Dah lama saya tidak menulis. Ada sahaja halangannya. AlhamduliLLAH kali ini dikurniakan kesempatan.
Dah seminggu Ramadhan dilalui. Terasa begitu cepat masa berlalu. Namun rasanya tidak terlambat untuk kami sekeluarga untuk turut sama mengucapkan Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan Kareem untuk semua rakan penjenguk Salam Monash.
Bersyukur kehadrat ILLAHI yang telah memakbulkan doa kita agar dipertemukan dengan Ramadhan pada tahun ini.
Marilah kita sama-sama memuhasabah diri - selama seminggu ini, setakat manakah nilaian ibadah yang telah kita laksanakan bagi mengimarahkan Ramadhan yang penuh barakah ini.
Sebagai hamba ALLAH SWT dan umat Nabi Muhammad SAW, sudah pasti kita amat yakin dengan setiap firman ALLAH SWT dan sabdaan Baginda SAW. Terlalu banyak anugerah ILLAHI di bulan nan mulia ini. Setiap amal kebaikan diberikan gandaan pahala yang amat lumayan melebihi amalan di bulan lain, doa-doa amat mustajab, para syaitan dibelenggu, pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan banyak lagi. Tidak kira di siang hari, apatah lagi di malam hari... setiap detik dikira ibadah selagi menurut syariaatNYA.
Paling utama adalah Lailatul Qadar yang didatangkan pada 10 malam terakhir Ramadhan di mana fadhilat amalnya melebihi 1000 bulan. Anugerah yang tidak terhingga, menyamai 83 tahun 4 bulan. Tidak terliurkah kita dengannya? Ya ALLAH, permudahkanlah daku bagi meraih anugerahMU. Aameen.
Sebagai pencerahan, ramai yang bertanya, bolehlah kami memperolehinya? Dijawab oleh para ulama, semua orang pasti memperolehinya mengikut tahap amal yang dilakukannya pada malam tersebut. Yang penting, jangan memilih-milih malam tertentu sahaja untuk beramal. Selama 10 malam tersebut, laksanakanlah yang terbaik kerana Lailatul Qadar itu sepanjang malam. Insya ALLAH kita akan berjaya memperolehinya.
Oleh kerana ALLAH SWT amat sayangkan hamba-hambaNYA, maka dikurniakan Lailatul Qadar pada suatu malam dari 10 malam terakhir Ramadhan. Bermaksud, pergunakanlah 20 malam terawal untuk melatih diri untuk beramal dengan sebaik mungkin serta mengatur jadual harian agar dapat berdiri lebih lama di waktu malam. Itulah latihan bagi menyucikan hati dan menguatkan fizikal semata-mata kerana mengharapkan redha ILLAHI.
Inshaa ALLAH, marilah kita berusaha untuk menjadikan Ramadhan tahun ini sebagai yang terbaik untuk diri kita. Bermula dari mencelikkan mata di awal pagi sehingga memejamkan mata di lewat malam. Kita tidak pasti apakah Ramadhan tahun hadapan dapat kita temui lagi.
Selamat Mengimarahkan Ramadhan.
No comments:
Post a Comment