Sunday, November 13, 2016

Cuti2 Malaysia > Pustaka Peringatan Tan Sri P. Ramlee

Bersama P. Ramlee
Ketika keluar dari Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, jam telah pun melewati pukul 3:30 petang. Masa yang ada agak suntuk untuk meredah kesesakan jalan raya ke mana-mana muzium dan memorial di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Tambahan pula solat Asar di masjid juga perlu dijaga waktunya.


Pilihan kami... bergerak ke arah Hulu Kelang melalui Jln Genting Kelang dan cuba singgah di Pustaka Peringatan Tan Sri P. Ramlee di Jalan Dedap, Taman P. Ramlee, Setapak. Sama seperti lain-lain memorial, ianya juga dibuka dari jam 10:00 pagi hingga 5:30 petang dan masuk adalah PERCUMA.

Pustaka Peringatan P. Ramlee ini telah dibuka secara rasminya pada 22 Mac, 1986 bagi menperingati penglibatan Almarhum P. Ramlee di dalam bidang seni tanah air. Sekaligus menjadi sumber rujukan para pencinta dan pengkaji seni dan budaya negara.

AlhamduliLLAH, kami tiba kira-kira jam 4:00 petang. Demi mengejar masuknya waktu Asar pada jam 4:20 petang, kami hanya ada 15 minit sahaja. Sesuatu yang tidak mustahil kerana memorial ini hanyalah sebuah rumah biasa sahaja, asalnya rumah kediaman P. Ramlee sendiri.

Sebahagian filem arahan P. Ramlee
Sebagai seorang Seniman Agung, bahan-bahan yang dipamerkan di sini  pastilah sebahagian besarnya tentang dunia muzik dan perfileman di era 1950an beliau; antaranya pelbagai pingat dan anugerah, peralatan muzik, pakaian, dokumen, gambar foto, paparan filem dan sebagainya.

Kesemua bahan-bahan pameran ini diatur mengikut tema-tema tertentu seperti Sepintas Lalu, Biografi, Kenali P. Ramlee, Irama dan Lagu, Dunia Filem, Anugerah, P. Ramlee Yang Ku Kenali dan Al-Fatihah. Paparan filem-filem beliau lazimnya disiar setiap hari bersilih ganti pada LCD yang tersedia di dalamnya.

Penarik Beca (1955), arahan pertama P. Ramlee
Turut dipamerkan adalah berkaitan dengan isteri beliau, Biduanita Saloma.

Secara peribadi, saya amat berharap agar segala paparan kehidupan Almarhum P. Ramlee dan Almarhumah Saloma yang tidak menepati syarak sewajarnya tidak dipamer atau diulang tayangkan. Itulah tanda hormat dan sayang kita kepada mereka yang telah pun tiada di dunia ini.

Marilah bersama-sama kita doakan moga roh Almarhum P. Ramlee dan isterinya sentiasa dirahmati oleh ALLAH SWT. Amee Ya Rabbal 'alameen.

AlhamduliLLAH, kurang lebih 15 minit dapat kami tamatkan pengamatan kami di Pustaka Peringatan P. Ramlee dan dapat berjemaah Asar di Masjid Kem Wardieburn, Setapak. 

Maka berakhirlah penjelajahan kami selama 2 hari ke dua buah muzium dan 3 buah memorial.

No comments: