Friday, January 9, 2015

Jalan2 @ Muzium Negara


Di awal cuti persekolahan akhir tahun 2014 baru-baru ini, anak-anak telah dibawa berkunjung ke Muzium Negara. Memenuhi perancangan yang telah lama dibuat. 

Paling teruja adalah Imran yang baru mengenal hakikat sejarah secara formal melalui subjek Sejarah yang baru dipelajarinya di Tahun 4. Dengan ditemani oleh kakak-kakaknya, Hanisah dan Solehah, kami bertolak awal ke tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Muzium Negara dibuka setiap hari dari jam 9:00 pagi hingga 6:00 petang. Bayaran masuknya hanya RM 2.00 untuk dewasa dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas. Percuma bagi pelajar sekolah yang berpakaian seragam.

Kami tiba di muzium sekitar jam 9:15 pagi. Masih banyak ruang untuk parkir. Itulah tujuan kami datang awal. Paling utama kami mempunyai masa yang lebih panjang untuk menerokai setiap galeri dan menghayati nilai sejarah dari bahan-bahan yang dipamerkan. Matlamat kami dapat menghabiskan kesemua galeri sebelum masuk waktu Zohor, sekitar 3 jam.

Sebahagian foto di Muzium Negara terdapat di Album Foto Kami di kiri laman atau klik di sini untuk terus ke album.

4 Galeri Dalam 1 Bangunan

Penerokaan sejarah pertama kami adalah ke bangunan utama yang menempatkan 4 galeri – Galeri Sejarah Awal dan Galeri Kerajaan-Kerajaan Melayu di Tingkat 1 serta Galeri Era Kolonial dan Galeri Malaysia Kini di Tingkat 2.

Rangka Perak Man
Secara umumnya, Galeri Sejarah Awal memaparkan perubahan bentuk muka bumi dan asal usul masyarakat awal di Malaysia. Bermula daripada penemuan alatan batu Zaman Paleolitik (200,000 tahun lalu) di Kota Tampan, diikuti Zaman Epi-Paleolitik dan Neolitik sehinggalah kesan-kesan peninggalan candi Buddha-Hindu di Lembah Bujang. 

Begitu juga dengan penemuan rangka Perak Man berusia sekitar 10,000 tahun lalu di Lenggong, Perak dan rangka kanak-kanak di Gua Cha, Kelantan dianggarkan bertarikh lebih 5,000 tahun lalu.

Manakala Galeri Kerajaan-Kerajaan Melayu menyorot kewujudannya di Nusantara terutama di Tanah Melayu termasuk Kerajaan Melayu Melaka di abad ke-15. Banyak koleksi menarik di sini, antaranya pintu istana Kerajaan Setul (selatan Thailand), mural Hang Tuah, batu nesan Sultan Mansor Shah, Al Quran tulisan tangan dan pelbagai barangan tembaga, perhiasan dan senjata lama.

Di Galeri Era Kolonial pula - sesuai dengan namanya – menyingkap sejarah penguasaan penjajah ke atas Tanah Melayu seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun. Koleksi utama yang dipamerkan antaranya meriam, basikal Jepun, model kapal korek, model lanca dan ufti emas.

Berlatarkan mural Hang Tuah
Galeri Malaysia Kini menyelusuri sejarah perjuangan kemerdekaan dan pembentukan negara, merangkumi proses pendidikan, pembangunan dan pentadbiran. Dipaparkan juga kebebasan rakyat berbilang bangsa, agama, adat dan budaya mengamalkannya dengan penuh harmoni. 

Tanpa diduga, Imran memberikan tumpuan sepenuhnya. Setiap exhibit diperhatikan penuh minat dan setiap penerangan panjang lebar dibacanya tanpa jemu. Segala-galanya menarik hati dan menimbulkan rasa ingin tahunya. 

Kami berhenti rehat untuk solat Zohor dan makan tengahari di Kafeteria Muzium yang mewah sekali pilihan lauk-pauknya. Nampaknya masa 3 jam tidak dapat dipenuhi kerana masih ada 3 muzium lagi yang perlu kami lawati. Tak mengapalah, asalkan mereka gembira, terutama Imran.

Pameran Evolusi Senjata

Slot lawatan seterusnya adalah ke pameran khas – Pameran Evolusi Senjata dan Kemanusiaan Sejagat yang terletak di ruang pameran di hadapan bangunan utama. Bayaran masuknya RM 5.00 untuk dewasa dan RM3.00 untuk kanak-kanak dan percuma bagi yang berumur bawah 12 tahun.

Kami jangkakan bahan pamerannya tidaklah sebanyak seperti sebelumnya. Nyata tekaan kami meleset. Pengkisahannya bermula dari Zaman Paleolitik sehinggalah ke dunia moden kini termasuk Perang Dunia I, II dan III. Pelbagai jenis senjata lama dan baru dipamerkan samada dalam bentuk replika mahupun asal. Pelbagai peristiwa dan fakta dipaparkan bersilih ganti dengan bahan pameran.

Diabadikan juga replika pedang-pedang RasuluLLAH SAW dan para sahabat baginda. Paling banyak adalah senjata-senjata tajam seperti keris, pedang, badik, kerewang, tombak dan bermacam jenis lagi dari seluruh pelusuk dunia. 

Di ruang pameran ini sahaja kami mengambil masa sehingga sejam setengah sehingga ke penamatnya. Itupun setelah meminta jasa baik Imran agar dapat mengubah cara penelitiannya dari membaca setiap butiran penerangan kepada membaca sekadar mengambil tahu kecuali yang benar-benar menarik. Masalahnya, bagi Imran semuanya menarik. Sedih juga melihatnya kecewa tetapi terpaksa kerana masa semakin suntuk sedangkan Muzium Ethnologi Dunia Melayu dan Muzium Seni Kraf Orang Asli belum lagi diterokai.

Muzium Dunia Melayu dan Muzium Orang Asli

Rupa-rupanya kedua-dua muzium ini tidaklah besar sangat. Tidak banyak masa diambil. Sekitar 45 minit, semuanya habis dijelajahi. Imran pula tidaklah memberi perhatian yang berlebihan, cukup sekadar ambil tahu kecuali ada yang menarik perhatiannya.

Di ruangan Dunia Pelayaran
Ringkasnya, Muzium Dunia Melayu telah dibuka pada Mac 2002. Fokusnya lebih kepada kepelbagaian masyarakat dan budaya Melayu yang diserlahkan melalui pelbagai tinggalan warisan seperti seni tradisi, pakaian, perhiasan, peralatan, senjata, permainan dan sebagainya.

Manakala Muzium Seni Kraf pula memaparkan warisan kraf Orang Asli di Malaysia terutamanya suku Mah Meri. Ianya menggambarkan cara hidup, budaya, kepercayaan, lagenda dan juga seni ukir yang membawa maksud yang tersendiri.

AlhamduliLLAH, kami sempat menamatkan penjelajahan kami merentas masa ke zaman silam, seterusnya berada di masa kini sebelum jam 4:00 petang. Bermakna lebih 6 jam kami berada di Muzium Negara. Penat memang memenatkan tetapi yang penting adalah kepuasan.

Tuesday, January 6, 2015

Banjir : Hikmah Di sebalik Musibah

Kami percaya, di sebalik setiap ketentuan ILLAHI, baik ataupun buruk; ada hikmahnya. 

Hikmah mahu pun ibrah adalah subjektif, bergantung kepada seseorang individu tersendiri. Cara mana kita menerima atau menolaknya berkait rapat dengan tahap keimanan dan ketaqwaan kita kepada ALLAH SWT.

Itulah yang ditekankan oleh tok-tok guru apabila menyentuh bab aqidah/ tauhid.

Manek Urai Dalam Sejarah
Kita baru sahaja digemparkan dengan air bah atau banjir besar di beberapa negeri di Pantai Timur khususnya di Kelantan. Beberapa jajahan atau kawasan teruk dilanda terutama di Gua Musang dan Manek Urai. Dikatakan banjir kali ini lebih besar daripada banjir yang berlaku pada tahun 1926 dan 1967. 

Betapa besar kekuasaan ALLAH SWT melalui tenteraNYA yang bernama AIR – asalnya lembut sahaja tetapi menjadi keras (bencana) apabila diperintahkanNYA. 

Ratusan mangsa banjir terpaksa berpindah segera kerana airnya naik begitu cepat sekali. Ramai yang terperangkap di bumbung-bumbung rumah, masjid-masjid dan juga di bukit-bukit. Hubungan dengan dunia luar terputus sehingga ada yang menderita kerana lambat mendapat bantuan terutama makanan, minuman dan kelengkapan diri. 

Dari paparan di pelbagai media massa, jelas dapat dilihat kesan dari banjir besar berkenaan. Longgokan lumpur berada di mana-mana. Segala-galanya tunggang terbalik ibarat peristiwa tsunami yang pernah melanda 10 tahun lalu.
Kesan tinggalan banjir

Lebih menyayat hati, ramai yang kehilangan rumah samada hanyut dibawa air ataupun roboh menyembah bumi. Yang tinggal hanyalah tangga batu dan tapak rumah sahaja bersama beberapa batang tiang tonggak. Kawasan pertanian ranap, haiwan ternakan hilang entah ke mana, bahan niaga rosak dan bermacam kesengsaraan yang terpaksa dihadapi. 

Di sebalik musibah teruk yang melanda ini, kami amat tersentuh dengan penerimaan sebahagian besar mangsa banjir ini. Mereka redha dan pasrah kepada ALLAH SWT atas ketentuan ini. SubhanaLLAH... itulah nilai keimanan yang tinggi walaupun dikenakan ujian dan dugaan yang amat hebat. Mereka masih mampu bersyukur kepadaNYA. 

Di samping itu, sikap keprihatinan masyarakat begitu tinggi. Pelbagai sumber bantuan dihulurkan dan diusahakan agar sampai kepada setiap  mangsa banjir. Begitu juga selepas banjir atau dipanggil pasca banjir. Bantuan masih diteruskan termasuk kerjassama membersih rumah para penduduk, bangunan awam dan sebagainya. 

Inilah nilai kemanusiaan masyarakat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama dan ideologi amat suka saling bantu membantu. Semangat kenegaraan dan bertoleransi yang sewajarnya disebatikan di jiwa setiap rakyat Malaysia bagi mengelak daripada berlakunya persengketaan kaum dan agama. Tunjangnya adalah keikhlasan.

Saling Bantu Membantu
Namun kita perlu juga bermuhasabah dan berfikir secara rasional. Lebih-lebih lagi bagi seorang Muslim yang mengaku beriman kepada Yang Maha Berkuasa. 

Kenapa ALLAH SWT menurunkan musibah banjir ini? Tentu sahaja ada pengajarannya. Inilah yang perlu difikir dan direnungi dengan sewajarnya. Ini kerana setiap yang berlaku itu bukanlah sia-sia tetapi ada sebab musababnya. Bukan sahaja kepada mangsa yang terlibat tetapi juga para pemerhati, terlebih lagilah kepada para pemimpin dan penguatkuasa. 

Di sinilah kita perlu kembali kepada segala peringatan yang telah ALLAH SWT nukilkan dalam al-Quran dan juga melalui sabda kekasihNYA, Muhammad SAW. Moga daripadanya kita beroleh jawapan. Dan kita semua tergolong di kalangan hamba-hambaNYA yang dirahmati. Ameen.

Sekilas lintasan di hati kami, mungkinkah ini caranya ALLAH SWT ingin membersihkan bumi Malaysia yang ‘kotor’ dengan pelbagai noda dan dosa? Allahu a'lam.