Sunday, July 17, 2011

Semarak Ramadhan

Pertamanya, maafkan saya kerana sekian lama menyepi. Saya ada, tidak ke mana. Saban hari menghadap komputer. Naluri menulisnya masih segar tetapi kerap tertangguh dek kemalasan sendiri. Entahlah... kasihan pada rakan-rakan yang menyinggah tetapi tiada apa yang baru...

Menjelang Ramadhan yang bakal tiba seminggu dua lagi, izinkan saya nukilkan bicara santai 2 sahabat baik ketika berjalan-jalan di sebuah pasaraya terkenal di pinggir ibu kota beberapa hari lalu.
"Man, engkau tengok tu, bertimbun-timbun kueh raya. Macam-macam jenis ada", kata Min sambil memuncungkan bibirnya ke arah pintu masuk Giant.
"Eh, kan bulan puasa dah dekat. Tiap-tiap tahun kan macam tu. Takkan tak biasa kot", sanggah Man kehairanan.
"Itulah yang buat aku rasa cuak tu...", luah Min dengan rasa jengkil.
"Eh, apasal pulak. Apa salahnya...", Man benar-benar merasa pelik.
"Emm, itulah salahnya...", kata Min sambil mengunyah gula-gula getah, membiarkan Man terpingga-pingga menanti jawaban seterusnya.
"Salahnya kebanyakan dari kita lebih teruja menyambut Hari Raya berbanding menyambut kedatangan bulan Ramadhan. Iklan di akhbar dan majalah pun makin bersepah dengan promosi berwarna-warni jualan mega raya dan bermacam-macam lagi tentang raya. Promosi Semarak Ramadhan jika ada pun kecil sahaja, langsung tidak menyerlah. Sebahagiannya pula sibuk menukar langsir baru, set sofa baru, projek kueh raya dan bermacam-macam lagi". Syarah Min panjang lebar.
"Betul kata engkau tu. Kasihan Ramadhan. Ramai daripada kita tidak bersungguh-sungguh menerima kunjungan Ramadhan. Mereka lebih seronok dengan Syawal. Sedangkan Ramadhan perlu mereka tempuhi dahulu sebelum tibanya Syawal. Keberkatan Ramadhan yang melimpah ruah mengatasi bulan-bulan lain tidak diendahkan, akhirnya terlepas begitu sahaja", tambah Man sambil mengiakan kata-kata sahabatnya itu. Faham dengan apa yang dimaksudkan di awal bicara.
Justeru itu, aku berpesan kepada diriku dan juga teman-temanku, usahlah kita menjadi seperti mereka. Marilah kita berusaha sedaya mungkin untuk meraih sebanyak-banyaknya keberkatan yang ada pada Ramadhan. Janganlah dikisahkan sangat Hari Raya, yang penting Ramadhan wajar diimarahkan dahulu. Sedari sekarang kita perlu mengulangkaji balik ilmu berkaitan Ramadhan dengan harapan moga Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan terbaik berbanding Ramadhan-Ramadhan sebelumnya.
Ramadhan bukan sekadar bulan puasa tetapi sebenarnya bulan ibadah, bulan ampunan, bulan keberkatan, bulan kemurahan, bulan kesabaran, bulan pendidikan, bulan Al-Quran dan bulan limpahan rahmat Allah SWT. Ganjaran pahala dan pemurahnya Allah SWT berlipat kali ganda tanpa sempadan. Itulah janji Allah SWT di bulan Ramadhan berbanding di bulan-bulan yang lain.
Bersabda RasuluLlah SAW, "Jika umat manusia mengetahui kelebihan yang terdapat dalam bulan Ramadhan, nescaya umatku menginginkan supaya dijadikan Ramadhan itu sepanjang tahun".
RasuluLlah SAW juga pernah mengingatkan kita,"Apabila tiba bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu syaitan-syaitan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Malah banyak lagi ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang menceritakan kelebihan dan kemuliaan bulan Ramadhan. Tidak hairanlah betapa para salafussoleh amat merasa gembira dengan kehadiran bulan Ramadhan dan merasa amat sedih di akhir Ramadhan.
Marilah kita sama-sama berusaha mengikut apa yang disarankan oleh idola kita, RasuluLlah SAW. Hanya redho Allah SWT yang didambakan. Moga setiap apa yang kita lakukan dicatatkan sebagai amal di sisiNya. Ameen.

No comments: