Wednesday, November 9, 2016

Cuti2 Malaysia > Muzium PDRM

Petang Isnin (31 Oktober), AlhamduliLLAH kami sempat berkunjung ke Muzium Diraja di Jalan Istana. Keesokan harinya, Selasa... berdua bersama Imran yang masih bercuti sekolah (tambahan cuti Deepavali), sedari pagi kami telah bergerak ke Jalan Perdana (asalnya dikenali sebagai Jalan Venning). Tumpuan kami adalah Muzium Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Muzium PDRM dibuka pada jam 10:00 pagi sehingga 6:00 petang setiap hari. Hari Isnin DITUTUP. Menariknya, tiada bayaran masuk dikenakan. 
  
Muzium PDRM asalnya terletak di Pusat Latihan Polis, Jln Gurney (kini Jln Semarak), Kuala Lumpur iaitu sebuah bangunan kayu yang menyimpan pelbagai barang kes jenayah untuk tujuan pembelajaran.

Pada tahun 1958, Penguasa Sekolah Pusat Latihan Polis, PB Gerry Waller dengan bantuan para pegawai lain telah membangunkannya sebagai Muzium Kepolisan.

Pada tahun 1997 pula, atas inisiatif Ketua Polis Negara ke-4, Tun Hanif Omar; Mes Pegawai Kanan Polis di Jalan Venning telah diubahsuai menjadi muzium dan dirasmikan pembukaannya oleh Timbalan Perdana Malaysia, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 24 Julai, 1999.

Umumnya, Muzium PDRM ini terbahagi kepada 4 Galeri - Galeri Luar di bahagian luar bangunan, Galeri A, B dan C di dalam bangunan.

Pengambilan foto hanya dibenarkan di luar bangunan sahaja.

Galeri Luar mempamerkan kereta perisai (GMC), Ferret Scout Car, Sankey, kapal terbang CESSNA, meriam dan bot marin PA4. Terdapat juga kenderaan yang pernah digunakan oleh tokoh-tokoh PDRM. Dataran perwira pula memaparkan jujukan nama-nama anggota PDRM yang telah terkorban sewaktu menjalankan tugas.

Penerokaan sejarah kepolisan bermula dengan Galeri A dengan imbasan peristiwa sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, Portugis, Belanda dan British. Dapat juga dilihat transformasi pakaian seragam polis, artifak tinggalan dan juga replika bangunan lama. Bagi yang bernasib baik dapat menonton tayangan audio visual sejarah awal polis tetapi tidak bagi kami... mungkin kami tiba terlalu awal.

Di Galeri B pula dihidangkan dengan sejarah kepolisan di setiap negeri di tanah air berdasarkan kronologi sejarah, antaranya melibatkan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu, Negeri-Negeri Selat serta Polis Sabah dan Sarawak. Lebih menarik lagi adalah Sudut Senjata yang dikawal oleh seorang anggota polis. Di sini dipamerkan senjata-senjata yang digunakan oleh PDRM, senjata yang dirampas daripada komunis, kongsi gelap, PATI dan juga senjata berjadual. 

Di hujung Galeri B adalah Sudut Pingat berserta penerimanya seperti Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa, Pingat Gagah Berani, Service Medal dan King's Police Medal. Juga Sudut Koleksi Anugerah Sukan di mana ramai di antara jaguh sukan negara adalah anggota PDRM serta Sudut Ketua Polis Negara yang memaparkan turutan barisan Ketua Polis Negara, dari awal sehinggalah kini.

Galeri C pula memaparkan gambaran sebenar kekuatan semangat dan kecekalan anggota polis di era darurat di mana komunis dan konfrontasi adalah ancaman utamanya. Perjuangan dan pengorbanan mereka serta hubungan erat dengan masyarakat membuktikan betapa keamanan dan keselamatan negara sewajarnya dipertahankan. Turut dipamerkan adalah diorama serangan Balai Polis Bukit Kepong dan artifak hasil rampasan daripada pihak komunis.

Terlalu banyak dan panjang lebar penerangan bertulis yang dipaparkan di setiap lokasi hingga tak mampu untuk dihadamkan dengan baik. Cukup sekadar membacanya seimbas lalu sambil menyambung kaitkan dengan pelbagai rentetan peristiwa yang berlaku di sekitarnya.

Deretan nama anggota polis yang terkorban ketika bertugas
Bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi pameran, Imran kerap bertanya itu dan ini demi memahami setiap susur galur sejarah kepolisan. Sedaya mungkin diusahakan juga untuk menerangkannya berdasarkan pengetahuan yang ada dan dari bacaan di papan-papan kenyataan. Inshaa ALLAH ada manafaatnya sekurang-kurangnya sebagai asas pengetahuan awalan.

Dari pemerhatian kasar kami, didapati tidak ramai pengunjung yang menyinggah. Adakah ini petanda betapa generasi masa kini kurang atau tidak endah akan sejarah negara termasuk berkaitan dengan kepolisan? Entahlah...

No comments: