Inilah saat yang dinanti-nantikan. Selang beberapa hari berehat di rumah emak-abah di Hulu Kelang, kami berangkat pulang ke kampung halaman saya di Terengganu. Terlerai segala kerinduan kepada Che' dan Ayah. Selama ini hanya mendengar suara mereka melalui telefon sahaja, kini dapat bersua muka, mencium tangan dan pipi serta kejap berpelukan seakan tidak ingin berpisah jauh lagi. Insya Allah. Anak-anak juga seronok dapat menjengah Tok Che' dan Tok Ayah yang amat dirindui. Juga dapat berjumpa adik beradik dan saudara mara yang tinggal di kampung. Che' dan Ayah masih kurang sihat. Che' dengan masalah injap jantung yang dihidapinya sejak 2 tahun lalu, cepat merasa penat apabila banyak bergerak. Ayah pula dengan sakit-sakit di dalam badannya, tambahan pula baru kebah dari demam. Che' Ngah dan Ayah Ngah yang tinggal di Kg. Padang Machang juga kurang sihat. Begitu juga dengan Ayah Da di Kg. Padang Tenggir. Didoakan moga mereka semua sentiasa dipelihara oleh Allah SWT, dikurniakan kekuatan dan keimanan serta disembuhkan olehNya. Ameen. Che' Da, Ayah Teh-Mak Teh dan Ayah Su-Che' Su pula nampaknya sihat sahaja. Demikian juga dengan adik beradik semua. AlhamduliLlah. Dalam kesuntukan masa, tidak sempat pula untuk menziarahi Mak Cik di Pulau Bahagia serta adinda Suhaila di Seberang Takir. Moga semuanya sihat-sihat sentiasa. Ketika menjenguk surau, sayu hati mendapati ramai wajah-wajah tua yang sentiasa mengimarahkannya tidak kelihatan lagi. Demikian juga beberapa orang jiran di sekeliling rumah. Menurut Ustaz Hamazah (jiran terdekat), ramai daripadanya telah pun meninggal dunia dan sebahagiannya lagi tidak lagi mampu bergerak jauh, terlantar lesu di rumah. Sekembalinya dari Terengganu, di hujung minggu berikutnya kami pulang pula ke Kg. Bukit Bangkong, Sepang. Atuk/Oyang Haji Sulaiman kelihatan masih kuat lagi, walaupun bertongkat. Dalam usia menghampiri 100 tahun; kurniaan penglihatan, pendengaran, pertuturan dan daya ingatan adalah antara ni'mat Allah yang masih dimilikinya. Dengan dikelilingi anak-cucu yang sentiasa mengambil berat menjadi penawar hati yang amat berharga baginya. AlhamduliLlah. Di samping dapat berjumpa Atuk Sulaiman, kami berkesempatan berjumpa keluarga bapa/emak saudara; Cik Amin, Cik Kamal, Cik Ummi dan Cik Hilal. Setelah lama tidak berjumpa, perubahan fizikal anak-anak mereka amat berbeza sekali, sukar untuk dikenali. Kini mereka lebih aktif, agresif dan kreatif, apatah lagi apabila berada di kalangan kelompok usia masing-masing. Bagi yang menginjak usia remaja, kelincahan mereka lebih menyerlah. Suasana kampung, tidak kira di Terengganu mahu pun di Sepang amat mendamaikan. Pepohonan menghijau dan aliran air sungai benar-benar melahirkan ketenangan. Suara kokokan ayam di dinihari dan suara azan yang bertingkahan di setiap waktu solat antara yang dirindui, kini dapat dini'mati penuh syukur. AlhamduliLlah atas segala kurniaan dan anugerahMu, Ya Allah.
No comments:
Post a Comment