Ajal maut adalah ketentuan Illahi. Sampai ketikanya tiada siapa yang dapat mengelaknya. Sebagai hamba Allah, sudah sewajarnya setiap insan perlu redha. Itulah yang membezakan antara seorang Muslim dengan non-Muslim. Pagi semalam, kami mendapat khabar duka, Ayah Ngah Sakti, abang ipar Che' Terengganu yang tinggal di Padang Machang, Kuala Terengganu telah kembali ke rahmatuLlah kira-kira jam 2:30 petang Khamis, 17/02/2010 (kelmarin) di rumahnya. AlhamduliLlah, Allahyarham telah selamat dikebumikan pada petang hari yang sama. Takziah pada Che' Ngah serta keluarga. Pasti Che' Ngah sedih ditinggalkan oleh suami yang sentiasa didampingi setiap hari. Sabar dan redhalah. Demikianlah hakikat kehidupan yang perlu diterima. Masih segar diingatan ketika kami mengunjungi mereka berdua sebulan lalu, di saat kami pulang ke kampung halaman di Terengganu. Hampir 2 tahun tidak berjumpa. Kali terakhir di awal tahun 2009 lalu. Terubat kerinduan di hati. Namun banyak perubahannya. Arwah kelihatan betul-betul tidak sihat. Seharian banyak menghabiskan masa di tempat pembaringan sahaja di ruang tengah rumah. Arwah mengadu sakit di kaki dan lutut serta penyakit dalamannya. Seperti dahulu juga, Laili sentiasa menjadi tempat rujuknya tentang penyakit yang dihidapinya dan ubatan yang diambil. Ketika berpisah, terasa sayu di hati. Ampun maaf dipinta sambil mencium tangannya. Tidak disangka, rupa-rupanya itulah salaman yang terakhir, salam perpisahan antara kami. Terkenang di zaman kanak-kanak sehinggalah sekarang, saya sememangnya amat rapat dengan arwah dan juga Che' Ngah. Apatah lagi anak-anaknya hampir sebaya. Di kalangan sepupu sepapat, kamilah cucu dan anak saudara yang lebih berusia. Maka pergaulan kami lebih akrab. Sekaligus menjadikan Che' Ngah dan Ayah Ngah ibarat ibu bapa kedua bagi saya. Ya Allah, ampunilah segala dosa dan kesalahan Ayah Ngah. Himpunkanlah rohnya di kalangan hamba-hambaMu yang soleh serta mendapat rahmatMu. Hindarilah dari seksa kubur dan jauhilah dari api nerakaMu. Ameen.
2 comments:
Salam Takziah drpd kami sekeluarga. Al-Fatihah buat arwah.
salam takziah
AL-FATIHAH
Post a Comment