Saturday, November 12, 2016

Cuti2 Malaysia > Memorial Tunku Abdul Rahman Putra

Seusai solat Zohor di Masjid Negara, langkah kami seterusnya adalah ke Jalan Dato' Onn. Di sini terdapat 2 buah lagi memorial bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan ketiga iaitu Memorial Tunku Abdul Rahman Putra dan Memorial Tun Hussein Onn.

Pengisytiharan Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957
Kami hanya berkesempatan masuk ke Memorial Tunku Abdul Rahman sahaja sedangkan Memorial Tun Hussein Onn pula ditutup kerana dalam proses pembinaan semula. Tidak mengapalah... Inshaa ALLAH di lain kesempatan.

Memorial Tunku Abdul Rahman Putra telah dibuka secara rasminya pada 10 Mei 1994 oleh Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4. Ianya bagi memperingati dan mengenang jasa dan sumbangan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama (1957 - 1970). 

Memorial ini terdiri daripada 3 buah bangunan iaitu Residensi, Blok A dan Blok B. Masuk adalah PERCUMA. Ianya dibuka dari jam 10:00 pagi hingga 5:30 petang dan DITUTUP pada hari Isnin, kecuali ketika cuti umum dan cuti persekolahan.

Kereta rasmi Tunku, Cardillac Fleetwood
Penjelajahan kami bermula di Blok A dengan disambut oleh 2 buah kereta bersejarah iaitu Cardillac Fleetwood 1959 berwarna hitam yang menjadi kenderaan rasmi Almarhum Tunku dan Kereta Merdeka, Vintage Car model 'Nash Rambler' 1951 berwarna merah.


Melangkah masuk ke ruang pameran, kami kagum melihat susun atur paparan sarat maklumat kronologi kemerdekaan tanah air khususnya penglibatan Almarhum Tunku. Itu di Tingkat Bawah.

Maklumat berkaitan biografi hidup Almarhum Tunku dan pengalamannya sebagai pemimpin negara berserta dokumen, keratan akhbar The Star dan artifak tinggalannya boleh diamati di Tingkat 1 dan 3 Blok A.

Kami bertuah kerana dibenarkan mengambil gambar/foto di ruang pameran Blok A ini. Akan tetapi tidak dibenarkan di Blok B dan juga Bangunan Residensi.

Rombongan Rundingan Kemerdekaan 1956
Ruang pameran 1 tingkat di Blok C menempatkan susun atur ruang pejabat asal Almarhum Tunku termasuk kakitangan di bawah Pejabat Perdana Menteri. Di bahagian pejabat, terdapat pula exhibit pelbagai medal dan hadiah yang diterima oleh beliau. Juga terdapat pakaian rasmi beliau mengikut majlis.

Residensi pula adalah bangunan lama yang telah pun berusia hampir 130 tahun (dibina pada tahun 1888). Ianya menjadi kediaman rasmi Almarhum Tunku ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia. Susun atur kelengkapan dalamannya adalah mengikut aturan asal; antaranya Bilik Tidur, Ruang Makan, Ruang Tamu, Bilik Rehat, Bilik Cairo (kelengkapan dari Cairo) dan sebagainya.

Keratan akhbar The Straits Times
Singgahan seterusnya adalah di anjung yang luas terbentang, terletak di antara ketiga-tiga blok tersebut. Di samping hiasan pepohon bunga, terdapat satu ukiran menarik di dalam takungan air kolam dikenali sebagai Ukiran Granit Hitam dengan sebuah ukiran imej Almarhum Tunku berserta 32 buah batu granit yang mencatatkan sejarah berkaitan Tunku Abdul Rahman Putra.

Itulah lokasi terakhir kunjungan kami ke Memorial Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Tanpa disedari rupa-rupanya telah pun lebih sejam setengah kami di situ.

Bagi Imran, ianya satu pengalaman yang amat berharga kerana selama ini kisah Almarhum Tunku hanya diketahui secara ringkas melalui subjek Sejarah di sekolah.

Secara peribadi, amat-amatlah disarankan setiap sekolah sewajarnya membawa para pelajar ke memorial seumpama ini sambil memberikan tugasan tertentu yang berkaitan dengannya.

Akhir kalam, marilah kita doakan moga segala jasa bakti yang disumbangkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman dicatatkan sebagai amalan soleh dan dihimpunkan beliau di kalangan hambaNYA yang diredhoi. Ameen.

No comments: