Monday, September 17, 2007

Berangkat ke Melbourne

Tanggal 30-Julai-2007 masih segar di ingatan. Kami sekeluarga menaiki pesawat Malaysia Airlines MH 149 (Boeing 777-200) ke Melbourne, Australia. Laili diterima menyambung pengajian PhD di Monash University untuk tempoh 3 tahun. Anak beranak semuanya turut serta. Emak, abah serta adik-adik tidak ketinggalan menghantar kami di KLIA. Tidak terkecuali Lutfi serta rakan-rakan sekerja di MSCSB. Terima kasih pada semua. Penerbangan berlepas kira-kira jam 09:30 malam.
Dalam pesawat, Iddin sendirian di Business Class (tiada tiket Economy Class) menggantikan tempat Imran yang tidak termasuk dalam quota tajaan UKM yang hanya menaja 3 orang anak sahaja. Yang lain-lain sederet di kerusi tengah 18D - 18H Economy Class. Sepanjang penerbangan hanya Imran yang tidur lena, manakala yang lain-lain ralit dengan tayangan video atau main games di kerusi masing-masing sambil menjamu selera dari makanan yang disediakan. Lena pun hanya seketika... bangun tidur sambung balik tengok video.
AlhamduliLlah kami selamat tiba di Melbourne Airport keesokan harinya, kira-kira jam 07:00 pagi (05:00 pagi waktu Malaysia). Bagasi yang kami bawa agak banyak; 2 kotak besar, 4 beg besar dan 6 beg sandang. Pemeriksaan bagasi di lapangan terbang di Australia terkenal ketat. AlhamduliLlah, ianya berjalan lancar. Hanya kotak yang diisytiharkan ada makanan yang dibenarkan serta kasut sahaja yang dibuka, tiada kotak/ beg lain yang diminta buka secara rawak.
Imran kesejukan sementara menunggu dijemput
Musim sejuk (winter) dah di penghujung tetapi suhunya masih lagi sejuk, 9 darjah Celcius. Kami dijemput oleh Aznan (orang lama, pensyarah dari USM) dan Khairuddin (orang Terengganu, isterinya pensyarah KUSTEM, pelajar PhD di Monash Uni). Di rumah Khairuddin (Din) inilah kami menumpang selama 2 minggu sebelum dapat rumah sewa. Jutaan terima kasih pada mereka yang melayan kami dengan amat baik sekali, moga dirahmati Allah. Amiin.

No comments: