Thursday, November 10, 2016

Cuti2 Malaysia > Memorial Tun Abdul Razak

Beredar dari Muzium PDRM, kami terus ke Memorial Tun Abdul Razak yang terletak tidak jauh darinya. Ianya dibuka setiap hari dari jam 10:00 pagi hingga jam 5:30 petang. Hari Isnin DITUTUP kecuali cuti am dan cuti persekolahan.

Memorial Tun Abdul Razak telah dibuka secara rasmi pada 6 Mei 1982 oleh Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4. Tujuan memorial ini adalah bagi memperingati dan mengenang jasa serta sumbangan almarhum kepada negara

Almarhum Tun Abdul Razak bin Hussein (11 Mac 1922 - 14 Januari 1976) merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-2 selepas Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra yang berkhidmat dari tahun 1970 sehingga 1976.  Selepas kematiannya, beliau telah dikenang sebagai Bapa Pembangunan.


Sri Taman berkonsepkan Californian Style
Memorial ini terbahagi kepada 2 bangunan utama. Bangunan pertama dikenali sebagai Bilik Pameran 1 atau Sri Taman yakni kediaman rasmi Almarhum Tun Abdul Razak dari tahun 1962 hingga 1976.

Ruang dalaman kediaman 2 tingkat dengan rekabentuk Californian Style ini telah disusun atur semula seperti kedudukan asalnya semasa Almarhum Tun Abdul Razak dan Tun Rahah serta keluarga mendiaminya. Sebagai makluman, Dato' Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia sekarang adalah anak kepada Almarhum Tun Abdul Razak.

Secara umumnya, sedikit sebanyak para pengunjung dapat menyelami gaya hidup, minat dan komitmen Almarhum Tun berkaitan rutin hidup seharian beliau. Di dalam kesibukan sebagai pemimpin negara, tumpuan beliau kepada keluarga menjadi keutamaannya.

Di bahagian belakang Sri Taman telah didirikan sebuah model Rumah Peneroka FELDA bersaiz lantai 42m persegi di atas tanah berkeluasan 12m x 12m. Inilah rumah para peneroka awal ketika Rancangan Pembangunan Tanah Persekutuan diperkenalkan oleh Almarhum Tun Abdul Razak.

FELDA - hasil cetusan idea Tun Abdul Razak
Bangunan kedua pula dinamakan sebagai Bilik Pameran 2 memuatkan penerangan segala perancangan dan perlaksanaan melibatkan semua bidang pembangunan negara dan rakyat di zaman Almarhum Tun Abdul Razak terutamanya pendidikan, pertanian, perindustrian, pembangunan tanah dan sebagainya.

Dalam bidang pendidikan, terhasilnya Penyata Razak 1956 ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran. Rancangan Buku Merah 1960 (perancangan bandar dan daerah) dan Rancangan Buku Hijau 1974 (kemajuan pertanian) pula dilancarkan ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Begitu juga dengan pelancaran Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1971 yang bertujuan merungkaikan masalah berkaitan kemiskinan dan kesaksamaan penguasaan ekonomi di kalangan rakyat pelbagai kaum.

PM Najib di hadapan Japanese Garden - foto The Star
Kesemua sumbangan Almarhum Tun Abdul Razak ini serta lain-lain hal yang berkaitan termasuk hubungan dengan negara luar dapat disaksikan di Bilik Pameran 2 (2 tingkat) tersebut. Amat sesuai sekali untuk tatapan generasi terkemudian seperti kita semua.

Sama-samalah kita doakan moga roh Almarhum Tun Abdul Razak berada bersama golongan yang dirahmati ALLAH. Ameen.

Sepertimana di Muzium Diraja dan Muzium PDRM, di memorial ini juga tidak dibenarkan pengunjung mengambil gambar/foto. Sebelum beredar, seperti lazimnya kami singgah seketika di Kedai Cenderamata yang terletak di antara 2 bangunan tersebut. Menarik... banyak pilihan koleksi cenderamata termasuk fridge magnet, foto, lencana, baju T, buku dan lain-lain lagi.

Menjelang masuknya waktu solat Zohor, kami menyinggah lagi di Masjid Negara. AlhamduliLLAH... itulah yang kami gemari... jalan-jalan juga, masjidnya jangan lupa.

No comments: