Tuesday, February 15, 2011

Salam Maulidur Rasul

Hari ini, 12-Rabi'ul awal tercatat sebagai hari ulang tahun keputeraan/ kelahiran junjungan mulia, kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW. Bagindalah pembawa obor kehidupan dan penawar kesengsaraan sejagat.
Dari sejak di dalam kandungan bonda Siti Aminah sehinggalah baginda wafat pada usia 63 tahun, seterusnya sehingga ke hari kiamat, RasuluLlah SAW tetap hidup di setiap sanubari umatnya. Hidup beragama dengan bertunjangkan ketauhidan kepada Allah SWT tersebar luas di seluruh pelusuk dunia. Itulah Islam yang dibawa oleh RasuluLlah SAW. Baginda menjadi contoh teladan terbaik (qudwah hasanah) ataupun dengan kata lain menjadi idola teragung sepanjang zaman.
Di Malaysia, saban tahun sambutannya begitu gah sekali. Tidak terkecuali pada tahun ini. Bukan sekadar cuti umum tetapi hampir setiap masjid, surau dan institusi keagamaan menganjurkan pelbagai program berkaitan. Apatah lagi di peringkat negeri dan negara. Perarakan, ceramah, pidato dan diskusi adalah antara kebiasaannya. Seakan-akan satu kemestian pula. Moga usaha murni mereka mendapat keredhaan Allah SWT, cetusan dari kecintaan nan unggul terhadap RasuluLlah SAW.
Namun ada ketikanya terdetik juga di sudut hati, sejauh manakah kita (termasuk diri sendiri) menghayati roh Maulidur Rasul ini? Apakah sekadar mengingati baginda ketika tibanya cuti umum Maulidur Rasul ataupun mengamali setiap ajarannya setiap detik dengan penuh keinsafan?
Ada kalanya terasa malu apabila mengingatkan kelemahan diri. Lembut lidah bersyahadah bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah tetapi culas untuk melaksanakan sunnahnya. RasuluLlah SAW melarang, kita pula melaram. RasuluLlah SAW menyuruh, kita pula tidak bersungguh. Maka layakkah kita mengaku bahawa kita ini umatnya? Apatah lagi mengaku kasih dan sayangkan RasuluLlah SAW.
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan kurniakan rahmatMu pada RasuluLlah SAW dan keluarganya serta para sahabatnya. Jadikan kami di kalangan hamba-hambaMu yang mengasihi RasuluLlah SAW dan sentiasa rindu untuk bertemu dengannya. Ameen.
Sabda RasuluLlah SAW, "Barangsiapa berselawat kepadaku sekali, nescaya Allah SWT akan berselawat kepadanya sepuluh kali". Demikianlah janji RasuluLlah SAW kepada umatnya. Janji RasuluLlah SAW bukannya janji palsu tetapi ilham dan wahyu dari Illahi.
Marilah kita sama-sama berselawat kepada RasuluLlah SAW dan keluarganya, di setiap ketika dan masa. Moga kita dihimpunkan di kalangan umatnya yang mendapat syafaat baginda di hari perhitungan dan pembalasan nanti. Ameen.
Salam Maulidur Rasul untuk semua.

Monday, February 14, 2011

Hikmah Terlewat dan Tersesat

Sejak balik ke Malaysia sebulan lalu, jarang benar kami keluar dari Hulu Kelang. Jika ada perjalanan jauh pun hanya pulang ke kampung di Terengganu dan Sepang. Perjalanan kami hanya melalui laluan biasa dilalui sejak dahulu lagi. Tiada masalah, laluannya tidak banyak berubah.
Petang semalam, kami ke Kelana Jaya untuk menghadiri jemputan kahwin kenalan kami ketika di Melbourne dahulu, Dr. Syahril Awang. Hati pula berbelah bahagi, nak pergi ke tidak. Masanya sedikit terlewat dari waktu ditetapkan. Nak mencari rumah orang tuanya di SS4 pun satu hal lagi kerana kami tidak biasa dengan jalan-jalan di sebelah Kelana Jaya dan sekitarnya. Kata putus diambil, kena pergi juga walaupun terlewat. Jemputan orang wajib dipenuhi. Insya Allah ada hikmahnya.
Sebenarnya kami sedikit trauma dengan jalan-jalan di Lembah Kelang ini. Semenjak meninggalkan negara hampir 4 tahun lalu, terlalu banyak jalan dan lebuhraya baru yang dibina. Bersimpang siur, bertingkat-tingkat dan mengelirukan. Sukar untuk digambarkan arah-tujunya.
Keluar dari rumah, kami mencuba laluan baru melalui Lebuhraya Damansara-Ulu Kelang (DUKE). Dalam terpingga-pingga mencari arah ke Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), kami termasuk ke Kerinci Link. Tidak tahu kemana nak dituju lagi, pilihan kami masuk ke Lebuhraya Persekutuan sahaja yang telah biasa bagi kami, terus ke Kelana Jaya. Tanda arah ke Kelana Jaya pun tiada, nasib baiklah terpandang penunjuk arah ke Kompleks Tabung Haji yang pernah kami kunjungi ketika menghantar jemaah haji beberapa tahun lalu. Dalam usaha mencari rumah pengantin, kami tersilap jalan lagi, tersasar masuk kembali ke Lebuhraya Persekutuan. Terpaksalah membuat pusingan U yang terletak hampir 5 km dari jalan masuk ke Kelana Jaya.
Tidak mengapalah tersesat pun, sekurang-kurangnya kami mengenali beberapa jalan dan lokasi baru. Insya Allah, di lain ketika kami dapat gambaran persekitarannya jika perlu melalui jalan-jalan tersebut.
AlhamduliLlah, akhirnya ketemu juga lokasi rumah No. 1, SS4B/1. Para tamu pun telah pun berkurangan. Apakan tidak, majlis santapannya telah pun menghampiri penghujungnya. Namun ianya lebih memudahkan kami untuk bertemu muka dengan ibu bapa Syahril, Hj Awang dan Hjh Noraine serta kedua mempelai.
Selamat Pengantin Baru Syahril dan Ainna. Moga dirahmati Allah dan bahagia selamanya. Ameen.
Di samping mengenali Syahril, kedua-dua ibu bapanya juga kami kenali ketika mereka berkunjung ke Melbourne. Mereka sekeluarga amat mesra dan sering berpesan, jika pulang ke Malaysia, mesti singgah di rumah mereka. Tertunai juga hajat. Itupun mereka tidak berpuas hati kerana tidak berkesempatan duduk berbual panjang. Pesanan baru, datang lagi di lain kali. Insya Allah.
Tidak disangka, tersua juga dengan bos lama ketika di MIMOS dahulu, Pn. Norlela bersama suaminya. Rupanya mereka tinggal berdekatan sahaja. Sempatlah kami makan semeja sambil beramah mesra dan bertanya khabar. Makan bersama kami adalah Ustaz Sulaiman, bekas pensyarah UIA Matrikulasi PJ. Sempat juga bertanya khabar dengan Ustaz Datuk Zawawi Yusop, penceramah bebas yang terkenal. Dan dapat juga berkenalan dengan abang Hj. Awang iaitu Hj. Alias yang tinggal di Jalan Tekukur, Kuala Terengganu. Rupa-rupanya semuanya orang Terengganu; Hj. Awang, Hj. Alias, Ustaz Sulaiman dan juga Ustaz Zawawi.
Rugi pula tidak dibawa kamera bersama. Betullah bagai dikata, terlewat sampai mengundang banyak hikmah di sebaliknya. Demikianlah ketetapan Allah SWT. Syukur AlhamduliLlah.

Sunday, February 6, 2011

Futsal Team Hj Sulaiman

Atuk/Oyang Hj. Sulaiman yang tinggal di Kg. Bukit Bangkong, Selangor mempunyai ramai cucu dan cicit. Kebanyakannya sedang meningkat remaja dan ada juga yang telah pun berkeluarga seperti kami. Sebahagian besarnya adalah lelaki.
Keakraban anak-cucu-cicit terutama di kalangan anak remaja bagaikan aur dengan tebing. Walaupun masing-masing tinggal berjauhan, namun pantang berjumpa, ada sahaja yang rancangan yang diatur. Apatah lagi dengan adanya kemudahan internet, melalui Facebook komunikasi sesama mereka menjadi lebih mudah. Hasilnya tertubuhlah 'team Hj Sulaiman'.

Di kalangan ahli team lelaki; pastinya remaja belasan tahun dan awal 20an, futsal sentiasa menjadi topik paling utama/hangat dibincangkan. Daripadanya telah beberapa kali mereka berkumpul ketika musim cuti persekolahan/ pengajian dan sama-sama turun ke gelanggang futsal. Satu usaha yang amat baik sekali. Sekaligus menjadi sebab-musabab bagi setiap keluarga untuk bertemu dan berkumpul.

Pada pagi Sabtu baru-baru ini, sempena cuti Tahun Baru Cina, buat kali ketiganya mereka turun ke gelanggang futsal. Kali ini di Bandar Baru Salak Tinggi, tidak jauh dari rumah Cik Kamal dan Wak Mail-Wak Tina. Difahamkan, kali pertama mereka bermain di Tanjung Malim, kali kedua di BB Salak Tinggi dan kali ketiga ini juga ditempat yang sama.

Izzuddin, anak sulung kami yang amat meminati sukan bolasepak tidak melepaskan peluang keemasan ini. Dialah satu-satunya cicit Hj Sulaiman yang bermain. Lain-lain pemain adalah cucu-cucu Hj Sulaiman (pangkat pakcik) dan anak Hj Sulaiman (pangkat atuk). Seramai 16 orang semuanya turun. Bolehlah dibentuk 3 pasukan. Itupun masih ramai cucu-cicit lelaki Hj Sulaiman yang tidak berkesempatan turun. Jika dikumpulkan kesemuanya bolehlah ditempah padang bola sepak pula.
Koleksi foto terdapat di Album Foto Kami (Futsal @ BB Salak Tinggi) atau klik di sini.

Gelanggang futsal yang terletak di bangunan Meracipta Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian BB Salak Tinggi amat selesa sekali. Bayaran tempahannya amat berpatutan, RM 90.00 untuk 2 jam. Mereka menempahnya dari pukul 10:00 pagi - 12:00 tengahari.

Selama 2 jam di tengah gelanggang, bersilih ganti pasukan dan pemain, mereka bagaikan tidak mengenal penat dan lelah. Muka memerah dan peluh bercucuran membasahi pakaian langsung tidak dihiraukan. Stamina mereka amat mengkagumkan. Keseronokan apabila sesekali dapat bersama mengatasi segalanya. Bermain, beriadah penuh ceria sambil memupuk silaturahim yang sedia terjalin. Demikianlah ni'mat ukhuwah yang tidak ternilai harganya.

Tabik spring untuk semua. Bukan sahaja kerana kesungguhan dan semangat kesukanan yang ditunjukkan tetapi juga kerana kehebatan mereka bermain. Sepakan mereka bagaikan peluru, larian mereka bagaikan lipas kudung dan kemahiran mereka tiada tolak bandingnya. Tidak sukar untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap dan digeruni lawan. Tahniah team Hj. Sulaiman.

Tamat permainan, masing-masing beredar pulang ke kampung. Manakala kami sekeluarga bersama keluarga Bakhtiar pula menyinggah di rumah Cik Kamal, atas jemputan makan tengahari. Terima kasih Cik.
Insya Allah, ketika cuti persekolahan Penggal 1 pada bulan Mac nanti, mereka merancang akan turun ke gelanggang futsal di Bandar Baru Bangi pula sambil berkunjung ke rumah Cik Samian-Cik Ros yang tinggal di sana.
Sehingga kini dengar-dengarnya masih belum ada jawatankuasa khusus yang mengendalikan team futsal/bola sepak ini. Mohon mencadang, ada baiknya ditubuhkan untuk kebaikan bersama. Banyak perancangan yang lebih tersusun dapat dilakukan termasuk dari sudut kewangan. Terlebih elok lagi jika ada Persatuan Keluarga Hj. Sulaiman. Maka team futsal/bola sepak ini dapat bernaung di bawahnya.

Friday, February 4, 2011

Balik Kampung

Inilah saat yang dinanti-nantikan. Selang beberapa hari berehat di rumah emak-abah di Hulu Kelang, kami berangkat pulang ke kampung halaman saya di Terengganu. Terlerai segala kerinduan kepada Che' dan Ayah. Selama ini hanya mendengar suara mereka melalui telefon sahaja, kini dapat bersua muka, mencium tangan dan pipi serta kejap berpelukan seakan tidak ingin berpisah jauh lagi. Insya Allah. Anak-anak juga seronok dapat menjengah Tok Che' dan Tok Ayah yang amat dirindui. Juga dapat berjumpa adik beradik dan saudara mara yang tinggal di kampung.
Che' dan Ayah masih kurang sihat. Che' dengan masalah injap jantung yang dihidapinya sejak 2 tahun lalu, cepat merasa penat apabila banyak bergerak. Ayah pula dengan sakit-sakit di dalam badannya, tambahan pula baru kebah dari demam. Che' Ngah dan Ayah Ngah yang tinggal di Kg. Padang Machang juga kurang sihat. Begitu juga dengan Ayah Da di Kg. Padang Tenggir. Didoakan moga mereka semua sentiasa dipelihara oleh Allah SWT, dikurniakan kekuatan dan keimanan serta disembuhkan olehNya. Ameen.
Che' Da, Ayah Teh-Mak Teh dan Ayah Su-Che' Su pula nampaknya sihat sahaja. Demikian juga dengan adik beradik semua. AlhamduliLlah. Dalam kesuntukan masa, tidak sempat pula untuk menziarahi Mak Cik di Pulau Bahagia serta adinda Suhaila di Seberang Takir. Moga semuanya sihat-sihat sentiasa.
Ketika menjenguk surau, sayu hati mendapati ramai wajah-wajah tua yang sentiasa mengimarahkannya tidak kelihatan lagi. Demikian juga beberapa orang jiran di sekeliling rumah. Menurut Ustaz Hamazah (jiran terdekat), ramai daripadanya telah pun meninggal dunia dan sebahagiannya lagi tidak lagi mampu bergerak jauh, terlantar lesu di rumah.
Sekembalinya dari Terengganu, di hujung minggu berikutnya kami pulang pula ke Kg. Bukit Bangkong, Sepang. Atuk/Oyang Haji Sulaiman kelihatan masih kuat lagi, walaupun bertongkat. Dalam usia menghampiri 100 tahun; kurniaan penglihatan, pendengaran, pertuturan dan daya ingatan adalah antara ni'mat Allah yang masih dimilikinya. Dengan dikelilingi anak-cucu yang sentiasa mengambil berat menjadi penawar hati yang amat berharga baginya. AlhamduliLlah.
Di samping dapat berjumpa Atuk Sulaiman, kami berkesempatan berjumpa keluarga bapa/emak saudara; Cik Amin, Cik Kamal, Cik Ummi dan Cik Hilal. Setelah lama tidak berjumpa, perubahan fizikal anak-anak mereka amat berbeza sekali, sukar untuk dikenali. Kini mereka lebih aktif, agresif dan kreatif, apatah lagi apabila berada di kalangan kelompok usia masing-masing. Bagi yang menginjak usia remaja, kelincahan mereka lebih menyerlah.
Suasana kampung, tidak kira di Terengganu mahu pun di Sepang amat mendamaikan. Pepohonan menghijau dan aliran air sungai benar-benar melahirkan ketenangan. Suara kokokan ayam di dinihari dan suara azan yang bertingkahan di setiap waktu solat antara yang dirindui, kini dapat dini'mati penuh syukur.
AlhamduliLlah atas segala kurniaan dan anugerahMu, Ya Allah.

Thursday, February 3, 2011

Ni'mat Juadah Tradisional

Sejak di Melbourne lagi, anak-anak telah pun menyimpan dendam/mengidam untuk makan makanan Malaysia ketika di tanah air.
Nasi ambeng/berkat (nasi berlauk berbungkus daun pisang - makanan tradisi Jawa) antara yang diidamkan setibanya di Malaysia. Untuk tidak mengecewakan mereka, Nenek Azizah telah menempah 2 bungkus nasi ambeng dari orang kampung di Kg. Bukit Bangkong, Sepang - kampung halaman atuk dan nenek. Berselera sekali mereka memakannya walaupun ketika itu waktu telah pun menghampiri jam 12:00 tengah malam.
Keesokan paginya pula mereka dibawa oleh atuk dan nenek bersarapan roti canai dan teh tarik di warung. Imranlah yang paling teruja. Sampai sahaja di warung terus dimintanya roti canai dan teh tarik, diikuti nasi lemak dan roti paratha. Selepas perkena roti canai dan teh tarik, yang lain-lainnya ditolak ketepi. Nasib baiklah tidak dibuat tempahan awal, jika tidak terpaksalah kami yang menghabiskannya.
Hari-hari berikutnya, ada ketikanya kami bersarapan di lain-lain warung yang berlainan lokasinya. Namun roti canai dan teh tarik masih menjadi tempahan utamanya. Begitulah penangannya. Bukan kami sahaja bagi kami yang telah lama tidak merasainya tetapi bagi mereka yang biasa, hampir saban hari mereka tidak ketinggalan menjamahnya. Jika tidak, masakan warung/restoran roti canai bercambahan di merata tempat.
Ketika pulang ke Terengganu, Pasar Batu Enam antara yang wajib dikunjungi. Deretan gerai yang menjual kueh-mueh yang dibuka sehingga ke petang menjadi tumpuan kami. Pelbagai jenis juadah tradisional Teganu Kite amat mudah diperolehi. Sebut sahaja apa namanya, Insya Allah ada dijual. Ikutkan hati semuanya ingin dibeli. Kueh menganang, akok, rojak kateh (kaki lembu) dan nasi air menjadi pilihan kami pada kali ini. Lain kali bolehlah dicuba pula laksam, laksa, tepung pelita, khasidah, koleh kacang, sata, sarok dan bermacam lagi.
Keropok lekor pula sememangnya satu kemestian. Ianya dibeli di Seberang Takir. Kata orang ianya lebih sedap dari keropok lekor Kg. Losong. Mungkin ada benarnya tetapi kami tidak menggemari cara layanan beberapa petugas wanita muda yang 'tidak mesra pelanggan/endah tak endah'. Malah ada yang sibuk dengan handphone dan juga berborak sesama sendiri. Rasanya cukuplah sekali. Masih banyak lagi gerai keropok lekor di Terengganu yang boleh disinggahi. Bunyinya seakan merajuk tetapi itulah hakikatnya jika pelanggan tidak dilayan dengan baik. Amat berbeza dengan layanan mesra (nota: penuh ikhlas) yang ditunjukkan oleh makcik/nenek di gerai kueh Pasar Batu Enam. Sejuk hati untuk berkunjung lagi.
Setiap kali menjamah juadah tradisional, terubat kerinduan yang terpendam selama ini. AlhamduliLlah, syukur padaNya dianugerahkan rezeki, kesempatan, kesihatan dan selera makan.
Firman Allah SWT dalam surah Ar-Rahmaan, "Maka ni'mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan".
"Ya Allah, ampunilah diri ini jika tidak menyedarinya. Ameen."

Wednesday, February 2, 2011

Masuk Sekolah

Seminggu dua ini kami berdua sibuk sedikit dengan urusan persekolahan anak-anak. Pada masa yang sama, Laili kembali meneruskan kewajibannya sebagai pendidik/ pensyarah di HUKM Cheras.
Sejak 2 hari lepas, anak-anak telah pun memulakan alam persekolahan mereka di tanah air. Izzuddin dan Hanisah di SMK Lembah Keramat, masing-masing di Tingkatan 3 dan Tingkatan 1. Manakala Solehah dan Imran pula di SK Hulu Kelang di Tahun 5 dan Tahun 1. Kedua-dua sekolah hanya di sebelah rumah sahaja, memudahkan mereka untuk berjalan kaki, berulang alik ke sekolah.
Di sebelah petangnya pula Solehah dan Imran bersekolah agama di KAFA Integrasi Al-Ridhuan, bertempat di Masjid Al-Ridhuan, tidak jauh dari rumah kami.
Dua hari bersekolah, terlalu banyak cabaran baru yang perlu mereka hadapi dan tempuhi. Hampir 4 tahun di Australia (Adelaide dan Melbourne) dengan sistem pembelajaran yang berbeza dengan di Malaysia menyebabkan banyak perkara baru yang ditemui.
Lebih-lebih lagi bagi Solehah yang tidak pernah melalui sistem persekolahan di tanah air sebelum ini. Beliau sering rasa rendah diri dan ketinggalan berbanding rakan-rakan lain. Subjek Bahasa Melayulah yang paling ditakutinya. Begitu juga masalah Penulisan Jawi dan Bahasa Arab di sekolah agama.
Pesanan kami padanya, "Solehah baru 2 hari bersekolah, masih ada banyak masa untuk menyesuaikan diri. Usah rasa malu dan rendah diri. Berusahalah. Insya Allah kejayaan akan menyusurinya". Guru-gurunya amat memakluminya dan sentiasa memberikan sokongan moral padanya. Terima kasih Cikgu. Terima kasih Ustaz-Ustazah.
Imran pula tiada masalah besar baginya kerana masih di peringkat awal sekolah rendah. Sememangnya ada rasa takut dalam dirinya tetapi segalanya dapat diatasi dengan baik. Semangat belajarnya amat tinggi, cuma kepenatan sedikit kerana perlu ke sekolah di sebelah pagi dan petang.
Izzuddin dan Hanisah pernah bersekolah di sekolah rendah dahulu. Walaupun sistemnya berbeza, sekurang-kurangnya pengalaman lama boleh diguna pakai. Cuma mereka perlu berusaha lebih untuk mengilap Bahasa Melayu yang telah lama ditinggalkan. Bagi Izzuddin, cabarannya lebih besar memandangkan tahun ini adalah Tahun PMR untuknya. Kami tidak meletakkan harapan yang tinggi padanya. Pesan kami, "Berusahalah melakukan yang terbaik. Paling penting adalah SPM yang bakal menentukan ke mana arah tuju selepasnya".
Kepada anak-anak, kami sentiasa mendoakan moga segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Ameen.

Masalah Posting

Dalam menulis setiap entri, biasanya saya menulisnya dalam MS Word dahulu, barulah dipindahkan ke blog. Ianya lebih mudah dan menjimatkan. Entah kenapa, beberapa minggu ini ada masalah untuk diposkan ke blog. Mesej 'Word cannot publish this post' benar-benar buat diri ini pening kepala. Bermacam percubaan telah dilakukan tetapi belum berhasil.
Banyak perkara yang ingin diluahkan mahupun dikongsi bersama, terutama kisah-kisah kami sekeluarga sekembalinya ke tanah air sejak 3 minggu lalu. Kasihan kepada rakan-rakan semua yang menyinggah di Salam Monash tetapi tiada apa yang baru. Mohon maaf.
Untuk sementara waktu ini tiada pilihan lain, terpaksalah ditaip terus ke ruangan New Post. Moga dengannya terlerai gejolak di hati ini untuk menulis, sekaligus terubat rindu pada semua. Insya Allah.