Sunday, February 6, 2011

Futsal Team Hj Sulaiman

Atuk/Oyang Hj. Sulaiman yang tinggal di Kg. Bukit Bangkong, Selangor mempunyai ramai cucu dan cicit. Kebanyakannya sedang meningkat remaja dan ada juga yang telah pun berkeluarga seperti kami. Sebahagian besarnya adalah lelaki.
Keakraban anak-cucu-cicit terutama di kalangan anak remaja bagaikan aur dengan tebing. Walaupun masing-masing tinggal berjauhan, namun pantang berjumpa, ada sahaja yang rancangan yang diatur. Apatah lagi dengan adanya kemudahan internet, melalui Facebook komunikasi sesama mereka menjadi lebih mudah. Hasilnya tertubuhlah 'team Hj Sulaiman'.

Di kalangan ahli team lelaki; pastinya remaja belasan tahun dan awal 20an, futsal sentiasa menjadi topik paling utama/hangat dibincangkan. Daripadanya telah beberapa kali mereka berkumpul ketika musim cuti persekolahan/ pengajian dan sama-sama turun ke gelanggang futsal. Satu usaha yang amat baik sekali. Sekaligus menjadi sebab-musabab bagi setiap keluarga untuk bertemu dan berkumpul.

Pada pagi Sabtu baru-baru ini, sempena cuti Tahun Baru Cina, buat kali ketiganya mereka turun ke gelanggang futsal. Kali ini di Bandar Baru Salak Tinggi, tidak jauh dari rumah Cik Kamal dan Wak Mail-Wak Tina. Difahamkan, kali pertama mereka bermain di Tanjung Malim, kali kedua di BB Salak Tinggi dan kali ketiga ini juga ditempat yang sama.

Izzuddin, anak sulung kami yang amat meminati sukan bolasepak tidak melepaskan peluang keemasan ini. Dialah satu-satunya cicit Hj Sulaiman yang bermain. Lain-lain pemain adalah cucu-cucu Hj Sulaiman (pangkat pakcik) dan anak Hj Sulaiman (pangkat atuk). Seramai 16 orang semuanya turun. Bolehlah dibentuk 3 pasukan. Itupun masih ramai cucu-cicit lelaki Hj Sulaiman yang tidak berkesempatan turun. Jika dikumpulkan kesemuanya bolehlah ditempah padang bola sepak pula.
Koleksi foto terdapat di Album Foto Kami (Futsal @ BB Salak Tinggi) atau klik di sini.

Gelanggang futsal yang terletak di bangunan Meracipta Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian BB Salak Tinggi amat selesa sekali. Bayaran tempahannya amat berpatutan, RM 90.00 untuk 2 jam. Mereka menempahnya dari pukul 10:00 pagi - 12:00 tengahari.

Selama 2 jam di tengah gelanggang, bersilih ganti pasukan dan pemain, mereka bagaikan tidak mengenal penat dan lelah. Muka memerah dan peluh bercucuran membasahi pakaian langsung tidak dihiraukan. Stamina mereka amat mengkagumkan. Keseronokan apabila sesekali dapat bersama mengatasi segalanya. Bermain, beriadah penuh ceria sambil memupuk silaturahim yang sedia terjalin. Demikianlah ni'mat ukhuwah yang tidak ternilai harganya.

Tabik spring untuk semua. Bukan sahaja kerana kesungguhan dan semangat kesukanan yang ditunjukkan tetapi juga kerana kehebatan mereka bermain. Sepakan mereka bagaikan peluru, larian mereka bagaikan lipas kudung dan kemahiran mereka tiada tolak bandingnya. Tidak sukar untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap dan digeruni lawan. Tahniah team Hj. Sulaiman.

Tamat permainan, masing-masing beredar pulang ke kampung. Manakala kami sekeluarga bersama keluarga Bakhtiar pula menyinggah di rumah Cik Kamal, atas jemputan makan tengahari. Terima kasih Cik.
Insya Allah, ketika cuti persekolahan Penggal 1 pada bulan Mac nanti, mereka merancang akan turun ke gelanggang futsal di Bandar Baru Bangi pula sambil berkunjung ke rumah Cik Samian-Cik Ros yang tinggal di sana.
Sehingga kini dengar-dengarnya masih belum ada jawatankuasa khusus yang mengendalikan team futsal/bola sepak ini. Mohon mencadang, ada baiknya ditubuhkan untuk kebaikan bersama. Banyak perancangan yang lebih tersusun dapat dilakukan termasuk dari sudut kewangan. Terlebih elok lagi jika ada Persatuan Keluarga Hj. Sulaiman. Maka team futsal/bola sepak ini dapat bernaung di bawahnya.

2 comments:

Anonymous said...

salam....abg,sy x dpt tgk gmbr futsal pon...pastu sal aktiviti team hj sulaiman bukan sekadar futsal je..mcm2 blh buat.insyaallah program yg akn dilangsungkn bulan 3 nie ialah bowling(boleh rujuk pd team hj sulaiman).pastu sal jawatankuasa tu kte akn bincangkn ms gathering nnt.insyaallah kte akn usaha same2...
(fadzil samian)

Anonymous said...

salam, thanks fadil.kami boleh bukak tengok gambar tu. orang lain camne? sapa rajin tlglah pilih gambar utk upload kat FB.

kak eley