Tuesday, November 8, 2016

Cuti2 Malaysia > Muzium DiRaja

Tanggal 31 Oktober dan 1 November, 2016 (Isnin-Selasa) adalah cuti tambahan Deepavali bagi sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.

Lazimnya apabila ada cuti panjang, maka Imran akan meminta berjalan-jalan ke mana-mana lokasi tumpuan pelancong terutama di sekitar Lembah Kelang. Salah satu yang menarik minatnya mutaakhir ini adalah tempat-tempat bersejarah atau di mana terkumpulnya setiap detik peristiwa dari dahulu sehingga kini. Pastinya muzium dan seumpamanya.

Petang Isnin, kami bertiga termasuk ibunya ke Muzium DiRaja di Jalan Istana. Pengunjungnya tidaklah ramai tetapi sentiasa ada sahaja. Kebanyakannya warga India bersama ahli keluarga.

Bayaran masuknya murah sahaja - RM5 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun. Untuk masuk ke muzium, para pengunjung mestilah membuka kasut/selipar yang dipakai. Amat sesuai dengan adat Melayu secara khusus dan komuniti Malaysia amnya. Tambahan pula keseluruhan lantainya dilitupi permaidani.

Umumnya, Muzium DiRaja asalnya Istana Negara lama iaitu kediaman rasmi Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan SPB Raja Permaisuri Agong dari tahun 1957 hingga 2011. Ianya telah diubahsuai sebagai muzium dan dibuka kepada umum pada awal tahun 2013.

Muzium 2 tingkat berwarna kuning muda ini berfungsi memartabatkan institusi Raja Berpelembagaan dengan berkongsi maklumat berkaitannya serta mempamerkan sebahagian besar rutin kehidupan seharian YDPA.

Langkah pertama ke Dewan Hadapan, pandangan kami dihidangkan dengan rentetan sejarah bangunan istana dan turutan foto YDPA dari yang pertama hinggalah YDPA ke-14 sekarang ini.

Di Tingkat Bawah, terdapat beberapa bilik utama berserta kelengkapannya, antaranya Bilik Mesyuarat, Bilik Tayangan, Bilik Duta, Klinik Diraja dan juga Bilik Makan.

Manakala di Tingkat Atas pula dilengkapi beberapa Bilik Tidur, Ruang Pejabat Agong dan Permaisuri berserta Bilik Mesyuarat, Bilik Bacaan, Ruang Keluarga, Ruang Tetamu dan juga Bilik Rehat untuk Pemangku YDPA.

Semuanya menarik hati tetapi malangnya tidak dibenarkan mengabadikan sebarang foto... cukup disimpan di dalam ingatan sahaja. Hanya foto luaran muzium sahaja yang boleh dirakam.

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah 
Dengan ruangan yang tidak berapa luas, dalam masa setengah jam sahaja semuanya telah habis diterokai. Sebelum keluar kami singgah seketika di Kedai Cenderamata untuk menambah koleksi fridge magnet (atau seumpamanya) sebagai tanda pernah mengunjunginya.

Tidak perasan pula... di samping Blok Muzium, rupa-rupanya masih ada sebuah lagi blok bersebelahan yang tidak kami jelajahi di mana ditempatkan Balairung Seri yang terkenal dengan Majlis Pertabalan YDPA setiap 5 tahun sekali dan pelbagai majlis rasmi berkaitan.

Di sinilah terletaknya Singgahsana Diraja, Bilik Santapan Diraja, Bilik Mesyuarat Diraja, Bilik Bacaan dan beberapa keperluan lainnya.

Tak mengapalah... jika diizinkan bolehlah datang lagi di lain kesempatan.

Cukuplah untuk hari ini kerana kebanyakan muzium dan memorial ditutup sekitar jam 5:00 petang. Tumpuan kami adalah ke Masjid Negara kerana waktu Asarnya sudah pun hampir tiba.

No comments: