Hari ini, 12-Rabi'ul awal tercatat sebagai hari ulang tahun keputeraan/ kelahiran junjungan mulia, kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW. Bagindalah pembawa obor kehidupan dan penawar kesengsaraan sejagat.
Dari sejak di dalam kandungan bonda Siti Aminah sehinggalah baginda wafat pada usia 63 tahun, seterusnya sehingga ke hari kiamat, RasuluLlah SAW tetap hidup di setiap sanubari umatnya. Hidup beragama dengan bertunjangkan ketauhidan kepada Allah SWT tersebar luas di seluruh pelusuk dunia. Itulah Islam yang dibawa oleh RasuluLlah SAW. Baginda menjadi contoh teladan terbaik (qudwah hasanah) ataupun dengan kata lain menjadi idola teragung sepanjang zaman. Di Malaysia, saban tahun sambutannya begitu gah sekali. Tidak terkecuali pada tahun ini. Bukan sekadar cuti umum tetapi hampir setiap masjid, surau dan institusi keagamaan menganjurkan pelbagai program berkaitan. Apatah lagi di peringkat negeri dan negara. Perarakan, ceramah, pidato dan diskusi adalah antara kebiasaannya. Seakan-akan satu kemestian pula. Moga usaha murni mereka mendapat keredhaan Allah SWT, cetusan dari kecintaan nan unggul terhadap RasuluLlah SAW. Namun ada ketikanya terdetik juga di sudut hati, sejauh manakah kita (termasuk diri sendiri) menghayati roh Maulidur Rasul ini? Apakah sekadar mengingati baginda ketika tibanya cuti umum Maulidur Rasul ataupun mengamali setiap ajarannya setiap detik dengan penuh keinsafan? Ada kalanya terasa malu apabila mengingatkan kelemahan diri. Lembut lidah bersyahadah bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah tetapi culas untuk melaksanakan sunnahnya. RasuluLlah SAW melarang, kita pula melaram. RasuluLlah SAW menyuruh, kita pula tidak bersungguh. Maka layakkah kita mengaku bahawa kita ini umatnya? Apatah lagi mengaku kasih dan sayangkan RasuluLlah SAW. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan kurniakan rahmatMu pada RasuluLlah SAW dan keluarganya serta para sahabatnya. Jadikan kami di kalangan hamba-hambaMu yang mengasihi RasuluLlah SAW dan sentiasa rindu untuk bertemu dengannya. Ameen. Sabda RasuluLlah SAW, "Barangsiapa berselawat kepadaku sekali, nescaya Allah SWT akan berselawat kepadanya sepuluh kali". Demikianlah janji RasuluLlah SAW kepada umatnya. Janji RasuluLlah SAW bukannya janji palsu tetapi ilham dan wahyu dari Illahi. Marilah kita sama-sama berselawat kepada RasuluLlah SAW dan keluarganya, di setiap ketika dan masa. Moga kita dihimpunkan di kalangan umatnya yang mendapat syafaat baginda di hari perhitungan dan pembalasan nanti. Ameen. Salam Maulidur Rasul untuk semua.
No comments:
Post a Comment