Hujung minggu baru-baru ini (26/7~29/7)... dari Kuala Lumpur kami turun ke Besut.
Petang Khamis, kami menjemput Imran di Imtiaz Besut - giliran Balik Bermalam Wajib dan pulang ke rumah Tok Ayah di Kuala Terengganu. Solehah yang berjiran di MRSM Kota Putera, Besut pula tidak ikut pulang - sedang sibuk dengan program persediaan SPM kira-kira 3 bulan lagi.
Ada hikmahnya anak-anak bersekolah di Terengganu. Sekurang-kurangnya sekali sebulan kami pulang menjenguk keluarga di kampung. AlhamduliLLAH...
Solehah dan Rakan-Rakan Sekelas |
AlhamduliLLAH... elok-elok sahaja kami tiba di maktab, para pelajar Tingkatan 5 baru sahaja tamat kelas tambahan. Dapatlah mereka membantu menyiapkan tempat makan dan menyajikan juadah yang dibawa di bawah payungan Pepohonan Rhu di laman maktab.
Juadahnya tidaklah seberapa. Sebahagiannya dibeli bagi memenuhi permintaan sebilangan pelajar yang berhajat tetapi dapat dikongsi bersama merasainya; antaranya nasi minyak, nasi impit, nasi dagang dan keropok lekor panas-panas.
Kanvas dihampar, juadah diatur di meja santai dan air dibancuh. Sekejap sahaja, semuanya siap. Apa lagi... perut pun dah berkeroncong... Seronok lihat anak-anak makan penuh berselera diselangi gelak tawa dan usik mengusik. Tidak ketinggalan sesi fotografi sesama mereka sebagai kenang-kenangan.
Santai Lepak-Lepak Sambil Menjamu Selera |
Sebelum beredar... bersama-sama mereka mengemaskan arena makan-makan agar kembali bersih dan teratur. Seterusnya bersalam mesra sambil mohon doakan kejayaan untuk mereka. In shaa ALLAH... All the Best... Berusahalah sambil sentiasa mengingatiNYA. Moga berjaya cemerlang semuanya. Ameen.
Hujung minggu ini pula, mereka akan diraikan di dalam majlis makan-makan santai yang lebih besar... pastinya lebih meriah dan 'mewah' menunya... merangkumi semua pelajar Tingkatan 5, guru-guru dan ibubapa. Majlis yang dianjurkan oleh Kumpulan Sokongan IbuBapa (KSIB) Alam Maya. Sayang... kami tidak dapat bersama kerana kekangan jarak dan masa. Moga segalanya berjalan lancar. Ameen.
No comments:
Post a Comment