Saturday, November 20, 2010

Hujung Minggu Di Wilson Prom

[Insya Allah lain-lain foto akan menyusul kemudian]
Seminggu nan lalu, kami sekeluarga, termasuk Abah dan Emak telah berkunjung ke penghujung tanah besar benua Australia, Wilson Promontory National Park yang terletak di West Gippsland, Victoria.
Kami bertolak pada petang Jumaat, selepas anak-anak pulang dari sekolah. AlhamduliLlah tiba di Acasia St, Sandy Point ketika matahari mula terbenam di ufuk barat. Di sinilah kami menginap selama 2 malam. Kami sekeluarga berkongsi rumah bersama Ustaz Zain-Saliza sekeluarga, manakala Kak Norhana sekeluarga pula berkongsi rumah dengan Azidah.
Sandy Point
Hari Sabtu, cuacanya agak kurang baik. Hujan renyai-renyai, adakala lebat. Begitulah keadaannya dari pagi sehinggalah ke malam.
Paginya kami ke Sandy Point Beach yang terletak berdekatan dengan rumah penginapan. Pantai yang terkenal dengan aktiviti luncur air. Bangunan Surfing Club tersergam megah menghadap laut.
Anak-anaklah yang paling teruja. Mereka memohon izin untuk mandi tetapi terpaksa ditangguhkan kerana tujuan utama kami adalah ke Wilson Prom. Mereka sekadar bermain pasir di tepi pantai yang melandai, terhampar luas hingga ke gigi air. Pemandangan sekitarnya amat indah sekali.
Wilson Prom
Seusai makan tengahari dan solat jamak, tiga buah kereta bergerak menuju ke Wilson Prom yang terletak kira-kira 50km dari Sandy Point.
Ketika kunjungan kami pada tahun lepas, bayaran masuknya adalah $35/kereta tetapi kali ini tiada bayaran dikenakan (percuma). Tidak pasti pula samada ianya mengikut musim atau sememangnya telah pun dihapuskan. Apa-apa pun AlhamduliLlah.
Memasuki Wilson Prom, kereta mula diperlahankan sambil masing-masing memerhatikan persekitarannya dengan penuh minat. Difahamkan, daratan yang berbentuk tanjung ini pernah bersambung dengan daratan Tasmania beberapa ratus ribu tahun lalu. Suatu fakta yang amat menakjubkan. Betapa besarnya kekuasaan Allah SWT. Allahu Akbar.
Kesan-kesan kebakaran dahsyat hutan 2 tahun lepas, Black Saturday masih jelas kelihatan pada pepohonan yang masih hitam batangnya. Hairannya, kenapa sehingga kini pokok-pokok tersebut seolah-olah hidup segan mati tak mahu? Bagi yang beriman dan tidak buta mata hatinya, pasti ada hikmah di sebaliknya. Demikianlah peringatan Allah SWT dalam Al-Quran bagi yang ingin berfikir.
Di samping itu, kami juga bernasib baik kerana beberapa kali terserempak dengan emu, kangaroo dan echidna di tepian jalan.
Kami singgah seketika di Information Centre di Tidal River, seterusnya menyusuri Ring Road, meninjau kawasan perkhemahan yang disediakan. Kami berhenti di Squeaky Beach untuk merasai pengalaman pasir berbunyi setiap kali dipijak. Sayangnya pasir basah dek hujan menyebabkan ianya menjadi padat. Emm, tiada rezeki nampaknya. Ombaknya agak kuat, bergulung-gulung ditiup angin dan menghempas batuan di tepian pantai.
Anak-anak tidak menghiraukan semuanya itu. Bagi mereka, bermain air lebih diutamakan. Walaupun sejuk ditimpa hujan berserta tiupan angin pantai, langsung tidak diambil peduli. Sejuknya mula terasa apabila masing-masing mula diajak beredar pulang.
Di Wilson Prom sebenarnya banyak lokasi dan aktiviti yang boleh dilakukan, lebih-lebih lagi bagi yang menggemari kegiatan lasak. Banyak laluan hutan, laluan pantai dan laluan mendaki yang disediakan. Pantai-pantainya juga banyak. Apatah lagi bagi pencinta alam semulajadi. Bagi kami, semuanya tidak sempat kami terokai, memadailah kami mengenalinya sepintas lalu.
Bertolak Pulang
Pagi Ahad, kami ke Sandy Point Beach lagi. Kali ini anak-anak dibenarkan turun ke laut. Airnya sedang surut dan amat sejuk sekali. Tidak sanggup rasanya untuk berendam. Anak-anak pun lebih banyak bermain pasir di pantai sahaja.
Tengaharinya, kami bertolak pulang ke Dandenong melalui laluan pantai; Inverloch-Wonthaggi. Kami singgah di Eagle Nest Beach yang mempunyai 2 pantai yang berbeza; pasir landai dan batuan, antaranya tersergam struktur batu seakan-akan sarang helang.
Di Wonthaggi, kami berhenti makan dan solat jamak di taman bersebelahan jalan utama, seterusnya singgah seketika di Kilcunda Beach. AlhamduliLlah, kami tiba di rumah sebelum waktu Maghrib. Penatnya amat terasa, sehingga ke pagi esoknya masih lagi belum hilang.

No comments: