Tuesday, February 11, 2014

Gergasi Belakang Rumah

Imran, anak bongsu kami yang berusia 10 tahun amat meminati dunia haiwan sejak kecil lagi. Buku-buku berkaitan haiwan sememangnya menjadi koleksi utamanya. Sebahagiannya telah pun lunyai kerana terlalu kerap dibelek dan dibawa bersama kemana sahaja ia pergi. Lebih menarik lagi, Imran pandai membaca ketika berusia 5 tahun berpunca daripada minatnya terhadap buku-buku tersebut.

Sebutlah apa sahaja nama haiwan, Inshaa ALLAH akan diketahui termasuklah ciri-ciri umum bagi haiwan berkenaan. Namun kini minatnya berkurangan sedikit, selari dengan perkembangan usia dan persekitaran yang pelbagai kecenderungan.

Walaupun begitu, jika ada kesempatan mengunjungi taman haiwan, pameran dan pertunjukan yang berkaitan, pasti tidak akan dilepaskan peluang. Zoo Negara yang berdekatan rumah kami adalah antara destinasi lawatan yang diminatinya. Itu pun telah lama tidak kami singgahi. Kasihan Imran...

Pada hujung minggu baru-baru ini, bersama Imran dan sepupunya Hawa dan Wafi; kami ke Marina Putrajaya di Precinct 5, Putrajaya di mana pameran serangga dan dinosaur yang bertemakan Backyard Monsters and Dinosaurs sedang berlangsung. Pameran yang bermula dari jam 10 pagi - 10 malam ini telah pun hampir ke penghujungnya pada 28 Februari ini setelah bermula sejak akhir Ogos, 2013 lalu. Bayaran masuknya cuma RM10 untuk dewasa dan RM6 bagi kanak-kanak.

Imran kelihatan amat teruja sekali. Begitu juga Hawa dan Wafi. Tampak tidak sabar untuk memulakan penerokaan. 

Wafi ketakutan di sebelah Tarantula Gergasi
Menyelak tabir hitam di pintu masuk dewan pameran, hampir kesemuanya tergamam dan tersentak apabila terpandang ruangan dalaman yang gelap dengan penataan cahaya yang amat minima berserta bunyi-bunyiannya yang menakutkan. Tambahan pula menunggu di pintu masuk adalah seekor labah-labah Tarantula hitam yang amat besar, sesekali bergerak-gerak menyambut kehadiran para pengunjung.

Wafi yang berusia 3 tahun terus bergayut dengan ibunya dan langsung tidak ingin berenggang sepanjang berada di dalam dewan. Malah kanak-kanak lain yang lebih kurang sebayanya juga demikian lakunya. Bagi Imran dan Hawa yang telah pun berada di alam persekolahan, kejutannya hanyalah di peringkat awal sahaja. Selepas itu mereka seronok mendekati setiap replika serangga belakang rumah serta dinosaur yang dipertontonkan sambil mengenali lebih dekat haiwan-haiwan berkenaan.

Dengan keluasan dewan yang terhad, tidak banyak serangga dan dinosaur yang dapat ditonjolkan. Namun banyak makumat yang boleh diperolehi sekiranya rajin membaca dan melakukan pemerhatian. 

Terdapat 7 replika serangga gergasi iaitu Tarantula, Kumbang Tanduk, Kalajengking, Semut, Pepatung, Mentadak dan Labah-labah Black Widow. Pelbagai serangga yang diawet juga dipamerkan seperti Rama-rama, Kupu-kupu, Lebah dan Kumbang. Bagi dinosaur pula, terdapat 8 jenis semuanya iaitu Basilosaurus, Deinonychus, Stegosaurus, Tyrannosaurus, Apatosaurus, Dimetrodon, Triceraptor dan Pachycephalosaurus.

Umumnya, ianya kunjungan yang berbaloi. Cuma kami kurang berpuas hati dengan konsep pencahayaan yang suram menyebabkan pemandangan terbatas, sekaligus menyebabkan rupa setiap haiwan tidak dapat dihayati. 

Lebih menyedihkan, disebabkan kegelapan, suasananya amat menggerunkan bagi kanak-kanak kecil yang sepatutnya dapat berseronok sambil mengenali setiap serangga di sekeliling mereka dan realiti dinosaur yang hanya tinggal sejarah. Suasananya amat berbeza daripada Dinosaurs Live! yang kami kunjungi di Pusat Sains Negara di pertengahan tahun 2012 lalu.

Bagi merakam foto pula, tanpa menggunakan flash, hasilnya kurang memuaskan. Masalahnya, jika menggunakan flash, hasilnya juga mengecewakan kerana cahaya kamera menyebabkan warna asalnya hilang disimbahi cahaya. Bagi juru gambar profesional mungkin tiada masalahnya.

No comments: