Monday, June 28, 2010

Merebut Pingat Tae Kwon Do

Petang semalam, bertempat di St. Mathews Primary School, Fawkner North, Melbourne telah berlangsung pertandingan tae kwon do persahabatan jemputan, OTC Friendly Competition. Sebelas kelab tae kwon do di sekitar Melbourne dengan diterajui Olympic Tae Kwon Do Centre (OTC) telah berkampung lebih 6 jam di dewan sekolah berkenaan.

Lebih seratus peserta menyertainya. Acara sparring, pattern dan board breaking antara yang dipertandingkan, menyaksikan pertarungan sengit pemegang tali pinggang kuning sehinggalah hitam, mengikut kategori masing-masing.

Izzuddin (foto sebelah : red chest guard), anak sulung kami juga turut serta mewakili OTC Dandenong Club bersama rakan-rakan “seperguruannya” di bawah kendalian Master Mohammadi.
Sebanyak 2 pusingan; awal dan akhir yang perlu dilalui oleh Iddin. Pusingan awal banyak memberi kelebihan kepadanya. Iddin menang dengan kiraan mata 6-2.

Manakala dalam pusingan akhir pula Iddin menerima tentangan sengit daripada lawannya. Masing-masing saling serang menyerang sehinggalah saat-saat terakhir kedudukan matanya terikat 3-3. Pada saat genting, masa berbaki kira-kira 6 saat lagi, Iddin beroleh peluang terbaik menambah mata melalui sepakan ke dada lawan, seterusnya kekal sehingga tamat pusingan tersebut. Iddin telah diisytiharkan menang 4-3, sekaligus merangkul pingat emas dalam kategorinya. Jelas kepuasan pada wajahnya. Tahniah Iddin.

Begitulah, jika ada kesungguhan dan semangat juang yang jitu, Insya Allah, kemenangan bakal dikecapi. Secara peribadi, saya menganggap kemenangan tersebut adalah satu anugerah dari Allah SWT kerana tidak melupaiNya. Dalam keributan pertandingan, Iddin tidak melupai kewajiban menunaikan setiap solat fardhu. Malah lebih seronok lagi dapat berimankan athlit Olimpik Australia, Burak Hasan ketika bersolat Maghrib.

Setinggi-tinggi kesyukuran kepadaNya. Dan setinggi-tinggi penghargaan pada pihak penganjur yang tidak lupa menyediakan bilik solat. Bilik kecil yang boleh memuatkan 4-6 orang untuk sekali solat. Walaupun kecil tetapi amat selesa sekali. AlhamduliLlah.

Di samping Iddin, hampir kesemua rakan-rakannya dari OTC Dandenong Club juga merangkul pingat emas, cuma beberapa orang sahaja membawa pulang pingat perak dan gangsa.

Secara keseluruhannya, pada pandangan saya, setiap sesi pertandingan dikendalikan dengan begitu lancar sekali. Tiga buah gelanggang yang disediakan sentiasa ada acara yang dilangsungkan. Penentuan lawan (match making) yang dilakukan sehari sebelumnya ternyata amat berkesan. Tidak seperti acara persembahan OTC di tempat yang sama pada tahun lepas yang amat lembab dan banyak membuang masa. Mungkin ada iktibar yang diambil.

Paparan mata secara elektronik banyak membantu samada kepada para penonton atau peserta yang sedang bertanding. Cuma makluman gelanggang mana yang akan dijalankan bagi setiap peserta tidak diketahui oleh penonton sehinggalah peserta turun ke gelanggang. Bagi yang ingin merakamkan foto/video perlu bersedia setiap masa.

Sambutan para ibu bapa berserta keluarga peserta juga amat menggalakkan. Penuh sesak ruangan penonton sehinggakan ramai yang terpaksa berdiri termasuklah diri saya sendiri. Bayangkan kira-kira 6 jam berdiri, dapat duduk pun ketika solat dan di saat-saat akhir sebelum majlis tamat.

Ikhlas, tabik hormat untuk penganjur. Kepada para peserta, kalah menang bukannya ukuran sebenar tetapi pengalaman dan pendedahan yang diperolehi itulah ganjarannya. Itulah juga ditekankan oleh Master Mohammadi kepada anak-anak muridnya ketika sesi latihan. Tahniah.

Dan tidak dilupakan, berbanyak terima kasih kepada rakan kami, Din-Gee sekeluarga di Thomastown yang kami singgahi rumahnya sebelum pertandingan. Juga tempat Laili dan anak-anak berehat sementara menunggu pertandingan tamat di sebelah malamnya. Malah dijamu pula dengan pelbagai juadah yang amat-amat-amat sedap sekali.
Terima kasih daun keladi.

1 comment:

Anonymous said...

My family every time say that I am wasting my time here at net, except I know I am
getting familiarity everyday by reading such nice articles.


http://whitetowerventures.com/?topic=simple-tips-to-discover-oriental-using-a-tuition-singapore
http://europeanairlines.fr/forums/topic/helpful-options-to-get-singapore-tuition-disclosed/

Here is my web page ... hand ball games