Di Lembah Kelang, khususnya di Kuala Lumpur, banjir kilat adalah satu kelaziman apabila hujan turun melebihi kebiasaan. Dikatakan aliran Sungai Kelang dan lain-lain saliran yang ada tidak dapat menampung kapasiti air yang ada. Maka banyaklah kawasan rendah yang merasai sengsaranya. Rumah kami di Hulu Kelang sememangnya terletak bersebelahan Sungai Kelang yang turut melalui Zoo Negara. Apabila hujan agak lebat, maka air sungai akan naik. Biasanya hanya sedikit melewati tebing, kemudian surut kembali. Tiada apa yang digusarkan. AlhamduliLlah, itulah rahmat Allah SWT. Namun, 'usah disangka panas sehingga ke petang, tanpa dijangka hujan di tengah hari'. Demikianlah yang berlaku pada petang Khamis minggu lepas. Paginya panas berdengkang, awal petang hujan mula turun mencurah-curah. Tidaklah lebat tetapi berlarutan hampir sejam. Air sungai berwarna seakan teh tarik mengalir deras, naik mendadak melepasi tebing lalu menenggelami kawasan sekitarnya. Jambatan kecil di hadapan rumah (foto atas) yang merintangi sungai ke Lembah Keramat AU4 juga dinaiki air. Airnya cepat sekali memasuki rumah-rumah di kawasan rendah. Fenomena yang telah lama tidak berlaku. Kali terakhir 5 tahun lepas. AlhamduliLlah, rumah kami tidak terlibat kerana terletak di tempat tinggi. Limpahan air sungai melingkungi kawasan rumah, ibarat sebuah pulau pula jadinya (foto sebelah). Kasihan pada jiran tetangga bersebelahan. Rumah mereka dimasuki air secara tiba-tiba. Sofa dan tilam tidak dapat diselamatkan. Basah lecun dibuatnya. Banjirnya tidak lama. Tidak sampai setengah jam air surut, kembali kepada asal. Bagusnya mereka ini, tiada sungutan menyesali takdir dan ujian yang menimpa. Segalanya diterima penuh redha. Moga diberkati Allah SWT.
No comments:
Post a Comment