Thursday, July 30, 2015

Dua Alumni Beraya @ Bkt Bangkong

Persahabatan terhasil dari keikhlasan hati dalam berkawan. Keakrabannya melangkaui sempadan negeri/ negara. Malah kesibukan kerjaya dan keluarga bukanlah penghalang. Apatah lagi dengan hadirnya teknologi komunikasi di hujung jari. Segalanya dirasakan amat dekat dan terlebih akrab lagi. 

 
Geng MRSMKB'84
Namun... jika ada peluang untuk bersua, pasti diusahakan sepenuh daya. Itulah yang berlaku di penghujung minggu baru-baru ini.

Bertempat di Laman Atuk Leman @ Kg. Bukit Bangkong, Sepang - tidak jauh dari hub pelancongan Bagan Lalang - dua kumpulan alumni yang rapat dengan Laili: rakan-rakan perempuan MRSMKB SPM'84 dan bekas warga Kg. Dandy (Dandenong), Australia berserta keluarga menyahut jemputan bertandang ke kampung kelahiran Laili.

Di samping dihadiri oleh rakan taulan, saudara mara dan jiran tetangga turut sama turun memeriahkan sambutan. Sebenarnya ramai lagi yang ingin turut serta tetapi tidak berkesempatan, lebih-lebih lagi kekangan di musim perayaan.

Sekitar jam 10:00 pagi, hujan turun agak lebat. Khuatir jika berterusan sehingga ke tengahari. Kot-kot ada tetamu yang terpaksa mengubah haluan perjalanan. AlhamduliLLAH para tamu tiba juga sambil berpayungan turun dari kenderaan. 

Geng Kg. Dandy, Australia bersama keluarga


Syukurlah ada 2 khemah besar - malamnya telah berlangsung majlis aqiqah anak sepupu Laili - dapatlah dijadikan tempat berteduh sambil menjamu selera. Sate dan cendol adalah menu utama, di samping meehoon goreng dan nasi goreng serta lemang dan laksa Johor yang dibawa oleh rakan-rakan (Terima kasih). Hujan tak lama, akhirnya reda juga. AlhamduliLLAH.

Hujan panas sanggup diredah,
Demi penuhi jemputan ziarah.
Itulah nilaian ikatan ukhuwah,
Bersemi mekar bagaikan baiah.

Seronoknya hati tidak terkira,
Lama benar tidak berjumpa,
Riuh rendah gelak ketawa,
Kenangan silam bualan utama.

Juadah dijamu tanpa jemu,
Terubat rindu bersarang di kalbu.

Emak dan Abah pun tumpang gembira. Hampir semua tetamu yang datang dikenalinya. Rakan-rakan MRSMKB sudah biasa bertandang ke rumah - sejak zaman persekolahan dulu hingga kini. Manakala rakan-rakan Kg. Dandy pun biasa ditemui ketika Emak-Abah berkunjung ke Dandenong.

Sebelum beranjak pulang, mereka sempat dibawa memetik rambutan dan pulasan sebagai buah tangan. Bukan sekadar dapat makan buahnya, paling teruja apabila dapat mencapai buahnya, lalu dipatahkan rantingnya. Sebahagiannya pula dicangkuk dengan galah bercangkuk besi/sabit dan berguguran buah jatuh ke tanah. Bagi 'orang bandar', pasti ianya satu pengalaman yang amat berharga.

Bagi sebahagian ex-warga Kg. Dandy, kunjungan mereka tidak terhenti di Kg. Bukit Bangkong sahaja tetapi berarak pula ke Mantin, Negeri Sembilan - rumah Dr. Zain-Saliza, seterusnya ke rumah Dr. Zainah-Huzaizi di Precint 11, Putrajaya.

Berbanyak-banyak terima kasih kepada para tetamu yang hadir. Walaupun lokasinya agak asing bagi mereka tetapi berbekalkan semangat setiakawan dan persahabatan, segalanya dapat diatasi dengan jayanya. Ada baiknya, sekurang-kurangnya dapat lari dari persekitaran tegang di perbandaran ke persekitaran tenang di pendalaman.

Inshaa ALLAH ketemu lagi di lain kesempatan.

Sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini untuk capaian terus ke album.

No comments: