama bagi Batu Pahat, merujuk kepada bandar pembuatan garam yang dikaitkan dengan penghasilan ikan masin). Di tengah-tengah dataran terdapat mercu tanda Bandar Batu Pahat yang menggambarkan batu sedang dipahat.

Central Point di Jalan Pejabat
Bersebelahan dataran pula, di susur pejalan kaki Jalan Pejabat, terdapat sebuah monumen sejarah yang ringkas, Central Point yang menjadi batu tanda terawal kerja ukur mengukur bagi pembangunan Bandar Penggaram yang diusahakan oleh Dato' Bentara Luar Johor, Dato' Muhammad Salleh bin Perang pada 2 Disember, 1893. Dengan titah Sultan Abu Bakar, secara rasminya Bandar Penggaram  telah dibuka pada 1 Januari 1894.

Beberapa buah bangunan lama berciri kolonial di Jalan Pejabat masih digunakan sehingga sekarang seperti bangunan Majlis Perbandaran Batu Pahat, Jabatan Kerja Raya dan Wisma Sejarah Batu Pahat.

Wisma Sejarah adalah tumpuan utama saya. Ianya dikendalikan oleh NGO Persatuan Sejarah Batu Pahat. Saya bernasib baik dapat bertemu dan berkongsi pandangan dan pendapat dengan beberapa orang penting persatuan dan juga beberapa orang peminat sejarah tempatan. Saya juga berkesempatan meneliti setiap bahan sejarah yang dipamirkan seperti sudut koleksi cenderahati, sudut Dato' Onn Jaafar, foto-foto serta barangan dan peralatan lama.

Dek kerana terlalu 'ghalib', 2 jam berlalu terasa amat pendek sekali. Sememangnya saya amat meminati bahan-bahan berunsur sejarah apatah lagi berkaitan dengan sejarah negara kita khususnya sejarah setempat yang dilawati.

Pada pandangan saya, koleksi sejarahnya amat menarik tetapi masih kurang memberi perhatian kepada pengumpulan maklumat peristiwa-peristiwa bersejarah di Batu Pahat, antaranya sejarah serangan pelampau agama ke atas Balai Polis Batu Pahat (di seberang jalannya) langsung tidak kelihatan.  Bangunan dan prasarananya juga tampak tidak terurus. Mungkin kerana ianya sebuah NGO tanpa sokongan pihak kerajaan. Sepatutnya tidak begitu.

Galeri Dato' Onn di hujung Padang Golf Batu Pahat
Di sebelah petangnya pula, atas gesaan AJK Persatuan Sejarah, Tuan Hj. Jamil, saya ke Galeri Dato' Onn Jaafar di Jalan Mohd Shah, bersebelahan Kelab Golf Batu Pahat. Ianya adalah rumah kerajaan yang didiami oleh Dato' Onn ketika menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat dari tahun 1945 hingga 1947.

Membelok masuk dari Jalan Kluang (seberang Masjid Jamek Sultan Ismail), saya kehilangan arah. Yang ditemui rumah kelab golf dan rumah persendirian. Rupa-rupanya galeri terletak di dalam kawasan padang golf. Malu bertanya sesat jalan. Terima kasih kepada pekerja di padang golf yang sudi menunjukkan arah.

Ketibaan saya disambut mesra oleh petugas galeri (jika tidak silap namanya En. Saiful). Tiada pengunjung lain selain daripada saya. Maka dapatlah saya berinteraksi secara terus atas maklumat yang ingin diketahui. Saya hormati polisi galeri, mengambil gambar tidak dibenarkan walaupun terdetik rasa terkilan.

Foto ehsan Persatuan Sejarah Batu Pahat
Sedikit sejarah Dato' Onn bin Jaafar. Beliau dilahirkan di Johor Bharu pada 12 Februari 1895 dari keturunan Turki di sebelah ibunya. Bapanya, Dato' Jaafar bin Muhammad adalah Menteri Besar Johor pertama. Sejak kecil beliau menjadi anak angkat kepada Sultan Ibrahim. Tidak hairanlah beliau mendapat pendidikan sehingga ke England dan juga memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar.

Banyak jawatan dalam kerajaan yang disandangnya, antaranya Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Johor, Ahli Mesyuarat Negeri, Pegawai Daerah Batu Pahat dan juga Menteri Besar Johor ke-7. Namun semangat cintakan kemerdekaan dari pihak British membuatkan beliau begitu aktif dalam politik sehingga tertubuhnya PSMJ, UMNO, Parti Negara dan gagasan menentang Malayan Union.

Umumnya, walaupun beliau dari kalangan bangsawan tetapi jiwanya amat dekat dengan rakyat serta berani menegur penguasa hatta sultan sendiri pun merasa bahangnya. Jasa beliau tetap dikenang sepanjang zaman.

Dato' Onn meninggal dunia pada 18 Januari, 1962 di Johor Bahru dan disemadikan di Tanah Perkuburan Mahmudiah, bersebelahan kubur bapanya. Moga rohnya sentiasa dirahmati ALLAH SWT. Ameen.

Foto ehsan Persatuan Sejarah Batu Pahat
Komen saya tentang Galeri Dato' Onn Jaafar - suasana dalamannya menarik. Ratusan koleksi foto-foto berkaitan Almarhum bergantungan memenuhi hampir setiap sudut dinding. Namun amat sedikit (malah hampir tiada langsung) tinggalan barangan peribadi beliau. Difahamkan, tiada koleksi seumpamanya diperolehi - mungkin telah pun tenggelam mengikut peredaran zaman.

Untuk menceriakan galeri, maka diabadikan pelbagai peralatan sezaman dengan Dato' Onn seperti barangan perhiasan, senjata, tembikar, basikal tua dan seumpamanya. Ketika lawatan, sistem audio video-nya pula tidak berfungsi, maka tiada tayangan multimedia dapat disiarkan.

Walau apa pun, kunjungan saya ke Batu Pahat amat menarik hati dan memberi kepuasan tersendiri. Sekurang-kurangnya Wisma Sejarah, Galeri Dato' Onn dan Dataran Penggaram telah pun saya singgahi. Banyak maklumat yang diperolehi dan pastinya saya teruja untuk berkunjung lagi ke Batu Pahat.