Wednesday, February 16, 2011

Walimah Nasrul Hakim

Perkahwinan adalah sunnah bagi setiap Rasul. Firman ALlah SWT dalam surah Ar-Ra'ad, ayat 38, "Dan kami (Allah) telah mengutuskan beberapa Rasul sebelum kamu dan Kami menjadikan untuk mereka isteri-isteri dan keturunan".

Pengantin berbaju ungu di Pondok Al-Ulum bersama sebahagian ahli keluarga
Semalam, pada hari nan mulia dan diingati seluruh umat Islam seluruh dunia, Maulidur Rasul; adik bongsu Laili, Nasrul Hakim selamat mengakhiri zaman bujangnya. Pilihan hatinya adalah Nor Azimah binti Mohd Noor (Nora). Dengan sekali lafaz sahaja, penuh yakin dan tenang, sahlah mereka berdua bergelar suami dan isteri. Tahniah.

Emm... nama bapa Nora serupalah dengan nama bapa saya... Adik kot? Tidak dinafikan, memang adik pun tetapi berlainan ibu dan bapa...8) Dan kini Nora sah berstatus adik ipar @ biras. Bertambah seorang lagi ahli keluarga Hj. Tauhid-Hjh Azizah.

Menariknya, perkahwinan Nasrul Hakim ini diatur oleh Ustaz Sabaruddin, mudir Pondok Al-Ulum, Lanchang, Pahang yang sering bertandang menyampaikan kuliah tengahari di pejabatnya.

Selamat Pengantin Baru Hakim dan Nora. Moga kalian berdua serta zuriat yang bakal dianugerahkanNya sentiasa dirahmati Allah SWT dan kekal bahagia selamanya. Ameen.

Majlis akad nikah mereka telah dilangsungkan di Pondok Al-Ulum, Kg. Paya Siput, Lanchang dengan disaksikan oleh ahli keluarga dan sanak saudara terdekat serta kenalan rapat. Turut sama anak-anak didik Ustaz Sabar, tuan-tuan guru pondok dan para jemputan lain. Pada majlis yang sama dilangsungkan juga akad nikah sepasang mempelai yang juga anak didik Ustaz Sabar.

Hakim di hadapan kadi dan para saksi pernikahan
Sebelum bertolak ke Lanchang yang terletak hampir 100 km dari Hulu Kelang, setiap tetamu dan ahli rombongan dijamukan dengan sarapan pagi; nasi lemak, roti canai dan kueh-mueh. Melewati jam 11:00 pagi, kami tiba di Pondok Al-Ulum dengan diiringi 16 buah kereta (kira-kira 100 orang pengiring). Seusai majlis, kami dijamukan dengan makan tengahari yang tiada taranya; nasi berlauk ikan patin dan daging kerbau.
Tanpa disangka-sangka, di madrasah pondok, ketemu saya akan 2 orang rakan lama yang sama-sama menuntut di ITM Shah Alam hampir 20 tahun lalu, Sdr. Hud dan Sdr. Fadli. Rupa-rupanya Hud adalah tetamu Ustaz Sabar, juga kenalan rapat bos Hakim. Manakala Fadli pula datang meraikan mempelai dari Temerloh yang berkahwin dengan pelajar pondok berkenaan pada minggu lepas. Kedua-duanya tinggal di sekitar Hulu Kelang sahaja. Insya Allah bolehlah ketemu lagi di lain kesempatan.
Insya Allah majlis jemputan perkahwinan akan diadakan pada awal bulan April nanti di saat kesemua adik beradik Hakim ada bersama.
ps... Maaf, foto pengantin perempuan tidak disertakan, khuatir tidak dibenarkan.

No comments: