Showing posts with label banjir. Show all posts
Showing posts with label banjir. Show all posts

Tuesday, January 6, 2015

Banjir : Hikmah Di sebalik Musibah

Kami percaya, di sebalik setiap ketentuan ILLAHI, baik ataupun buruk; ada hikmahnya. 

Hikmah mahu pun ibrah adalah subjektif, bergantung kepada seseorang individu tersendiri. Cara mana kita menerima atau menolaknya berkait rapat dengan tahap keimanan dan ketaqwaan kita kepada ALLAH SWT.

Itulah yang ditekankan oleh tok-tok guru apabila menyentuh bab aqidah/ tauhid.

Manek Urai Dalam Sejarah
Kita baru sahaja digemparkan dengan air bah atau banjir besar di beberapa negeri di Pantai Timur khususnya di Kelantan. Beberapa jajahan atau kawasan teruk dilanda terutama di Gua Musang dan Manek Urai. Dikatakan banjir kali ini lebih besar daripada banjir yang berlaku pada tahun 1926 dan 1967. 

Betapa besar kekuasaan ALLAH SWT melalui tenteraNYA yang bernama AIR – asalnya lembut sahaja tetapi menjadi keras (bencana) apabila diperintahkanNYA. 

Ratusan mangsa banjir terpaksa berpindah segera kerana airnya naik begitu cepat sekali. Ramai yang terperangkap di bumbung-bumbung rumah, masjid-masjid dan juga di bukit-bukit. Hubungan dengan dunia luar terputus sehingga ada yang menderita kerana lambat mendapat bantuan terutama makanan, minuman dan kelengkapan diri. 

Dari paparan di pelbagai media massa, jelas dapat dilihat kesan dari banjir besar berkenaan. Longgokan lumpur berada di mana-mana. Segala-galanya tunggang terbalik ibarat peristiwa tsunami yang pernah melanda 10 tahun lalu.
Kesan tinggalan banjir

Lebih menyayat hati, ramai yang kehilangan rumah samada hanyut dibawa air ataupun roboh menyembah bumi. Yang tinggal hanyalah tangga batu dan tapak rumah sahaja bersama beberapa batang tiang tonggak. Kawasan pertanian ranap, haiwan ternakan hilang entah ke mana, bahan niaga rosak dan bermacam kesengsaraan yang terpaksa dihadapi. 

Di sebalik musibah teruk yang melanda ini, kami amat tersentuh dengan penerimaan sebahagian besar mangsa banjir ini. Mereka redha dan pasrah kepada ALLAH SWT atas ketentuan ini. SubhanaLLAH... itulah nilai keimanan yang tinggi walaupun dikenakan ujian dan dugaan yang amat hebat. Mereka masih mampu bersyukur kepadaNYA. 

Di samping itu, sikap keprihatinan masyarakat begitu tinggi. Pelbagai sumber bantuan dihulurkan dan diusahakan agar sampai kepada setiap  mangsa banjir. Begitu juga selepas banjir atau dipanggil pasca banjir. Bantuan masih diteruskan termasuk kerjassama membersih rumah para penduduk, bangunan awam dan sebagainya. 

Inilah nilai kemanusiaan masyarakat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama dan ideologi amat suka saling bantu membantu. Semangat kenegaraan dan bertoleransi yang sewajarnya disebatikan di jiwa setiap rakyat Malaysia bagi mengelak daripada berlakunya persengketaan kaum dan agama. Tunjangnya adalah keikhlasan.

Saling Bantu Membantu
Namun kita perlu juga bermuhasabah dan berfikir secara rasional. Lebih-lebih lagi bagi seorang Muslim yang mengaku beriman kepada Yang Maha Berkuasa. 

Kenapa ALLAH SWT menurunkan musibah banjir ini? Tentu sahaja ada pengajarannya. Inilah yang perlu difikir dan direnungi dengan sewajarnya. Ini kerana setiap yang berlaku itu bukanlah sia-sia tetapi ada sebab musababnya. Bukan sahaja kepada mangsa yang terlibat tetapi juga para pemerhati, terlebih lagilah kepada para pemimpin dan penguatkuasa. 

Di sinilah kita perlu kembali kepada segala peringatan yang telah ALLAH SWT nukilkan dalam al-Quran dan juga melalui sabda kekasihNYA, Muhammad SAW. Moga daripadanya kita beroleh jawapan. Dan kita semua tergolong di kalangan hamba-hambaNYA yang dirahmati. Ameen.

Sekilas lintasan di hati kami, mungkinkah ini caranya ALLAH SWT ingin membersihkan bumi Malaysia yang ‘kotor’ dengan pelbagai noda dan dosa? Allahu a'lam.

Sunday, September 1, 2013

Pasrah Banjir

Rumah Abah-Emak di Ulu Kelang letaknya bersebelahan Sungai Kelang. Di situlah kami sekeluarga tinggal bersama abah dan emak serta beberapa orang adik ipar.

Lautan banjir di hadapan rumah
Setiap kali hujan lebat turun, air sungai cepat sekali naik dan arusnya amat deras. Lazimnya, jika hujan berterusan lebat selama setengah jam, maka kawasan di sekitar rumah kami akan mula dinaiki air.

Mana-mana rumah di kawasan rendah pasti akan mula dilanda banjir. Termasuklah jiran tetangga di sekitar rumah kami. Jika lebihan limpahan air, maka rumah kami yang terletak sedikit tinggi juga akan turut sama dinaiki air. 

Retoriknya dikatakan empangan tertua di Selangor (bina 1958) iaitu Empangan Klang Gates di Melawati melepaskan limpahan airnya. Kini dikatakan pula berpunca daripada kerja-kerja naik taraf aliran sungai dan pembinaan perangkap sampah. Apa-apa pun kesannya akan dirasai oleh semua. Terimalah seadanya dengan penuh redha. Kami pasrah namun perlu sentiasa waspada atas setiap kemungkinan.

Lazimnya apabila air melimpah ke halaman rumah, sehingga takat anak tangga bawah sahaja selepas itu kembali surut. Kenderaan di hadapan rumah pun setakat separuh tayar sahaja tanpa masuk ke dalam kereta mahupun bahagian engin. Demikianlah yang berlaku hampir 28 tahun lalu. 

Air bertakung di dalam kereta
Namun, ujian ALLAH pada pagi Jumaat baru-baru ini adalah di luar jangkaan kami. Hampir semua kereta di laman rumah dimasuki air dan perlu dibawa ke bengkel untuk dibaik-pulih kerosakannya. Purata kos pembaikannya boleh tahan, antara RM600 hingga RM1,000. Itu untuk kereta biasa. 

Paling terasa adalah kereta hibrid yang baru berusia 8 bulan. Dimaklumkan oleh mekanik di pusat servis, bateri utamanya telah dimasuki air, tiada jalan lain kecuali menggantikannya dengan yang baru. 

Aduhai... hibrid, seketul bateri sahaja kosnya ribuan RM. Belum masuk lagi penggantian lain dan caj servis yang dikenakan. Entahlah... tiada pilihan lain lagi jika ingin kereta tersebut kembali bergerak. Kami pasrah. Itulah sebahagian daripada natijahnya berkampung di tepian sungai.

Di sebalik setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Muhasabah diri sendiri. Apakah ertinya dugaan ini?

Monday, August 26, 2013

Banjir Kilat

Banjir kilat. Ianya amat merungsingkan kami setiap kali hujan turun dengan lebatnya.

Air bergenang di halaman rumah
Itulah yang kami alami pada dinihari Jumaat beberapa hari lalu. Sekitar jam 5:00 pagi hujan turun sederhana lebat membasahi bumi Ulu Kelang berserta angin, kilat dan guruh.

Terdetik di hati, "Jika berterusan, air sungai di hadapan rumah mungkin akan melimpah. Rumah-rumah jiran tetangga pasti dimasuki air. Silap-silap rumah kami pun turut terkena." Begitulah lazimnya jika hujan turun berterusan tanpa henti.

Benar bagai yang dijangka. Dalam jarak waktu setengah jam, air sungai telah pun memasuki jalan di tepi rumah. Sekejap sahaja halaman rumah kami bergenang air, seterusnya pantas sekali memanjat anak-anak tangga terus masuk ke dalam rumah.

Kejadian yang tidak dijangka dan disangka-sangka. Kelam kabut kami dibuatnya kerana menurut Abah, sejak 28 tahun menetap di rumah tersebut inilah pertama kali air melimpah masuk sehingga ke dalam rumah. Paling teruk pun sebelum ini sehingga anak tangga sahaja.

Limpahan air di dalam rumah
Lebih mengharukan, 9 buah kereta di laman rumah tidak sempat dialihkan. Natijahnya hampir semua kereta dimasuki air. Beberapa kereta terpaksa dibawa ke bengkel dan perlu disenggara dan dibaikpulih kerosakan yang dialami. Berayalah mekanik nampaknya...8). Selebihnya di bawah pemantauan, moga-moga tiada kerosakan yang dialami.

Ledakan airnya tidak lama. Datangnya cepat, perginya juga cepat. Namanya pun banjir kilat. Maka tinggallah tempelan lumpur di merata tempat yang disinggahi air. Alahai... kenalah dibersihkan segera.

Apakah puncanya banjir kilat tersebut? Kata orang kesan daripada kerja-kerja penaiktarafan sungai di AU2 yang masih dalam pembinaan menyebabkan laluan air menjadi sempit dan tersekat, mengakibatkan aliran deras air melimpahi kawasan sekitarnya dan laluan air sebelum tiba di tempat pembinaan tersebut. Maka kawasan rumah kami antara yang merasai bahananya.

Lumpur tebal tinggalan banjir
Persoalannnya, apakah projek berkenaan mengambil kira kesan yang mungkin timbul di kemudian hari? Moga pihak berkaitan terutamanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dapat melakukan post mortem yang telus dan tulus bagi mencari jalan yang terbaik daripada berulang kembali.

Dalam susah kami, jiran-jiran di belakang rumah dan yang berdekatan sungai lebih merasa peritnya. Rumah mereka habis ditenggalami air. Perkakas rumah dan pakaian tidak sempat diselamatkan. Sebahagiannya terpaksa dibuang atau dibersihkan. Begitu juga sebahagian sekolah rendah dan tadika bersebelahan rumah kami turut ditenggalami air.

Emm... dah ketentuan Illahi - qada' dan qadar yang perlu diterima dengan redha.

Insya ALLAH, di sebalik setiap kesulitan pasti ada kesenangan dan hikmahnya yang tersurat dan tersirat. Sekurang-kurangnya sebagai pengajaran kepada kami - "Usah diambil mudah akan setiap kemungkinan walaupun ianya tidak pernah berlaku."

Sunday, May 22, 2011

Banjir Kilat Lagi

Tiga bulan lalu, banjir kilat melanda kawasan rumah kami. Hari ini ianya berulang lagi. Malah lebih teruk dari sebelumnya.

Sekitar jam 5:00 petang, hujan turun agak lebat sedikit. Air Sungai Kelang bersebelahan rumah kami begitu deras sekali arusnya. Paras airnya juga amat cepat naik. Tidak sampai pun setengah jam, airnya mulai melewati tebing, seterusnya melimpahi kawasan sekitar rumah. Rumah-rumah jiran bersebelahan dan berhampiran sungai yang mana berada di kawasan rendah mulai dimasuki air. Kenaikan air yang mendadak menyebabkan ramai yang tergamam. Sesuatu di luar jangkaan.

Limpahan air melebihi daripada sebelumnya. Jika dahulu setakat pintu pagar hadapan rumah kami sahaja tetapi kini bergenang di laman rumah, melewati aras buku lali. Khuatir juga jika air terus naik kerana banyak kereta yang berada di hadapan rumah. Nak dibawa keluar pun tidak boleh kerana air di lorong hadapan rumah telahpun menghampiri paras pinggang.

Bengkel perabut bersebelahan rumah kami juga dimasuki air. Bertungkus lumus kerusi meja diangkut ke tempat yang lebih selamat. Namun banyak juga yang terpaksa dibiarkan. Nampaknya dua tiga hari ini perlu dipunggah keluar untuk dikeringkan di bawah mentari. Harap-harap cuacanya panas.

Selepas setengah jam, hujan mulai reda dan air pun mulai mengalir turun. AlhamduliLlah.
Kesan lumpur memenuhi kawasan bekas air bertakung. Setakat yang perlu dibersihkan, air dialirkan. Selebihnya tunggulah hujan turun selepas ini.

Jambatan kecil yang merentangi Sungai Kelang, juga bersebelahan rumah kami dipenuhi dengan bermacam jenis sampah-sarap yang tersangkut di atasnya. Seperti lazimnya, tugasan kami adalah membersihkannya agar dapat digunakan kembali. Ganasnya aliran arus deras hinggakan kedapatan besi penghadang yang patah dilanggar bongkah kayu. Amat merbahaya terutama kepada kanak-kanak jika tidak diambil tindakan segera.

Dikhabarkan, banyak kawasan yang terlibat terutama di sepanjang Sungai Kelang. Moga semuanya selamat. Ameen.

Kasihan juga melihat jiran-jiran sekeliling yang terpaksa berhempas pulas membersihkan rumah masing-masing. Apakan daya, begitulah ketentuan Illahi. Dalam keadaan tidak dijangka, ianya datang bertandang, menguji daya ketahanan diri, sekaligus keimanan diri.

Dugaan dan ujian dari Allah SWT datangnya dalam pelbagai jenis dan keadaan. Di sebalik setiap yang berlaku ada hikmahNya yang tersembunyi. Sekurang-kurangnya sebagai peringatan untuk kita agar menjadi hambaNya yang sentiasa memikirkan kebesaran Allah SWT dan kekuasaanNya yang tiada tandingannya. Allahu Akbar.

Monday, February 28, 2011

Banjir Kilat

Di Lembah Kelang, khususnya di Kuala Lumpur, banjir kilat adalah satu kelaziman apabila hujan turun melebihi kebiasaan. Dikatakan aliran Sungai Kelang dan lain-lain saliran yang ada tidak dapat menampung kapasiti air yang ada. Maka banyaklah kawasan rendah yang merasai sengsaranya.
Rumah kami di Hulu Kelang sememangnya terletak bersebelahan Sungai Kelang yang turut melalui Zoo Negara. Apabila hujan agak lebat, maka air sungai akan naik. Biasanya hanya sedikit melewati tebing, kemudian surut kembali. Tiada apa yang digusarkan. AlhamduliLlah, itulah rahmat Allah SWT.
Namun, 'usah disangka panas sehingga ke petang, tanpa dijangka hujan di tengah hari'. Demikianlah yang berlaku pada petang Khamis minggu lepas. Paginya panas berdengkang, awal petang hujan mula turun mencurah-curah. Tidaklah lebat tetapi berlarutan hampir sejam.
Air sungai berwarna seakan teh tarik mengalir deras, naik mendadak melepasi tebing lalu menenggelami kawasan sekitarnya. Jambatan kecil di hadapan rumah (foto atas) yang merintangi sungai ke Lembah Keramat AU4 juga dinaiki air. Airnya cepat sekali memasuki rumah-rumah di kawasan rendah. Fenomena yang telah lama tidak berlaku. Kali terakhir 5 tahun lepas.
AlhamduliLlah, rumah kami tidak terlibat kerana terletak di tempat tinggi. Limpahan air sungai melingkungi kawasan rumah, ibarat sebuah pulau pula jadinya (foto sebelah).
Kasihan pada jiran tetangga bersebelahan. Rumah mereka dimasuki air secara tiba-tiba. Sofa dan tilam tidak dapat diselamatkan. Basah lecun dibuatnya. Banjirnya tidak lama. Tidak sampai setengah jam air surut, kembali kepada asal.
Bagusnya mereka ini, tiada sungutan menyesali takdir dan ujian yang menimpa. Segalanya diterima penuh redha. Moga diberkati Allah SWT.