Friday, February 7, 2014

Menjejaki Sejarah Batu Pahat

Beberapa hari lalu saya berkesempatan berada di Batu Pahat kerana mengiringi Laili yang mempunyai tugasan di Klinik Kesihatan Batu Pahat. Sementara menunggu sesi kerjanya berakhir di sebelah petang, saya mengambil peluang berjalan-jalan di sekitar bandar.

Mercu tanda Batu Pahat
Secara umumnya, Bandar Batu Pahat mencatat rentetan kisah sejarah yang amat bermakna untuk negara. Sebahagian daripada kesan-kesan sejarahnya masih dapat dilihat di merata ceruk di Batu Pahat samada melibatkan individu tertentu seperti Dato' Onn Jaafar ataupun bangunan  lama yang masih ada. Sewajarnyalah tinggalan sejarah ini dipelihara dengan baik sebagai warisan untuk generasi mendatang yang semakin tenggelam dalam arus kemodenan. 

Langkah pertama saya adalah menyinggah di Dataran Penggaram (nota: Bandar Penggaram adalah nama lama bagi Batu Pahat, merujuk kepada bandar pembuatan garam yang dikaitkan dengan penghasilan ikan masin). Di tengah-tengah dataran terdapat mercu tanda Bandar Batu Pahat yang menggambarkan batu sedang dipahat.

Central Point di Jalan Pejabat
Bersebelahan dataran pula, di susur pejalan kaki Jalan Pejabat, terdapat sebuah monumen sejarah yang ringkas, Central Point yang menjadi batu tanda terawal kerja ukur mengukur bagi pembangunan Bandar Penggaram yang diusahakan oleh Dato' Bentara Luar Johor, Dato' Muhammad Salleh bin Perang pada 2 Disember, 1893. Dengan titah Sultan Abu Bakar, secara rasminya Bandar Penggaram  telah dibuka pada 1 Januari 1894.

Beberapa buah bangunan lama berciri kolonial di Jalan Pejabat masih digunakan sehingga sekarang seperti bangunan Majlis Perbandaran Batu Pahat, Jabatan Kerja Raya dan Wisma Sejarah Batu Pahat.

Wisma Sejarah adalah tumpuan utama saya. Ianya dikendalikan oleh NGO Persatuan Sejarah Batu Pahat. Saya bernasib baik dapat bertemu dan berkongsi pandangan dan pendapat dengan beberapa orang penting persatuan dan juga beberapa orang peminat sejarah tempatan. Saya juga berkesempatan meneliti setiap bahan sejarah yang dipamirkan seperti sudut koleksi cenderahati, sudut Dato' Onn Jaafar, foto-foto serta barangan dan peralatan lama.

Dek kerana terlalu 'ghalib', 2 jam berlalu terasa amat pendek sekali. Sememangnya saya amat meminati bahan-bahan berunsur sejarah apatah lagi berkaitan dengan sejarah negara kita khususnya sejarah setempat yang dilawati.

Pada pandangan saya, koleksi sejarahnya amat menarik tetapi masih kurang memberi perhatian kepada pengumpulan maklumat peristiwa-peristiwa bersejarah di Batu Pahat, antaranya sejarah serangan pelampau agama ke atas Balai Polis Batu Pahat (di seberang jalannya) langsung tidak kelihatan.  Bangunan dan prasarananya juga tampak tidak terurus. Mungkin kerana ianya sebuah NGO tanpa sokongan pihak kerajaan. Sepatutnya tidak begitu.

Galeri Dato' Onn di hujung Padang Golf Batu Pahat
Di sebelah petangnya pula, atas gesaan AJK Persatuan Sejarah, Tuan Hj. Jamil, saya ke Galeri Dato' Onn Jaafar di Jalan Mohd Shah, bersebelahan Kelab Golf Batu Pahat. Ianya adalah rumah kerajaan yang didiami oleh Dato' Onn ketika menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat dari tahun 1945 hingga 1947.

Membelok masuk dari Jalan Kluang (seberang Masjid Jamek Sultan Ismail), saya kehilangan arah. Yang ditemui rumah kelab golf dan rumah persendirian. Rupa-rupanya galeri terletak di dalam kawasan padang golf. Malu bertanya sesat jalan. Terima kasih kepada pekerja di padang golf yang sudi menunjukkan arah.

Ketibaan saya disambut mesra oleh petugas galeri (jika tidak silap namanya En. Saiful). Tiada pengunjung lain selain daripada saya. Maka dapatlah saya berinteraksi secara terus atas maklumat yang ingin diketahui. Saya hormati polisi galeri, mengambil gambar tidak dibenarkan walaupun terdetik rasa terkilan.

Foto ehsan Persatuan Sejarah Batu Pahat
Sedikit sejarah Dato' Onn bin Jaafar. Beliau dilahirkan di Johor Bharu pada 12 Februari 1895 dari keturunan Turki di sebelah ibunya. Bapanya, Dato' Jaafar bin Muhammad adalah Menteri Besar Johor pertama. Sejak kecil beliau menjadi anak angkat kepada Sultan Ibrahim. Tidak hairanlah beliau mendapat pendidikan sehingga ke England dan juga memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar.

Banyak jawatan dalam kerajaan yang disandangnya, antaranya Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Johor, Ahli Mesyuarat Negeri, Pegawai Daerah Batu Pahat dan juga Menteri Besar Johor ke-7. Namun semangat cintakan kemerdekaan dari pihak British membuatkan beliau begitu aktif dalam politik sehingga tertubuhnya PSMJ, UMNO, Parti Negara dan gagasan menentang Malayan Union.

Umumnya, walaupun beliau dari kalangan bangsawan tetapi jiwanya amat dekat dengan rakyat serta berani menegur penguasa hatta sultan sendiri pun merasa bahangnya. Jasa beliau tetap dikenang sepanjang zaman.

Dato' Onn meninggal dunia pada 18 Januari, 1962 di Johor Bahru dan disemadikan di Tanah Perkuburan Mahmudiah, bersebelahan kubur bapanya. Moga rohnya sentiasa dirahmati ALLAH SWT. Ameen.

Foto ehsan Persatuan Sejarah Batu Pahat
Komen saya tentang Galeri Dato' Onn Jaafar - suasana dalamannya menarik. Ratusan koleksi foto-foto berkaitan Almarhum bergantungan memenuhi hampir setiap sudut dinding. Namun amat sedikit (malah hampir tiada langsung) tinggalan barangan peribadi beliau. Difahamkan, tiada koleksi seumpamanya diperolehi - mungkin telah pun tenggelam mengikut peredaran zaman.

Untuk menceriakan galeri, maka diabadikan pelbagai peralatan sezaman dengan Dato' Onn seperti barangan perhiasan, senjata, tembikar, basikal tua dan seumpamanya. Ketika lawatan, sistem audio video-nya pula tidak berfungsi, maka tiada tayangan multimedia dapat disiarkan.

Walau apa pun, kunjungan saya ke Batu Pahat amat menarik hati dan memberi kepuasan tersendiri. Sekurang-kurangnya Wisma Sejarah, Galeri Dato' Onn dan Dataran Penggaram telah pun saya singgahi. Banyak maklumat yang diperolehi dan pastinya saya teruja untuk berkunjung lagi ke Batu Pahat. 

No comments: