Tuesday, September 18, 2007

Cari Rumah Sewa

Setelah tiba di Australia, di samping pendaftaran Laili di Monash Uni, agenda utama kami adalah cari rumah sewa secepat yang mungkin. Dari pengalaman kami di Adelaide pada tahun lepas, ianya bukan perkara mudah kecualilah mendapat rumah dari tangan pelajar Malaysia yang akan menamatkan sewaan mereka dalam masa terdekat. Ini juga yang kami alami di sini di mana usaha pencarian rumah mengambil masa kira 2 minggu, bermakna selama itulah kami terpaksa menumpang di rumah Sdr Khairuddin (Thanks a lot Din & Liza).

4 beradik seronok bermain kuda kayu di belakang rumah Khairuddin & Azliza.

Proses Sewa Rumah

Proses mendapatkan rumah tidak seperti di Malaysia, cukup sekadar berjumpa dengan tuan rumah, kalau berminat terus ambil. Di Australia biasanya dilakukan melalui agen hartanah (ada juga yang berurusan terus dengan tuan rumah seperti rumah sewa kami di Adelaide dahulu). Iklan rumah kosong boleh didapati di akhbar, pamplet, melalui internet ataupun papan iklan di hadapan rumah yang diiklankan. Jika berminat, masa lawatan akan ditetapkan, biasanya bersama-sama dengan lain-lain pencari rumah sewa lain.

Seterusnya, borang akan diisi dengan memasukkan butiran diperlukan termasuk sumber kewangan berserta salinan dokumen yang berkaitan. Sementara menunggu jawapan, carilah lagi mana-mana rumah lain yang berkenan kerana tidak semestinya setiap permohonan akan berjaya.

Pembayaran sewa biasanya dilakukan secara bulanan (walaupun dalam iklan diletakkan harga sewaan mingguan) berserta sebulan bayaran bond (atau deposit) yang akan dipegang oleh Residential Tenancies Bond Authority. Perjanjian sewaan juga akan ditandatangani dengan agen dan Conditional Report perlu dipulangkan dalam masa yang ditetapkan setelah rumah diduduki. Elektrik, air, gas dan telefon biasanya diuruskan oleh agen dan perkhidmatan sambungannya amat cepat.

Di Australia, gas disalurkan ke rumah-rumah sama seperti elektrik dan air. Gas ini bukan sahaja digunakan untuk tujuan memasak tetapi juga untuk memanaskan rumah dan juga sumber air panas. Kos penggunaan gas adalah lebih murah berbanding elektrik.

Ducted heating bermaksud seluruh rumah disalurkan gas pemanas ketika sejuk (terutama di musim sejuk dan malam hari). Ini kerana ada juga rumah yang menggunakan gas pemanas untuk ruang tamu sahaja, di lain tempat kenalah gunakan pemanas elektrik. Begitu juga ada rumah yang tiada kemudahan gas untuk memasak tetapi perlu menggunakan elektrik.

Usaha Kami

Kebetulan rumah Din ada internet, jadi kebanyakan iklan kami perolehi melaluinya dan juga pamplet yang diambil dari pejabat agen yang berdekatan yang siap tertera jumlah sewaan seminggu.

Untuk membuat pilihan, beberapa kriteria kami tetapkan, antaranya :-
- Sewaan sekitar $250/week.
- Rumah sebuah.
- Mempunyai 3 bilik.
- Ada garaj atau ruang letak kereta.
- Ada laman di belakang (backyard).
- Sebaiknya tersedia almari pakaian (wardrobe).
- Berdekatan sekolah rendah dan masjid.
- Dilengkapi ducted heating & gas cooking.


Dalam usaha mendapatkan rumah sewa, tidak kurang dari 20 buah rumah dilakukan tinjauan dari luar berdasarkan alamat yang diberikan dan kira-kira 10 buah dilakukan pemeriksaan dan 4 darinya dibuat permohonan. Antara kawasan yang menjadi tumpuan kami adalah di sekitar kampus Monash Uni di Clayton, Springvale, Noble Park dan Dandenong. Kami terhutang budi pada Din yang sentiasa berlapang dada membawa kami berpusing-pusing merata ceruk meninjau rumah-rumah sewa yang diiklankan kerana kami di ketika itu kami masih belum ada kereta, tambahan pula masing lagi dengan persekitarannya.

Pada minggu kedua, barulah dapat jawapan, tak sangka pula setiap permohonan kami berjaya. Yang pertama rumah di Clayton, seterusnya di Noble Park, lepas tu 2 rumah di Dandenong. Rumah di Clayton (Malawa Street) kami tolak kerana rumahnya agak usang dan kurang selamat untuk diduduki. Rumah di Noble Park (Prior Rd) hampir-hampir kami masuk kerana agak luas dan tertutup tetapi agak jauh dari sekolah dan masjid serta electric cooking. Rumah di Gerald Street di Dandenong kami tolak awal-awal walaupun agak menarik dan kemas kerana tuan rumahnya kelihatan agak cerewet. Rumah yang kami duduki sekarang menjadi pilihan kerana lebih memenuhi kriteria yang ditetapkan tetapi kedudukanya di tepi jalan besar, Heatherton Rd. Dandenong menjadi pilihan kerana komuniti Islamnya agak ramai, senang mendapatkan sumber makanan yang halal, asian groceries dan pasarnya agak dekat.

Inilah rumah sewa kami
Untuk rumah yang kami sewa, walaupun proses mendapatkan rumah dilakukan melalui agen tetapi pembayaran sewa dan sebarang permasalahan dihadapi berurusan terus dengan tuan rumah, pasangan muda tanpa anak keturunan Greek yang tinggal di Noble Park, Mr. Tas dan Kirstie. Alamat rumah kami,

1541 Heatherton Rd,
Dandenong,
Victoria 3175,
AUSTRALIA.

No comments: