AlhamduliLLAH, setinggi-tinggi kesyukuran kerana dipertemukan dengan Ramadhan pada tahun ini.
Dalam mengimarahkan Ramadhan dengan pelbagai amal kebaikan dan kebajikan, usah kita lupa untuk menambah ilmu di dada.
Sabda RasuluLLAH SAW mafhumnya "Menuntut ilmu itu adalah satu kewajiban ke atas setiap muslim (lelaki dan perempuan)" (Riwayat Ibn Majah). Para ulama menekankan kewajiban ini, yakni fardhu ain atas ilmu agama.
Sabda Baginda SAW lagi, "Barangsiapa yang menempuh satu jalan bagi mencari ilmu, maka ALLAH SWT akan memudahkan baginya jalan menuju syurga" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jadi di mana-mana kesempatan yang ada, marilah kita berusaha untuk menghadirkan diri untuk mengunjungi majlis-majlis ilmu di mana-mana sahaja diadakan. Beruntunglah mereka yang dapat hadir ke majlis-majlis ilmu kerana RasuluLLAH SAW mengibaratkannya sebagai taman-taman syurga. Malah diriwayatkan para malaikat juga duduk di majlis-majlis tersebut sambil memohon rahmat dan keampunan kepada hadirin lain. Tidak mahukah kita?
Bagi yang tinggal di sekitar Hulu Kelang, Selangor, terdapat banyak majlis-majlis ilmu diadakan setiap hari dan malam di sepanjang Ramadhan ini. Salah satunya di Masjid al-Ridhuan yang terkenal dengan kepadatan agenda keagamaannya.
(klik untuk besarkan) |
Setiap hari diadakan Kuliah Zohor, Kuliah Asar dan Tazkirah Tarawikh. Umumnya Solat Sunat Tarawikh dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan matlamat 1 malam 1 juz Al-Quran.
Pada hujung minggu pula dimulai dengan Qiamulail, Kuliah Subuh Perdana, Kuliah Dhuha 1 & 2, Kuliah Zohor dan Asar, Ceramah Perdana selepas Solat Tarawikh 8 rakaat. Para jemaah juga digalakkan untuk bermalam dan beriktikaf di masjid terutama pada malam program Qiamulail dan juga 10 malam terakhir Ramadhan. Juadah bersahur disediakan.
Untuk makluman lebih lanjut terutama tarikh program dan penceramah berkaitan, silalah berkunjung ke FB Masjid al-Ridhuan.
Bersama kita memeriahkan majlis-majlis ilmu kerana dengan ilmulah kita dapat beramal menurut apa yang telah diajarkan oleh RasuluLLAH SAW. Malah dengan ilmu juga darjat kita di sisi ALLAH SWT ditingkatkan. Moga kehidupan kita sentiasa di berkati di dunia, terlebih lagilah di akhirat. Aameen.
No comments:
Post a Comment