Sunday, April 5, 2015

Menjengah Sejarah Tentera Darat

Sekembalinya dari Sahom Farm Retreat di Perak, kami bergegas pula ke Port Dickson. Nur Solehah ada Bengkel IGCSE selama 2 hari 1 malam (17/03 - 18/03/2015) di Hotel Seri Malaysia. Sesi bengkel ini diusahakan oleh Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) MRSM Kota Putera, Besut, Terengganu khusus untuk para pelajar Tingkatan 3 dan 4 yang mengikuti pengajian IGCSE di MRSM sebagai sumber perkongsian ilmu dan motivasi diri. Bukan sahaja untuk para pelajar tetapi juga ibu bapa. Sambutan yang amat menggalakkan. Matlamatnya hanya sekitar 30 orang pelajar sahaja tetapi dihadiri kira-kira 115 orang pelajar. TAHNIAH KSIB...!

Era Tentera Darat Hari Ini
Seusai pendaftaran di Seri Malaysia pada petang 17/03/2015 (Selasa), berdua dengan Imran, kami bersolat jamak Zohor-Asar di Masjid Muhammad Al-Fateh, Depot RAMD, PUSASDA, Kem Si Rusa.

Seterusnya kami masuk ke Muzium Tentera Darat yang terletak berhampiran dengannya. Sebenarnya setiap kali turun ke Port Dickson, kami sentiasa menyimpan hajat untuk ke muzium ini. AlhamduliLLAH akhirnya tertunai juga.

Apabila disebut tentera, pasti akan terimbas dalam diri betapa besarnya jasa dan pengorbanan para anggota tentera terutama tentera darat hingga sanggup mempertaruhkan nyawa demi keselamatan dan keamanan bagi negara tercinta. Al Fatihah kepada mereka yang telahpun pergi mendahului kita. Moga perjuangan kalian diberkati dan dianugerahi pahala syahid di sisi ALLAH SWT. Ameen.

Sememangnya tika melewati persekitaran Kem Si Rusa, kita telahpun dapat merasai aura tentera darat. Sesuai jolokan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat. Apatah lagi memasuki kawasan muzium. Kapal terbang pejuang, kereta perisai, lokomotif, meriam dan seumpamanya menyambut kehadiran pengunjung seawal pintu masuk lagi.

Bergaya dengan senapang Era Penjajahan Jepun
Untuk masuk ke Muzium Tentera Darat, tiada sebarang bayaran dikenakan tetapi sumbangan ikhlas amatlah dialu-alukan dengan memasukkannya ke dalam beberapa tabung yang disediakan di kebanyakan lokasi di dalam muzium.

Muzium Tentera Darat terdiri daripada beberapa bahagian, bermula dengan Era Kesultanan Melaka, diikuti Era Penjajahan Portugis, Belanda, British dan Jepun, Era Penubuhan Askar Melayu, Era Pra Kemerdekaan, Era Kemerdekaan hinggalah kepada Era Tentera Darat Hari Ini.

Bagi setiap era ini dipamerkan setiap artifak asal dan replika berserta penerangan bagi setiap peristiwa dan tinggalan sejarah. Bagi kami terutama Imran yang amat berminat dengan elemen sejarah, segalanya amat menarik hati. Banyak ilmu pengetahuan yang dapat dihadamkan bagi mengenang sejarah negara sehingga terbentuk negara merdeka seperti hari ini.

Sebahagian foto di muzium terdapat di Album Foto Kami (Jalan2 @ Muzium Tentera Darat) atau klik di sini untuk capaian terus ke album berkenaan.

Di hadapan poster Pasukan 25 Melayu Pertama
Bagi kami, Era Penubuhan Askar Melayu adalah paling menarik sekali. Pasukan Sukarela Melayu yang ditubuhkan pada 1902 merupakan pasukan Askar Melayu pertama yang ditubuhkan.

Atas gesaan sebilangan pembesar Melayu ke atas pemerintah British, Skuad Percubaan yang dianggotai 25 pemuda Melayu telah ditubuhkan pada 1 Mac 1933 di Depot Port Dickson. Inilah permulaan kepada pembentukan Regimen Askar Melayu.

Bergerak dari satu era ke satu era berikutnya dengan naik turun 2 bangunan 2 tingkat bagaikan tidak terasa penatnya. Penghujung penjelajahan sejarah kami adalah memasuki replika terowong bawah tanah Parti Komunis Malaya (PKM) sejauh 142 meter di mana pintu masuknya di Blok B dan pintu keluarnya samada di Kampung Hutan atau berhampiran Pesawat Caribou.

Segmen Barangan Rampasan PKM
Di sepanjang terowong, dipamerkan pelbagai artifak tinggalan PKM berserta penerangan melalui panel sejarah perjuangan anggota tentera darat menentang komunis. Para pengunjung juga dapat melihat sendiri beberapa segmen dalaman, antaranya Segmen Barangan Rampasan, Bilik Bedah, Tempat Tidur dan Bilik Mesyuarat.

Tidak disangka-sangka, kami adalah pengunjung terakhir. Melangkah keluar dari terowong, pintu pagarnya terus dikunci. Melihat jam, masa telah pun melewati pukul 5:10 petang. Rupa-rupanya Muzium Tentera Darat dibuka dari jam 10:00 pagi - 5:00 petang. Khabarnya ditutup pada hari Isnin dan Selasa. Peliknya kami datang pada hari Selasa tetapi buka pula. Mungkin cuti sekolah kot.

Apa-apa pun, terlepas sudah hajat kami yang telah lama terpendam untuk menjengah masuk ke Muzium Tentera Darat. Selepas ini jika berkunjung ke Port Dickson, bolehlah kami singgah pula di Muzium RAMD (tidak jauh daripadanya) atau ke Muzium Lukut.

Thursday, March 26, 2015

Foto Hari Keluarga @ Sahom Farm

AlhamduliLLAH, sebahagian kecil foto ahli keluarga Hj. Tauhid-Hjh Azizah di Sahom Farm Retreat kini terdapat di Album Foto Kami di sebelah kiri laman ini dengan tajuk Santai @ Sahom Farm. Anda juga boleh klik di sini untuk terus ke album berkenaan. 

MAAF... tidak banyak foto keluarga yang dapat dipaparkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan terutama  melibatkan kaum hawa di kolam mandi. Harap maklum. 

Wednesday, March 25, 2015

Hari Keluarga @ Sahom Farm Retreat

Anak-anak abah (Hj Tauhid) dan emak (Hjh Azizah) bilangannya 7 orang dan kesemuanya telahpun berumahtangga. Dihitung kira anak, menantu dan cucu terjumlah 30 orang.

Oleh kerana hampir semuanya tinggal berdekatan, maka kekerapan bersua-muka adalah perkara biasa. Adakalanya berkenduri di rumah abah-emak di Ulu Kelang, makan malam di luar atau pun berkumpul di kampung asal abah-emak di Kg Bukit Bangkong, Sepang.

Sebahagian ahli keluarga Hj. Tauhid-Hjh. Azizah

Sesekali apabila berkesempatan, kami mengadakan Hari Keluarga Eksklusif di sesuatu lokasi tertentu di mana setiap ahli keluarga dapat berkumpul dalam 2 atau 3 hari. Tiga tahun yang lepas, kami telahpun berkumpul di Trata' Leka, Muar. Untuk kali ini, pada tanggal 14/3 - 16/3/2015, kami telah memilih Sahom Farm Retreat di Kg. Sahom, Sungai Siput Selatan, Perak.

Cuma terasa sedikit kekurangan kerana 3 orang ahli keluarga tidak dapat turut serta dek terikat dengan kerja iaitu Redzuan dan Hakim. Manakala anak kami, Izzuddin pula kini di perantauan.

Perjalanan dari Ulu Kelang merentasi DUKE dan PLUS adakalanya tersangkut dek kesesakan jalan. Sesuatu yang telah dijangka, natijah berjalan di awal cuti persekolahan Semester 1/2015.

[Inshaa ALLAH, sebahagian koleksi foto akan dimuat turun jika berkesempatan dan situasi capaian internet mengizinkan]


Sahom Farm Retreat

Sekadar makluman - Sahom Farm dengan keluasan 50 ekar adalah milik persendirian (keluarga). Asalnya sebuah ladang kelapa sawit, kini turut diusahakan chalet penginapan, dusun durian, kolam memancing, penternakan lembu, kambing, rusa dan haiwan eksotik.

Pandangan sisi Kg. Tepian Sungai dari kolam mandi
Terdapat 2 tempat penginapan di Sahom Farm; dikenali sebagai Kg. Warisan dan Kg. Tepian Sungai. Kg. Warisan terletak di tapak seluas 2 ekar dengan sebuah chalet utama serta 4 bilik chalet berkembar, kolam mandi, dewan serbaguna, ruang memasak dan makan serta padang.

Manakala Kg. Tepian Sungai pula terletak bersebelahan sungai cetek berbatu meliputi keluasan tapak 4 ekar berserta kemudahan sebuah chalet utama, 4 bilik berkembar, ruang memasak dan makan, kolam mandi dan padang.

Untuk kedua-dua penginapan ini, kadar sewaannya sama sahaja iaitu RM 800/malam. Umumnya kedua-duanya amat sesuai untuk percutian/ aktiviti keluarga atau organisasi.

Untuk Hari Keluarga ini, kami memilih Kg. Tepian Sungai kerana mempunyai kelebihan sungai di sebelahnya. Persekitarannya juga amat menarik dan tenang sekali dengan pepohonan renek, kolam ikan, air terjun buatan, ruangan memasak dan ruang makan menghadap sungai dan berlatar belakang kehijauan hutan dan gunung.

Syukur AlhamduliLLAH. Terima kasih kepada Adinda Eusni Rahayu dan Mohd Fahimey yang mengusahakan percutian keluarga di Sahom Farm Retreat ini. Walaupun sedikit menjauh daripada Lembah Kelang tetapi amat menyeronokkan.

Ceria Bersama

Sama-sama berseronok di kolam mandi
Selama berada di Sahom Farm, anak-anaklah yang paling teruja. Tempat mandian terutama kolam mandi sentiasa ada yang masuk berendam. Si kecil Zahin berusia 2 tahun, Airis dan Wafi (4 tahun) bertemankan kakak-kakak dan abang-abang tidak lekang dari pakaian mandi di badan.

Ada ketikanya ibu ayah serta atuk nenek pun turut serta. Malah waktu melewati tengah malam pun masih ada yang terjun ke kolam. Itulah anak-anak remaja perempuan yang belum berkesempatan berendam di siang hari.

Bagi memeriahkan percutian keluarga, maka diadakan juga acara sukaneka ringkas untuk anak-anak serta 'explore race' bagi mendedahkan anak-anak dengan persekitaran ladang dan suasana perkampungan. Secara tidak langsung banyak perkara yang boleh diamati dan dipelajari lebih-lebih lagi bagi mereka yang membesar di persekitaran bandar.

Bersama hadiah dimenangi (semua dapat...;)
Di samping berseronok, tidak dilupakan sesi pengisian rohani dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Atuk Tauhid setiap kali selepas solat jamak Maghrib-Isyak dan sementara menanti Syuruk di waktu pagi.

Soal makan minum tiada masalah. Masing-masing pakar dalam masak memasak. Apatah lagi yang simple. Hinggakan atuk pun turut sama mempamerkan kemahirannya tersendiri. Yang pasti bakar membakar (BBQ) tidak dilupakan. Kambing, ayam dan sosej antara yang menu utamanya.

Menjelang tengahari pada hari ketiga (Isnin), masing-masing bertolak pulang menuju destinasi pilihan sendiri. AlhamduliLLAH perjalanan lancar tanpa sebarang kesulitan. Tiba di rumah barulah terasa betapa penatnya penangan bercuti.

Tuesday, March 17, 2015

Pengantin Baru


Rasanya tidak terlambat untuk dilafazkan rasa syukur ke hadrat ILLAHI serta diucapkan TAHNIAH dan SELAMAT PENGANTIN BARU kepada 2 pasangan adinda kami : Nasrul Hakim- Nur Syuhada dan Mohd Lutfi-Rosbaizura yang selamat disatukan dalam jarak sebulan lalu. 

Di saat masyarakat Cina sibuk dengan sambutan Tahun Baru, kami berserta ahli keluarga Ulu Kelang mengharungi kesesakan melampau menuju ke Pasir Mas, Kelantan. Perjalanan lebih 12 jam benar-benar menguji kesabaran kami walaupun berkesempatan melalui LPT2 yang baru dibuka, jajaran dari Jabor terus ke Gemuruh/ Kuala Terengganu.

Hakim dan Syuhada
AlhamduliLlah, pasangan Akim dan Ada selamat diijabkabul menjelang tengahari tanggal 21/02/2015 dan majlis kenduri diadakan selepasnya. Seterusnya majlis sambut menantu dilakukan pada 07/03/2015 lalu di Ulu Kelang. 

Manakala bagi pasangan Lutfi-Baizura, majlis akad nikah telah dilangsungkan pada pagi 27/02/2015 lalu di Sanglang, Perlis, diikuti majlis kenduri pada hari yang sama. Majlis kesyukuran di Kuala Terengganu pula telah diadakan secara sederhana pada 08/03.2015 lalu, sehari selepas majlis kenduri di Ulu Kelang. 

Sekali lagi, sekalung TAHNIAH dan SYUKUR atas anugerah yang dikurniakan ALLAH SWT. Moga bahagia selamanya sehinggalah bersama di Jannah. Ameen.

Monday, February 23, 2015

Maafkan Saya

Telah lebih sepurnama laman ini tiada sebarang khabar berita. Entri terakhir bertarikh 9 Januari. Hari ini dah pun 23 Februari. Sememangnya banyak perkara yang ingin dikongsikan atau diluahkan tetapi keadaan tidak mengizinkan. 

Sebenarnya... sambungan talian internet di rumah kami agak tidak menentu. Jika dapat sambungan pun hanya sekali sekala sahaja termasuk pada kali ini. Tak pasti apa puncanya. Yang pasti, di rumah kami yang ramai penguninya ini terdapat pelbagai gajet yang bersambungan terus dengan internet. Mungkin kerana itu notebook kami yang 'baik hati' ini sering 'mengalah' dalam perebutan tersebut.

Setulus hati, mohon dimaafkan. Inshaa ALLAH... laman ini akan terus kekal dan akan dikemaskini apabila ada kesempatan. 

Terima kasih atas sokongan dan kunjungan semua.

Friday, January 9, 2015

Jalan2 @ Muzium Negara


Di awal cuti persekolahan akhir tahun 2014 baru-baru ini, anak-anak telah dibawa berkunjung ke Muzium Negara. Memenuhi perancangan yang telah lama dibuat. 

Paling teruja adalah Imran yang baru mengenal hakikat sejarah secara formal melalui subjek Sejarah yang baru dipelajarinya di Tahun 4. Dengan ditemani oleh kakak-kakaknya, Hanisah dan Solehah, kami bertolak awal ke tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Muzium Negara dibuka setiap hari dari jam 9:00 pagi hingga 6:00 petang. Bayaran masuknya hanya RM 2.00 untuk dewasa dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas. Percuma bagi pelajar sekolah yang berpakaian seragam.

Kami tiba di muzium sekitar jam 9:15 pagi. Masih banyak ruang untuk parkir. Itulah tujuan kami datang awal. Paling utama kami mempunyai masa yang lebih panjang untuk menerokai setiap galeri dan menghayati nilai sejarah dari bahan-bahan yang dipamerkan. Matlamat kami dapat menghabiskan kesemua galeri sebelum masuk waktu Zohor, sekitar 3 jam.

Sebahagian foto di Muzium Negara terdapat di Album Foto Kami di kiri laman atau klik di sini untuk terus ke album.

4 Galeri Dalam 1 Bangunan

Penerokaan sejarah pertama kami adalah ke bangunan utama yang menempatkan 4 galeri – Galeri Sejarah Awal dan Galeri Kerajaan-Kerajaan Melayu di Tingkat 1 serta Galeri Era Kolonial dan Galeri Malaysia Kini di Tingkat 2.

Rangka Perak Man
Secara umumnya, Galeri Sejarah Awal memaparkan perubahan bentuk muka bumi dan asal usul masyarakat awal di Malaysia. Bermula daripada penemuan alatan batu Zaman Paleolitik (200,000 tahun lalu) di Kota Tampan, diikuti Zaman Epi-Paleolitik dan Neolitik sehinggalah kesan-kesan peninggalan candi Buddha-Hindu di Lembah Bujang. 

Begitu juga dengan penemuan rangka Perak Man berusia sekitar 10,000 tahun lalu di Lenggong, Perak dan rangka kanak-kanak di Gua Cha, Kelantan dianggarkan bertarikh lebih 5,000 tahun lalu.

Manakala Galeri Kerajaan-Kerajaan Melayu menyorot kewujudannya di Nusantara terutama di Tanah Melayu termasuk Kerajaan Melayu Melaka di abad ke-15. Banyak koleksi menarik di sini, antaranya pintu istana Kerajaan Setul (selatan Thailand), mural Hang Tuah, batu nesan Sultan Mansor Shah, Al Quran tulisan tangan dan pelbagai barangan tembaga, perhiasan dan senjata lama.

Di Galeri Era Kolonial pula - sesuai dengan namanya – menyingkap sejarah penguasaan penjajah ke atas Tanah Melayu seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun. Koleksi utama yang dipamerkan antaranya meriam, basikal Jepun, model kapal korek, model lanca dan ufti emas.

Berlatarkan mural Hang Tuah
Galeri Malaysia Kini menyelusuri sejarah perjuangan kemerdekaan dan pembentukan negara, merangkumi proses pendidikan, pembangunan dan pentadbiran. Dipaparkan juga kebebasan rakyat berbilang bangsa, agama, adat dan budaya mengamalkannya dengan penuh harmoni. 

Tanpa diduga, Imran memberikan tumpuan sepenuhnya. Setiap exhibit diperhatikan penuh minat dan setiap penerangan panjang lebar dibacanya tanpa jemu. Segala-galanya menarik hati dan menimbulkan rasa ingin tahunya. 

Kami berhenti rehat untuk solat Zohor dan makan tengahari di Kafeteria Muzium yang mewah sekali pilihan lauk-pauknya. Nampaknya masa 3 jam tidak dapat dipenuhi kerana masih ada 3 muzium lagi yang perlu kami lawati. Tak mengapalah, asalkan mereka gembira, terutama Imran.

Pameran Evolusi Senjata

Slot lawatan seterusnya adalah ke pameran khas – Pameran Evolusi Senjata dan Kemanusiaan Sejagat yang terletak di ruang pameran di hadapan bangunan utama. Bayaran masuknya RM 5.00 untuk dewasa dan RM3.00 untuk kanak-kanak dan percuma bagi yang berumur bawah 12 tahun.

Kami jangkakan bahan pamerannya tidaklah sebanyak seperti sebelumnya. Nyata tekaan kami meleset. Pengkisahannya bermula dari Zaman Paleolitik sehinggalah ke dunia moden kini termasuk Perang Dunia I, II dan III. Pelbagai jenis senjata lama dan baru dipamerkan samada dalam bentuk replika mahupun asal. Pelbagai peristiwa dan fakta dipaparkan bersilih ganti dengan bahan pameran.

Diabadikan juga replika pedang-pedang RasuluLLAH SAW dan para sahabat baginda. Paling banyak adalah senjata-senjata tajam seperti keris, pedang, badik, kerewang, tombak dan bermacam jenis lagi dari seluruh pelusuk dunia. 

Di ruang pameran ini sahaja kami mengambil masa sehingga sejam setengah sehingga ke penamatnya. Itupun setelah meminta jasa baik Imran agar dapat mengubah cara penelitiannya dari membaca setiap butiran penerangan kepada membaca sekadar mengambil tahu kecuali yang benar-benar menarik. Masalahnya, bagi Imran semuanya menarik. Sedih juga melihatnya kecewa tetapi terpaksa kerana masa semakin suntuk sedangkan Muzium Ethnologi Dunia Melayu dan Muzium Seni Kraf Orang Asli belum lagi diterokai.

Muzium Dunia Melayu dan Muzium Orang Asli

Rupa-rupanya kedua-dua muzium ini tidaklah besar sangat. Tidak banyak masa diambil. Sekitar 45 minit, semuanya habis dijelajahi. Imran pula tidaklah memberi perhatian yang berlebihan, cukup sekadar ambil tahu kecuali ada yang menarik perhatiannya.

Di ruangan Dunia Pelayaran
Ringkasnya, Muzium Dunia Melayu telah dibuka pada Mac 2002. Fokusnya lebih kepada kepelbagaian masyarakat dan budaya Melayu yang diserlahkan melalui pelbagai tinggalan warisan seperti seni tradisi, pakaian, perhiasan, peralatan, senjata, permainan dan sebagainya.

Manakala Muzium Seni Kraf pula memaparkan warisan kraf Orang Asli di Malaysia terutamanya suku Mah Meri. Ianya menggambarkan cara hidup, budaya, kepercayaan, lagenda dan juga seni ukir yang membawa maksud yang tersendiri.

AlhamduliLLAH, kami sempat menamatkan penjelajahan kami merentas masa ke zaman silam, seterusnya berada di masa kini sebelum jam 4:00 petang. Bermakna lebih 6 jam kami berada di Muzium Negara. Penat memang memenatkan tetapi yang penting adalah kepuasan.

Tuesday, January 6, 2015

Banjir : Hikmah Di sebalik Musibah

Kami percaya, di sebalik setiap ketentuan ILLAHI, baik ataupun buruk; ada hikmahnya. 

Hikmah mahu pun ibrah adalah subjektif, bergantung kepada seseorang individu tersendiri. Cara mana kita menerima atau menolaknya berkait rapat dengan tahap keimanan dan ketaqwaan kita kepada ALLAH SWT.

Itulah yang ditekankan oleh tok-tok guru apabila menyentuh bab aqidah/ tauhid.

Manek Urai Dalam Sejarah
Kita baru sahaja digemparkan dengan air bah atau banjir besar di beberapa negeri di Pantai Timur khususnya di Kelantan. Beberapa jajahan atau kawasan teruk dilanda terutama di Gua Musang dan Manek Urai. Dikatakan banjir kali ini lebih besar daripada banjir yang berlaku pada tahun 1926 dan 1967. 

Betapa besar kekuasaan ALLAH SWT melalui tenteraNYA yang bernama AIR – asalnya lembut sahaja tetapi menjadi keras (bencana) apabila diperintahkanNYA. 

Ratusan mangsa banjir terpaksa berpindah segera kerana airnya naik begitu cepat sekali. Ramai yang terperangkap di bumbung-bumbung rumah, masjid-masjid dan juga di bukit-bukit. Hubungan dengan dunia luar terputus sehingga ada yang menderita kerana lambat mendapat bantuan terutama makanan, minuman dan kelengkapan diri. 

Dari paparan di pelbagai media massa, jelas dapat dilihat kesan dari banjir besar berkenaan. Longgokan lumpur berada di mana-mana. Segala-galanya tunggang terbalik ibarat peristiwa tsunami yang pernah melanda 10 tahun lalu.
Kesan tinggalan banjir

Lebih menyayat hati, ramai yang kehilangan rumah samada hanyut dibawa air ataupun roboh menyembah bumi. Yang tinggal hanyalah tangga batu dan tapak rumah sahaja bersama beberapa batang tiang tonggak. Kawasan pertanian ranap, haiwan ternakan hilang entah ke mana, bahan niaga rosak dan bermacam kesengsaraan yang terpaksa dihadapi. 

Di sebalik musibah teruk yang melanda ini, kami amat tersentuh dengan penerimaan sebahagian besar mangsa banjir ini. Mereka redha dan pasrah kepada ALLAH SWT atas ketentuan ini. SubhanaLLAH... itulah nilai keimanan yang tinggi walaupun dikenakan ujian dan dugaan yang amat hebat. Mereka masih mampu bersyukur kepadaNYA. 

Di samping itu, sikap keprihatinan masyarakat begitu tinggi. Pelbagai sumber bantuan dihulurkan dan diusahakan agar sampai kepada setiap  mangsa banjir. Begitu juga selepas banjir atau dipanggil pasca banjir. Bantuan masih diteruskan termasuk kerjassama membersih rumah para penduduk, bangunan awam dan sebagainya. 

Inilah nilai kemanusiaan masyarakat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama dan ideologi amat suka saling bantu membantu. Semangat kenegaraan dan bertoleransi yang sewajarnya disebatikan di jiwa setiap rakyat Malaysia bagi mengelak daripada berlakunya persengketaan kaum dan agama. Tunjangnya adalah keikhlasan.

Saling Bantu Membantu
Namun kita perlu juga bermuhasabah dan berfikir secara rasional. Lebih-lebih lagi bagi seorang Muslim yang mengaku beriman kepada Yang Maha Berkuasa. 

Kenapa ALLAH SWT menurunkan musibah banjir ini? Tentu sahaja ada pengajarannya. Inilah yang perlu difikir dan direnungi dengan sewajarnya. Ini kerana setiap yang berlaku itu bukanlah sia-sia tetapi ada sebab musababnya. Bukan sahaja kepada mangsa yang terlibat tetapi juga para pemerhati, terlebih lagilah kepada para pemimpin dan penguatkuasa. 

Di sinilah kita perlu kembali kepada segala peringatan yang telah ALLAH SWT nukilkan dalam al-Quran dan juga melalui sabda kekasihNYA, Muhammad SAW. Moga daripadanya kita beroleh jawapan. Dan kita semua tergolong di kalangan hamba-hambaNYA yang dirahmati. Ameen.

Sekilas lintasan di hati kami, mungkinkah ini caranya ALLAH SWT ingin membersihkan bumi Malaysia yang ‘kotor’ dengan pelbagai noda dan dosa? Allahu a'lam.