Monday, May 16, 2016

Selamat Hari Guru

Tidak terlambat untuk kami ucapkan 'Selamat Hari Guru' kepada semua para guru atau pun lebih tepat lagi para pendidik. Dari peringkat rendah sehinggalah ke pusat pengajian tinggi.

Urusan mendidik adalah satu tugas murni. Satu amanah yang amat tinggi nilainya. Apatah lagi ianya berkait rapat dengan ilmu di mana orang yang berilmu dianugerahi darjat yang tinggi di sisi ALLAH SWT. Jika bukan jasa guru yang mendidik mana mungkin seseorang itu menjadi seorang yang berilmu. Betapa beruntungnya menjadi seorang guru.

Umumnya, tugas mendidik menjadi kewajiban utama para guru di sekolah-sekolah. Hampir saban hari mereka dikelilingi oleh anak-anak murid yang diamanahkan oleh para ibu bapa untuk mencedok sebanyak mungkin ilmu pengetahuan. Bukan sekadar ilmu berkaitan akademik semata-mata tetapi turut sama berusaha menyantuni sahsiah atau pembentukan akhlak yang baik.

Ramai yang tidak menyedari betapa beban yang dipikul para guru amat berat sekali. Apakan tidaknya... masalah disiplin dan kelembapan proses pembelajaran murid-murid pun adakalanya diletakkan sepenuhnya atas 'pundak' para guru. 

Segelintir ibu bapa lazimnya lebih suka menyalahkan para guru kiranya timbul masalah pada anak-anak mereka. Sedangkan itu adalah anak-anak mereka sendiri. Menjadi kewajiban utama kepada mereka untuk mencoraknya.

Di sekolah seorang guru mempunyai sekitar 40 orang 'anak' untuk diasuh sedangkan di rumah, ibu bapa hanya mempunyai beberapa orang anak sahaja untuk dididik. Insafilah bahawa anak-anak adalah amanah ALLAH kepada para ibu bapa bukannya kepada guru.

Sedarilah... kita semua sebenarnya juga adalah guru. Guru kepada ahli keluarga kita sendiri terutama kepada anak-anak kita. Dan tanpa kita sedari sebenar-benarnya setiap orang termasuk anak-anak kita adalah juga seorang guru kerana adakalanya tanpa kita sedari kita belajar daripada mereka.

Maka elok juga ucapan Selamat Hari Guru kita ucapkan sesama kita sebagai satu peringatan bahawa kita pun seorang guru.

SELAMAT HARI GURU untuk semua.

No comments: