Sunday, April 5, 2015

Menjengah Sejarah Tentera Darat

Sekembalinya dari Sahom Farm Retreat di Perak, kami bergegas pula ke Port Dickson. Nur Solehah ada Bengkel IGCSE selama 2 hari 1 malam (17/03 - 18/03/2015) di Hotel Seri Malaysia. Sesi bengkel ini diusahakan oleh Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) MRSM Kota Putera, Besut, Terengganu khusus untuk para pelajar Tingkatan 3 dan 4 yang mengikuti pengajian IGCSE di MRSM sebagai sumber perkongsian ilmu dan motivasi diri. Bukan sahaja untuk para pelajar tetapi juga ibu bapa. Sambutan yang amat menggalakkan. Matlamatnya hanya sekitar 30 orang pelajar sahaja tetapi dihadiri kira-kira 115 orang pelajar. TAHNIAH KSIB...!

Era Tentera Darat Hari Ini
Seusai pendaftaran di Seri Malaysia pada petang 17/03/2015 (Selasa), berdua dengan Imran, kami bersolat jamak Zohor-Asar di Masjid Muhammad Al-Fateh, Depot RAMD, PUSASDA, Kem Si Rusa.

Seterusnya kami masuk ke Muzium Tentera Darat yang terletak berhampiran dengannya. Sebenarnya setiap kali turun ke Port Dickson, kami sentiasa menyimpan hajat untuk ke muzium ini. AlhamduliLLAH akhirnya tertunai juga.

Apabila disebut tentera, pasti akan terimbas dalam diri betapa besarnya jasa dan pengorbanan para anggota tentera terutama tentera darat hingga sanggup mempertaruhkan nyawa demi keselamatan dan keamanan bagi negara tercinta. Al Fatihah kepada mereka yang telahpun pergi mendahului kita. Moga perjuangan kalian diberkati dan dianugerahi pahala syahid di sisi ALLAH SWT. Ameen.

Sememangnya tika melewati persekitaran Kem Si Rusa, kita telahpun dapat merasai aura tentera darat. Sesuai jolokan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat. Apatah lagi memasuki kawasan muzium. Kapal terbang pejuang, kereta perisai, lokomotif, meriam dan seumpamanya menyambut kehadiran pengunjung seawal pintu masuk lagi.

Bergaya dengan senapang Era Penjajahan Jepun
Untuk masuk ke Muzium Tentera Darat, tiada sebarang bayaran dikenakan tetapi sumbangan ikhlas amatlah dialu-alukan dengan memasukkannya ke dalam beberapa tabung yang disediakan di kebanyakan lokasi di dalam muzium.

Muzium Tentera Darat terdiri daripada beberapa bahagian, bermula dengan Era Kesultanan Melaka, diikuti Era Penjajahan Portugis, Belanda, British dan Jepun, Era Penubuhan Askar Melayu, Era Pra Kemerdekaan, Era Kemerdekaan hinggalah kepada Era Tentera Darat Hari Ini.

Bagi setiap era ini dipamerkan setiap artifak asal dan replika berserta penerangan bagi setiap peristiwa dan tinggalan sejarah. Bagi kami terutama Imran yang amat berminat dengan elemen sejarah, segalanya amat menarik hati. Banyak ilmu pengetahuan yang dapat dihadamkan bagi mengenang sejarah negara sehingga terbentuk negara merdeka seperti hari ini.

Sebahagian foto di muzium terdapat di Album Foto Kami (Jalan2 @ Muzium Tentera Darat) atau klik di sini untuk capaian terus ke album berkenaan.

Di hadapan poster Pasukan 25 Melayu Pertama
Bagi kami, Era Penubuhan Askar Melayu adalah paling menarik sekali. Pasukan Sukarela Melayu yang ditubuhkan pada 1902 merupakan pasukan Askar Melayu pertama yang ditubuhkan.

Atas gesaan sebilangan pembesar Melayu ke atas pemerintah British, Skuad Percubaan yang dianggotai 25 pemuda Melayu telah ditubuhkan pada 1 Mac 1933 di Depot Port Dickson. Inilah permulaan kepada pembentukan Regimen Askar Melayu.

Bergerak dari satu era ke satu era berikutnya dengan naik turun 2 bangunan 2 tingkat bagaikan tidak terasa penatnya. Penghujung penjelajahan sejarah kami adalah memasuki replika terowong bawah tanah Parti Komunis Malaya (PKM) sejauh 142 meter di mana pintu masuknya di Blok B dan pintu keluarnya samada di Kampung Hutan atau berhampiran Pesawat Caribou.

Segmen Barangan Rampasan PKM
Di sepanjang terowong, dipamerkan pelbagai artifak tinggalan PKM berserta penerangan melalui panel sejarah perjuangan anggota tentera darat menentang komunis. Para pengunjung juga dapat melihat sendiri beberapa segmen dalaman, antaranya Segmen Barangan Rampasan, Bilik Bedah, Tempat Tidur dan Bilik Mesyuarat.

Tidak disangka-sangka, kami adalah pengunjung terakhir. Melangkah keluar dari terowong, pintu pagarnya terus dikunci. Melihat jam, masa telah pun melewati pukul 5:10 petang. Rupa-rupanya Muzium Tentera Darat dibuka dari jam 10:00 pagi - 5:00 petang. Khabarnya ditutup pada hari Isnin dan Selasa. Peliknya kami datang pada hari Selasa tetapi buka pula. Mungkin cuti sekolah kot.

Apa-apa pun, terlepas sudah hajat kami yang telah lama terpendam untuk menjengah masuk ke Muzium Tentera Darat. Selepas ini jika berkunjung ke Port Dickson, bolehlah kami singgah pula di Muzium RAMD (tidak jauh daripadanya) atau ke Muzium Lukut.

No comments: