Tuesday, June 22, 2010

Laporan Prestasi

Minggu ini adalah minggu terakhir persekolahan Penggal Ke-2 atau Semester 1/2010 di Victoria. Solehah dan Imran di Dandenong North Primary School (DNPS) telah pun mendapat Laporan Prestasi mereka pada akhir minggu lepas. Dan petang semalam diadakan pertemuan perseorangan antara guru-guru dan ibu bapa pelajar.

Di Malaysia, laporan seumpamanya dikeluarkan selepas setiap peperiksaan penggal diduduki. Bermaksud pencapaian pelajar bergantung kepada keputusan peperiksaan berkenaan. Malah diukurkan pula kecerdikan setiap pelajar dengan hiraki pernomboran, secara tidak langsung melahirkan kelompok rendah diri dan ‘sombong’ diri.

Berbeza di Australia, khususnya di Victoria, laporan berkala 2 kali setahun ini adalah berdasarkan kepada rekod pelajar sepanjang 6 bulan atau setahun di bawah pemerhatian/ pemantauan harian guru-guru. Ianya merangkumi subjek akademik dan juga bukan akademik. Pencapaian mereka hanya ditandakan dengan skala skor A hingga E dengan skor C adalah tahap pencapaian yang dijangkakan untuk tahun berkenaan.

Tiada peperiksaan yang perlu diambil kecuali NAPLAN yang dikendalikan setiap tahun untuk pelajar tahun ganjil (Tahun 3, 5, 7 dan 9). Itupun untuk memastikan mereka mencapai standard pendidikan kebangsaan. Sekaligus tiada hiraki kecerdikan menjadi perbandingan sesama pelajar mahupun ibu bapa. Hanya guru sahaja yang tahu sebagai pedoman mereka.

Secara umumnya, pencapaian Solehah dan Imran amat memberangsangkan, malah mendapat pujian dari guru kelas mereka. Sedikit sebanyak kekurangan masih perlu digilapkan, antaranya aspek keyakinan diri ketika di khalayak ramai.

Satu perkara yang menarik adalah galakan dan sokongan padu pihak sekolah kepada para pelajar yang cemerlang dalam bidang tertentu. Contohnya, pelajar yang pandai Matematik mengatasi tahap Tahun 4, diasuh secara berasingan untuk menguasai Matematik Tahun 5. Begitu juga jika berkemampuan dalam Pembacaan mengatasi tahap Preparatory Class, mereka berpeluang mengembangkan kelebihan mereka tersebut. Itulah yang dialami oleh Solehah dan juga Imran.

Situasi membanggakan ini bukan hanya dialami oleh mereka berdua sahaja, malah abang dan kakak mereka yang kini di sekolah menengah pun sama, sentiasa mendapat penghargaan dari pihak sekolah sejak di sekolah rendah lagi.

Tahniah Imran, Solehah, Hanisah dan Izzuddin. Kalian semua sememangnya hebat. Moga kecemerlangan terus dicapai, samada di bumi kangaroo ini mahupun setelah bertapak kembali di tanah air nanti.

Ya Allah permudahkanlah segala usaha mereka, berjaya di dunia dan juga di akhirat. Ameen.

2 comments:

Anonymous said...

congrats.

korang seme memang hebat.
mak tam proud of you all

ropidi 'n laili said...

terima kasih mak tam..

zahra apa kabor, makin tembam ke? rindulah nak jumpa zahra...