Sejak semalam kami di Hulu Kelang dan kawasan sekitarnya berdepan dengan gangguan bekalan air. Tiba-tiba sahaja paip tiada air. Hairan juga apa sebabnya. Takkanlah
dekat-dekat pilihanraya umum pun air buat hal? Langsung tiada notis gangguan yang diterima atau disebarkan.
Kredit Foto: Kosmo |
Rupa-rupanya paip besar
berukur lilit 2,000 mm di tebing sungai Kg Melayu, Batu Caves yang
membawa air dari Kolam Air Dusun Kubung ke Wangsa Maju pecah. Puncanya
tebing sungai tersebut runtuh dilanda hujan lebat pada hari berkenaan.
Diberitakan, gangguan air yang melibatkan lebih setengah juta penduduk ini mungkin berlarutan sehingga 5 hari walaupun kerja-kerja baik pulih dapat disiapkan dalam masa 2 hari.
Moga-moga segalanya pulih dengan kadar segera. Sabar sahajalah. Dugaan.
Syukurlah di rumah kami terdapat beberapa tangki. Bolehlah bertahan untuk beberapa jam sebelum ianya kering. Akhirnya satu tangki sahaja yang tinggal, itupun yang terdapat di bilik air bilik tidur kami. Itulah yang kami kongsi sehingga ke hari ini terutama untuk qadha hajat dan berwuduk. Entah bila gilirannya akan kering.
Aduhai.... untuk menyelamatkan keadaan kenalah kami balik ke rumah di Saujana Puchong. Malam tadi kami bermalam di sana. Begitu juga malam ini. Hujung minggu, Insya Allah rutin kami sememangnya berada di Saujana Puchong.
Lega kerana dapat mandi, bersuci dan membasuh pakaian. Kasihan pada mereka yang terpaksa mencatu penggunaan air - kurangkan mandi, elakkan membasuh dan bermacam cara lagi, asalkan air sentiasa ada.
AlhamduliLLah, ada lori tangki SYABAS datang menghantar air di sekitar penempatan kami di Hulu Kelang. Dapatlah digunakan untuk keperluan mendesak. Peliknya ada kawasan perumahan yang tidak mendapat bekalan air berkeanaan. Entah macam mereka menghadapinya.
Kami yakin, di sebalik setiap kesulitan pasti ada hikmahnya. Sekurang-kurangnya kami belajar berjimat dan menghargai air. Ada manafaatnya ada rumah di Puchong yang tidak termasuk di lingkungan krisis air Gombak.
Syukur AlhamduliLlah atas setiap kurniaan dan anugerah daripadaNYA.
No comments:
Post a Comment