Wednesday, June 9, 2010

Sejuknya Di Musim Sejuk

Musim sejuk (winter) datang lagi. Bermulanya bulan Jun sehinggalah berakhirnya bulan Ogos setiap tahun, merupakan musim sejuk di Australia. Negeri-negeri di selatannya termasuklah Victoria (negeri yang kami diami sekarang) adalah antara yang terlibat secara langsung.

Sekarang ini cuaca di Melbourne (lebih tepat lagi di Dandenong) terasa amat sejuk sekali. Suhu di siang harinya antara 8 hingga 15 darjah Celcius. Berlebihan lagilah ketika malam hari, terutama menjelang terbitnya fajar di pagi hari. Apatah lagi jika bersekali dengan angin dan hujan.

Ini baru di awal musim sejuk. Lebih sejuk lagi setelah melewati pertengahan musim pada bulan Julai dan Ogos nanti.

Saya sememangnya tidak menggemari suasana sejuk terutama sejuk di musim sejuk. Juga sejuk ketika musim luruh dan musim bunga. Sejuknya tidak sama seperti rasa sejuk di tanah air mahupun sejuk dari alat pendingin udara. Sejuknya menyelirat sehingga ke tulang. Jari tangan dan kaki terasa ngilu dan kebas. Hidung pula kerap berair. Jika berada di luar rumah, kulit muka pun turut pedih dibuatnya.

Kerana sejuk, segalanya menjadi pasif. Malah nak uruskan diri ke bilik air dan tandas pun dirasakan amat membebankan.

Sesekali cahaya matahari menyinar melimpahkan habanya ke bumi, ni’matnya tidak terkira.

Syukurlah, di rumah kami dilengkapi alat pemanas berpusat. Sekurang-kurangnya haba panas yang terhasil membuatkan kami dapat bergerak lebih bebas. Namun stoking dan baju tebal masih diperlukan. Begitu juga selimut tebal ketika tidur.

Di pagi hari, alam sekitar di Dandenong ini kebiasaannya berkabus. Sejuknya sudahlah pasti. Adakalanya agak tebal sehingga membatasi pemandangan, berlanjutan sehingga ke waktu tengahari, barulah ianya menghilang.

Di kawasan pergunungan, tahap sejuknya lebih rendah. Ada ketika suhunya di bawah tahap beku. Salji pun telah beransur-ansur turun. Namun belum sesuai untuk dikunjungi. Tunggulah sebulan lagi untuk melihat kemeriahannya.

Musim sejuk pada tahun ini adalah kali ke-4 kami sekeluarga alami di Melbourne. Insya Allah kali terakhir sebelum kami berangkat pulang ke tanah air pada akhir tahun ini. Sebagaimana lazimnya, Insya Allah kesempatan bermain salji tidak akan dilepaskan. Kot-kot nanti rindu pula di kemudian hari...8)

1 comment:

myra lynn said...

salam..
saya akn pergi ke melbourne pda 27 august-6 sept 2011..saya tringin nk rse msim sjuk sbab xprnah mrasa sbelum ni..brapa suhu di melbourne pda awal bulan 9? msih berpluang ke nk tgk salji di sna?? hehe..
trima kasih