Sejak balik ke Malaysia sebulan lalu, jarang benar kami keluar dari Hulu Kelang. Jika ada perjalanan jauh pun hanya pulang ke kampung di Terengganu dan Sepang. Perjalanan kami hanya melalui laluan biasa dilalui sejak dahulu lagi. Tiada masalah, laluannya tidak banyak berubah. Petang semalam, kami ke Kelana Jaya untuk menghadiri jemputan kahwin kenalan kami ketika di Melbourne dahulu, Dr. Syahril Awang. Hati pula berbelah bahagi, nak pergi ke tidak. Masanya sedikit terlewat dari waktu ditetapkan. Nak mencari rumah orang tuanya di SS4 pun satu hal lagi kerana kami tidak biasa dengan jalan-jalan di sebelah Kelana Jaya dan sekitarnya. Kata putus diambil, kena pergi juga walaupun terlewat. Jemputan orang wajib dipenuhi. Insya Allah ada hikmahnya. Sebenarnya kami sedikit trauma dengan jalan-jalan di Lembah Kelang ini. Semenjak meninggalkan negara hampir 4 tahun lalu, terlalu banyak jalan dan lebuhraya baru yang dibina. Bersimpang siur, bertingkat-tingkat dan mengelirukan. Sukar untuk digambarkan arah-tujunya. Keluar dari rumah, kami mencuba laluan baru melalui Lebuhraya Damansara-Ulu Kelang (DUKE). Dalam terpingga-pingga mencari arah ke Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), kami termasuk ke Kerinci Link. Tidak tahu kemana nak dituju lagi, pilihan kami masuk ke Lebuhraya Persekutuan sahaja yang telah biasa bagi kami, terus ke Kelana Jaya. Tanda arah ke Kelana Jaya pun tiada, nasib baiklah terpandang penunjuk arah ke Kompleks Tabung Haji yang pernah kami kunjungi ketika menghantar jemaah haji beberapa tahun lalu. Dalam usaha mencari rumah pengantin, kami tersilap jalan lagi, tersasar masuk kembali ke Lebuhraya Persekutuan. Terpaksalah membuat pusingan U yang terletak hampir 5 km dari jalan masuk ke Kelana Jaya. Tidak mengapalah tersesat pun, sekurang-kurangnya kami mengenali beberapa jalan dan lokasi baru. Insya Allah, di lain ketika kami dapat gambaran persekitarannya jika perlu melalui jalan-jalan tersebut. AlhamduliLlah, akhirnya ketemu juga lokasi rumah No. 1, SS4B/1. Para tamu pun telah pun berkurangan. Apakan tidak, majlis santapannya telah pun menghampiri penghujungnya. Namun ianya lebih memudahkan kami untuk bertemu muka dengan ibu bapa Syahril, Hj Awang dan Hjh Noraine serta kedua mempelai. Selamat Pengantin Baru Syahril dan Ainna. Moga dirahmati Allah dan bahagia selamanya. Ameen. Di samping mengenali Syahril, kedua-dua ibu bapanya juga kami kenali ketika mereka berkunjung ke Melbourne. Mereka sekeluarga amat mesra dan sering berpesan, jika pulang ke Malaysia, mesti singgah di rumah mereka. Tertunai juga hajat. Itupun mereka tidak berpuas hati kerana tidak berkesempatan duduk berbual panjang. Pesanan baru, datang lagi di lain kali. Insya Allah. Tidak disangka, tersua juga dengan bos lama ketika di MIMOS dahulu, Pn. Norlela bersama suaminya. Rupanya mereka tinggal berdekatan sahaja. Sempatlah kami makan semeja sambil beramah mesra dan bertanya khabar. Makan bersama kami adalah Ustaz Sulaiman, bekas pensyarah UIA Matrikulasi PJ. Sempat juga bertanya khabar dengan Ustaz Datuk Zawawi Yusop, penceramah bebas yang terkenal. Dan dapat juga berkenalan dengan abang Hj. Awang iaitu Hj. Alias yang tinggal di Jalan Tekukur, Kuala Terengganu. Rupa-rupanya semuanya orang Terengganu; Hj. Awang, Hj. Alias, Ustaz Sulaiman dan juga Ustaz Zawawi. Rugi pula tidak dibawa kamera bersama. Betullah bagai dikata, terlewat sampai mengundang banyak hikmah di sebaliknya. Demikianlah ketetapan Allah SWT. Syukur AlhamduliLlah.
No comments:
Post a Comment