Thursday, June 24, 2010

PM Wanita Pertama Australia

Pagi ini, dalam kesugulan penyokong Australia yang terkeluar dari kelayakan pusingan kedua (round of 16) Piala Dunia, mereka dikejutkan pula dengan pertukaran Perdana Menteri Australia.
Kevin Rudd yang menerajui kerajaan sejak kemenangan besar Labor Party dalam Pilihanraya Umum pada Nov-2007 lalu terpaksa meletakkan jawatannya setelah hampir menghadapi pungutan suara menolak kepimpinannya dalam kaukus parti.

Sesuatu yang amat mengejutkan bagi Kevin. Tambahan pula kerusi panas tersebut diambil alih oleh timbalannya, Julia Gillard.

Jarak waktu 2 ½ tahun sebagai Perdana Menteri; prestasi, sikap dan pendekatan Kevin diamati penuh hemah oleh parti dan rakyat. Rupa-rupanya beliau menjadi liabiliti kepada parti dan kerajaan. Reputasinya sebagai PM menjunam jatuh dalam undian umum yang dikendalikan secara berkala oleh Newspoll. Justeru itu tindakan penyingkiran perlu diambil walaupun beliau seorang ketua parti.

Dan pada hari ini, maka tercatatlah dalam sejarah Australia, seorang wanita buat pertama kali dilantik sebagai Perdana Menteri Australia.
Julia mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Australia ke-27 di hadapan Australia Governor General (GG), Quentin Bryce pada jam 1:00 tengahari. Dan jawatan Timbalan Perdana Menteri kini bertukar tangan kepada Menteri Kewangan, Wayne Swan.
Menyedari bahawa lantikannya sebagai PM bukannya melalui pilihanraya, maka perkenan GG akan diperolehi segera untuk mengadakan pilihanraya umum dalam masa terdekat.
Amat menarik untuk direnungi dan diambil perhatian oleh rakyat Malaysia. Betapa mereka berani berubah dan mengubah demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Malah mereka juga matang dalam berpolitik. Bagaimana pula dengan rakyat dan pemimpin di negara kita... tidak kira pemerintah mahupun pembangkang?
TAHNIAH Julia Gillard. TAHNIAH Australia.

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum RnL,
USA sudah dapat president berkulit hitammya yang pertama. Australia juga sudah mendapat PM wanitanya yang pertama. Bila pula Malaysia nak dapat PM bukan Melayunya yang pertama ya? Ubah...betul-betul ubah.
Kak Wanmalaya

ropidi 'n laili said...

Waalaikum salam Kak Wan,

Segalanya ketentuan Allah SWT. Namun, usaha terletak pada manusia sendiri. Moga kita sentiasa dirahmati dan diredhai olehNya. Ameen.