Tuesday, July 26, 2011

Hari Keluarga Hj Zubir

Buat kesekian kalinya, kira-kira separuh daripada lebih 200 orang anak-cucu-cicit-piut kepada Almarhum Tuan Haji Zubir @ Lebar @ Leber @ Maanoh @ Mat Noh dan Almarhumah Hajjah Tayyam berkumpul lagi. Kali ini bertempat di Al-Sakinah Eco Resort @ Janda Baik, Pahang pada tarikh 22-24 Julai baru-baru ini. Satu lokasi yang damai, tenang dan segar dilingkungi pepohonan menghijau dan sebatang kali yang mengalir sejuk airnya.
Simbolik bermulanya Majlis Sambutan Hari Keluarga kali ini adalah aktiviti meredah hutan dari Kemensah, Hulu Kelang sehinggalah ke Janda Baik yang disertai oleh beberapa anak-cucu-cicit Hj. Zubir. Mereka memulakan perjalanan pada petang Jumaat, bermalam di hutan dan tiba di destinasi yang ditujui menjelang tengahari keesokan harinya.
Demikianlah imbasan perjalanan yang terpaksa ditempuhi oleh Hj. Zubir dan Hajjah Tayyam selama berminggu-minggu ketika zaman kanak-kanak mereka. Merantau dari Pulau Jawa meninggalkan sebahagian keluarga di sana, seterusnya berjalan kaki menyusuri laluan keretapi sehingga tiba di Kg. Bukit Bangkong, Selangor semata-mata merintis kehidupan yang lebih terjamin untuk zuriat keturunan mereka di kemudian hari.
Secara umumnya, Hj Zubir-Hjh Tayyam mempunyai 10 orang anak; 5 lelaki dan 5 perempuan. Abah Hj. Tauhid adalah anak lelaki pertama dan juga anak kedua dalam keluarga selepas arwah Wak Long Samiah. Hampir kesemua anak-anak Hj. Zubir telahpun mempunyai cucu/bakal menimang cucu. Malah anak Wak Long ada yang telah bergelar datuk/nenek, bermakna keturunan Hj. Zubir kini telah pun berkembang sehingga generasi ke-4.
Sebahagian daripada keluarga Abah Hj. Tauhid ketika sesi Takruf Keluarga
Walaupun hanya sebahagian sahaja ahli keluarga yang dapat menghadirkan diri pada sambutan Hari Keluarga pada kali ini, namun kemeriahannya tiada kurangnya. Inilah masa dan saatnya kami semua dapat berkumpul dan saling kenal mengenali secara lebih dekat setiap ahli keluarga. Sesi Takruf setiap keluarga induk amat banyak membantu. Begitu juga dengan program Explorace, memancing, mewarna dan pelbagai lagi dapat mengeratkan silaturrahim dan rasa hormat di kalangan ahli keluarga. Tidak dilupakan juga slot Tazkirah Maghrib dan Subuh sebagai santapan rohani; bekalan dan peringatan selama di dunia.
Bagi kami sekeluarga yang hampir 4 tahun di perantauan Australia, terlalu banyak pertambahan dan perubahan ahli keluarga Hj. Zubir. Dari pemerhatian kami, sebahagian daripadanya adalah orang baru samada yang baru berkahwin, mendapat zuriat, yang kecil telahpun meningkat remaja dan bermacam-macam lagi.
Juara Explorace meraikan kemenangan
Slot pengkisahan sejarah hidup Hj. Zubir dan Hjh. Tayyam yang disampaikan oleh Hj. Shuib dan Hj. Tauhid amat menyentuh perasaan. Ramai yang mengalirkan air mata terharu mengingatkan setiap pengorbanan mereka yang tiada taranya. Dengan izin Allah SWT, hasilnya kini dikecapi penuh ni'mat oleh zuriat-keturunan mereka berdua. AlhamduliLlah, setinggi-tinggi pujian kehadrat Illahi.
Ya Allah, ampunilah dosa dan salah-silap Hj. Zubir dan Hjh. Tayyam, dirahmatilah kedua-duanya dan tempatkan mereka di syurgaMu tanpa hisab.
Ya Allah, suburkanlah hati-hati kami dengan nilai iman dan Islam serta ukhuwah yang baik sesama kami.
Ameen, ameen, ameen Ya Rabbal 'alameen".

Wednesday, July 20, 2011

Jalan2 Di Zoo Negara

[Ini kisah sebulan lepas, baru kini berkesempatan untuk disiarkan. Hasrat hati nak muat turun foto ke Album Foto tetapi tidak kesampaian kerana prestasi capaian internet amat mengecewakan]

Anak bongsu kami, Imran (bertopi kuning) amat-amat-amat meminati dunia haiwan. Setiap kali melancong ke tempat-tempat tertentu, di dalam mahupun di luar negara, zoo dan taman haiwan (wildlife park/sanctuary) adalah tempat yang diidamkannya. Hingga kini, jika ditanya apakah cita-citanya, pasti jawabannya, "Zookeeper". Demikianlah biasan dari minatnya.

Sebelum bertolak pulang ke tanah air dari Australia pada awal tahun baru-baru ini, telah pun diluahkan hasrat hatinya untuk ke Zoo Negara yang letaknya tidak sampai pun 1 km dari rumah kami di Hulu Kelang. Cuma syaratnya perlu bersama-sama dengan sepupu-sepapatnya yang hampir sebaya dengannya.

Setelah seringkali bertangguh, di pertengahan bulan lepas impian Imran tercapai. Lebih menyeronokkan lagi apabila dapat bersama-sama dengan Adam, Hawa, Zahra dan abang-abang serta kakak-kakak; Izzuddin, Arif, Hanisah, Solehah, Karimah, Ainul, Aiin dan juga ibu-ibu serta bapa-bapa masing-masing. Cuma terkilan kerana Abid dan Kaisah tidak turut serta. Insya Allah di lain kesempatan kita dapat bersama.

Sedikit Info: Keluasan Zoo Negara adalah kira-kira 110 ekar. Ianya mula dibuka secara rasmi pada 14 November, 1963. Difahamkan terdapat lebih 5,100 ekor haiwan daripada hampir 460 spesis pelbagai jenis di zoo ini.

Kami tiba di Zoo Negara sekitar jam 11:00 pagi. Di saat pertunjukan haiwan di Show Amphitheatre hampir bermula. AlhamduliLlah, itulah tarikan utamanya. Konsep persembahannya ada sedikit penambahbaikan berbanding 2,3 tahun lepas. Beberapa haiwan baru diperkenalkan dengan aksi-aksi yang menghiburkan. Namun kelincahan singa laut, Bart yang menjadi bintang utama sejak sekian lama masih kekal dengan aksi-aksi yang mencuit hati.

Seterusnya kami ke Akuarium Tunku Abdul Rahman dan juga menyusuri hampir setiap kandang haiwan dan exhibit yang ada. Seimbas pandang tiada perubahan ketara. Malangnya hampir semua haiwan kelihatan tidak aktif. Sekadar duduk-duduk bersantaian, tidur ataupun bersembunyi di dalam rumah. Mungkin masing-masing sedang kekenyangan selepas diberi makan. Nampaknya lain kali jika ingin datang lagi ke Zoo Negara, kenalah masuk di sebelah petang pula.

Walaupun begitu, anak-anak berpeluang membelai dan mengusap seekor ular daun jinak di pintu masuk Reptile House. Satu pengalaman yang mungkin tidak dilupakan di samping menimba sedikit sebanyak maklumat berkaitan yang disampaikan oleh petugas zoo.

Tidak disangka-sangka ketemu rakan lama ketika di Australia dahulu, Sdr. Nazar yang kini bertugas di Bahagian Pendidikan Zoo Negara. Tidak banyak perkara yang sempat dibualkan kerana beliau sedang bertugas. Insya Allah ketemu lagi.

Hampir 4 jam berjalan kaki, mendaki dan menuruni bukit, penatnya amat terasa. Kami berehat pun ketika berhenti di beberapa singgahan untuk makan-minum bekalan yang dibawa/dibeli dan juga menyinggah di surau untuk bersolat Zohor.

Lain pula halnya dengan anak-anak, tetap aktif macam tiada apa-apa. Dunia kanak-kanak sememangnya begitu. Apabila masuk ke kereta barulah masing-masing kelihatan letih-longlai tidak bermaya, ibarat bateri kehabisan tenaga. Selepas dicaj, kembali segar.

Tuesday, July 19, 2011

Perginya Seorang Mujahidah

Sejambak mewangi Al-Fatihah seikhlas hati kami titipkan untuk Almarhumah Dr. Hajjah Lo' Lo' Datuk Hj. Mohd Ghazali yang telah kembali ke rahmatulLlah pada malam Isnin (17/07/2011) baru-baru ini. Sekitar jam 10:15 malam, beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Selayang setelah sekian lama menderita kanser paru-paru.
Jenazah beliau telah ditempatkan di Masjid Al-Akram, Kg. Datuk Keramat, KL sehinggalah disolatkan oleh ribuan penziarah dan dikebumikan penuh tawadduk di Tanah Perkuburan Islam berdekatan pada keesokan harinya.
Ya Allah, ampunilah akan segala salah-silapnya, rahmatilah akan rohnya, himpunkanlah ia di kalangan hamba-hambaMu yang diredhai. Ameen.
Pasti ramai yang merasa hairan, apakah hubungan kami dengan Almarhumah. Terus terang tiada apa yang istimewanya. Saya mengenalinya sebagai seorang doktor perubatan yang menceburkan diri dalam politik berlandaskan Islam. Tambahan pula beliau seorang Ahli Parlimen. Namun bagi Laili mungkin sebagai rakan yang sama-sama menceburi bidang profesional yang sama.
Walaupun Almarhumah mewakili blok pembangkang tetapi kami mengkagumi keberanian dan istiqamah beliau di dalam melaksanakan misi dakwah, mengajak umat manusia ke arah jalan yang diredhaiNya. Usaha-usaha dakwahnya telah bermula sejak zaman pengajian lagi, berterusan tanpa mengira penat-lelah dan perit-getir sehinggalah ke akhir hayatnya. Selayaknya beliau dinobatkan sebagai srikandi mahupun mujahidah Islam.
Berita kematiannya kami terima di sebelah paginya. Laili bersama rakan sekerja, Prof Madya Dr. Harlina meluangkan masa menziarahi jenazah beliau di Masjid Al-Akram. Dikhabarkan khalayak pengunjung begitu ramai sekali hinggakan bekalan air paip dari tangki masjid kekeringan. Begitu tinggi sanjungan dan kasih sayang ramai untuk beliau.
Al-Fatihah.

Sunday, July 17, 2011

Semarak Ramadhan

Pertamanya, maafkan saya kerana sekian lama menyepi. Saya ada, tidak ke mana. Saban hari menghadap komputer. Naluri menulisnya masih segar tetapi kerap tertangguh dek kemalasan sendiri. Entahlah... kasihan pada rakan-rakan yang menyinggah tetapi tiada apa yang baru...

Menjelang Ramadhan yang bakal tiba seminggu dua lagi, izinkan saya nukilkan bicara santai 2 sahabat baik ketika berjalan-jalan di sebuah pasaraya terkenal di pinggir ibu kota beberapa hari lalu.
"Man, engkau tengok tu, bertimbun-timbun kueh raya. Macam-macam jenis ada", kata Min sambil memuncungkan bibirnya ke arah pintu masuk Giant.
"Eh, kan bulan puasa dah dekat. Tiap-tiap tahun kan macam tu. Takkan tak biasa kot", sanggah Man kehairanan.
"Itulah yang buat aku rasa cuak tu...", luah Min dengan rasa jengkil.
"Eh, apasal pulak. Apa salahnya...", Man benar-benar merasa pelik.
"Emm, itulah salahnya...", kata Min sambil mengunyah gula-gula getah, membiarkan Man terpingga-pingga menanti jawaban seterusnya.
"Salahnya kebanyakan dari kita lebih teruja menyambut Hari Raya berbanding menyambut kedatangan bulan Ramadhan. Iklan di akhbar dan majalah pun makin bersepah dengan promosi berwarna-warni jualan mega raya dan bermacam-macam lagi tentang raya. Promosi Semarak Ramadhan jika ada pun kecil sahaja, langsung tidak menyerlah. Sebahagiannya pula sibuk menukar langsir baru, set sofa baru, projek kueh raya dan bermacam-macam lagi". Syarah Min panjang lebar.
"Betul kata engkau tu. Kasihan Ramadhan. Ramai daripada kita tidak bersungguh-sungguh menerima kunjungan Ramadhan. Mereka lebih seronok dengan Syawal. Sedangkan Ramadhan perlu mereka tempuhi dahulu sebelum tibanya Syawal. Keberkatan Ramadhan yang melimpah ruah mengatasi bulan-bulan lain tidak diendahkan, akhirnya terlepas begitu sahaja", tambah Man sambil mengiakan kata-kata sahabatnya itu. Faham dengan apa yang dimaksudkan di awal bicara.
Justeru itu, aku berpesan kepada diriku dan juga teman-temanku, usahlah kita menjadi seperti mereka. Marilah kita berusaha sedaya mungkin untuk meraih sebanyak-banyaknya keberkatan yang ada pada Ramadhan. Janganlah dikisahkan sangat Hari Raya, yang penting Ramadhan wajar diimarahkan dahulu. Sedari sekarang kita perlu mengulangkaji balik ilmu berkaitan Ramadhan dengan harapan moga Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan terbaik berbanding Ramadhan-Ramadhan sebelumnya.
Ramadhan bukan sekadar bulan puasa tetapi sebenarnya bulan ibadah, bulan ampunan, bulan keberkatan, bulan kemurahan, bulan kesabaran, bulan pendidikan, bulan Al-Quran dan bulan limpahan rahmat Allah SWT. Ganjaran pahala dan pemurahnya Allah SWT berlipat kali ganda tanpa sempadan. Itulah janji Allah SWT di bulan Ramadhan berbanding di bulan-bulan yang lain.
Bersabda RasuluLlah SAW, "Jika umat manusia mengetahui kelebihan yang terdapat dalam bulan Ramadhan, nescaya umatku menginginkan supaya dijadikan Ramadhan itu sepanjang tahun".
RasuluLlah SAW juga pernah mengingatkan kita,"Apabila tiba bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu syaitan-syaitan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Malah banyak lagi ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang menceritakan kelebihan dan kemuliaan bulan Ramadhan. Tidak hairanlah betapa para salafussoleh amat merasa gembira dengan kehadiran bulan Ramadhan dan merasa amat sedih di akhir Ramadhan.
Marilah kita sama-sama berusaha mengikut apa yang disarankan oleh idola kita, RasuluLlah SAW. Hanya redho Allah SWT yang didambakan. Moga setiap apa yang kita lakukan dicatatkan sebagai amal di sisiNya. Ameen.