Wednesday, January 23, 2013

Salam Maulidur Rasul

Bulan Rabi'ul Awal tiba lagi. Inilah bulan kelahiran junjungan tercinta, Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan sirah Nabawiyyah, RasuluLlah SAW telah dilahirkan pada 12 Rabi'ul Awal tahun gajah - tahun di mana tentera bergajah Abrahah telah datang menyerang Makkah demi merobohkan Kaabah. Namun kekuasaan Allah SWT mengatasi segala perancangan jahat musuh-musuhNya. Insafilah, begitu juga dengan kehidupan seharian kita, segalanya di bawah ketentuan dan kekuasaan Allah SWT. Maka selayaknya kita beriman kepadaNya.

Pada tahun 2013 Masihi ini, ulang tahun kelahiran baginda SAW jatuh pada hari Khamis, 24 Januari, 2013. Lazimnya budaya sambutan di Malaysia dilakukan dalam 3 situasi yakni perarakan, persembahan dan ceramah. Tidak kiralah samada di peringkat kebangsaan mahu pun di sekitar taman perumahan dan sekolah. Demikianlah caranya sesetengah daripada kita dalam mengingati saat-saat kelahiran RasuluLlah SAW. Moga tercapai apa yang dihajati.

Cuma apa yang ingin ditekan di sini adalah dari sudut penghayatan. 

Apakah cukup sekadar berarak ke sana sini dengan laungan selawat bergema hebat atau terhibur dengan alunan nasyid, marhaban dan berzanji? Demikian juga dengan butiran bicara yang enak mengisi halwa telinga? Bagaimana kesannya selepas itu....? Apakah rasa cinta dan sayang kepada RasuluLlah SAW bertambah mekar di jiwa dan kita sentiasa berusaha melaksanakan setiap sunnah tinggalan baginda SAW? Ataupun kehidupan seharian kita tiada bezanya... terus lalai dengan pancaroba dunia yang menggoda?

Marilah kita bermuhasabah akan diri sendiri.

Bicara seorang ahli agama amat menarik untuk direnungi. Katanya,"Jika cintakan RasuluLlah SAW, maka tunjukkanlah kecintaan itu dengan melakukan apa yang baginda SAW suka dan jauhi daripada apa yang dibencinya. Dengan kata lain melaksanakan suruhan Allah SWT dan meninggalkan laranganNya".

Sesuatu yang amat mudah untuk disebut tetapi amat sukar untuk dilaksanakan. Pesan seorang Ustaz dalam soal mengamalkan sunnah, "Buat sedikit tetapi istiqamah daripada langsung tak buat tetapi banyak berhelah".

Di samping itu, marilah kita sentiasa basahkan bibir kita dengan berselawat ke atas baginda SAW. Insya Allah, barangsiapa yang sentiasa mengingati baginda SAW, maka ia amat-amat disayangi oleh Allah SWT. Maka barangsiapa yang disayangi Allah SWT, maka akan dipertemukanNya dengan insan yang  dicintai yakni RasuluLlah SAW. Di mana lagi, jika tidak di syurga.
Moga ada manafaatnya. Ameen. 

Friday, January 18, 2013

Solehah ke MRSM Kota Putra

Tanggal 15-Jan-2013 (Selasa), dengan rasminya anak ketiga kami, Nur Solehah menjadi ahli warga MRSM Kota Putra, Besut, Terengganu. Proses pendaftaran sebagai pelajar Tingkatan 1 berjalan lancar AlhamduliLlah.

Solehah ditempatkan di Tingkat 4, Asrama Puteri Blok E. Satu-satunya asrama 4 tingkat khusus untuk semua pelajar perempuan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Begitulah lazimnya, pelajar Tingkat 1 di tingkat atas, diikuti pelajar-pelajar Tingkatan 2 dan 3 di tingkat pertengahan. Manakala pelajar Tingatan 4 dan 5 di tingkat bawah. Tidak mengapalah...

Kehadiran para pelajar baru disambut mesra oleh para pelajar senior. Bermula dari ketibaan di laluan masuk maktab sehinggalah tiba di bilik asrama. Satu budaya yang amat baik bagi memberi semangat dan menanam keyakinan diri ke jiwa pelajar baru. Harap-harap demikianlah selamanya. Dengan kata lain, tiada lagi budaya mendera atau buli orang baru.

MRSM Kota Putra adalah satu-satunya MRSM daripada 49 buah MRSM di seluruh negara yang mengendalikan program berkembar 3 dalam 1 merangkumi Ulul Albab (Tahfiz)-IGCSE (Cambridge Learner)-Sains Tulen (kurikulum umum MRSM).

Satu cabaran besar buat Solehah di mana rutin hariannya agak sibuk dengan aktiviti hafazan dan pembelajaran. Yakin boleh, Insya Allah boleh. Sesungguh Allah SWT sentiasa bersama-sama dengan mereka yang sentiasa mendampingkan diri kepadaNya.

Lebih menyeronokkan lagi, Laili berkesempatan bersua muka dengan Tuan Pengetua MRSM Kota Putra, (Cikgu) Haji Abdullah Abdul Rahman. Beliau adalah guru homeroom Laili ketika bersekolah di MRSM Kota Bharu hampir 30 tahun lalu. Kini Solehah pula menjadi pelajar di sekolahnya. Bermakna 2 generasi berada di bawah seliaan Cikgu Abdullah. Dengan bangganya beliau mengumumkannya ketika sesi taklimat kepada ibu bapa dan pelajar.

Turut serta menghantar Solehah mendaftar adalah atuk dan nenek. Manakala Hanisah dan Imran tidak bersama kerana bersekolah. Izzuddin di MRSM Serting pula sibuk menyambut kedatangan adik-adik Tingkatan 1 yang juga mendaftar pada hari yang sama.

Hari Ahad sebelumnya, kami bertolak balik ke rumah keluarga di Kuala Terengganu. Kesempatan yang baik untuk beramah mesra dengan ahli keluarga di kampung. Keesokan harinya kami bertolak pula ke Besut, menginap di Demong Beach Resort yang terletak tidak jauh daripada MRSM Kota Putra. Inilah juga resort yang kami singgahi kira-kira sebulan lalu ketika menghantar Solehah menghadiri sesi ujian dan temuduga kemasukan ke MRSM.

Kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur sekitar jam 3:00 petang setelah selesai menjamu selera di pekan Kuala Besut dan menghantar Solehah kembali ke asrama.

Terasa sayu di hati untuk meninggalkan Solehah di perantauan, jauh dari pandangan mata. Moga Solehah dikurniakan kekuatan untuk menghadapi setiap dugaan dan cabaran, lebih-lebih lagi menghadapi situasi homesick (rindu keluarga) yang sering dirasai oleh hampir setiap insan yang berpisah jauh dari ibu ayah dan adik beradik.

Jarak Kuala Lumpur-Kota Putra sekitar 500km. Satu jarak yang agak jauh, memakan masa perjalanan hampir 8 jam samada melalui Kuala Krai-Kuala Lipis ataupun LPT-Besut. Untuk kerap berkunjung menjenguk Solehah di Kota Putra adalah sesuatu yang mustahil. Namun sekali setiap bulan setiap pelajar diwajibkan balik bergantung kepada jadual yang telah ditetapkan oleh pihak maktab. 

AlhamduliLlah, kami mempunyai keluarga di Kuala Terengganu dan adik di Kota Bharu. Kepada mereka kami titipkan harapan untuk tolong tengok-tengok kiranya bantuan diperlukan. Itulah juga dipesankan kepada Solehah agar berhubung terus dengan emak dan bapa saudaranya di sana.

Moga segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Ameen.

Thursday, January 10, 2013

Antara Imtiaz dan MRSM

Tahun ini Nur Solehah mula melangkahkan kaki ke sekolah menengah. Namun sejak sekolah dibuka seminggu yang lalu, Solehah masih di rumah. Bukan ada sebarang masalah tetapi menunggu hari pendaftaran sekolah berasrama penuh pada awal minggu hadapan. Tahniah Solehah, itulah yang diimpikannya.

Dua minggu yang lalu, Solehah telah mendapat tawaran bersekolah di Sekolah Imtiaz Kemaman - salah satu kelompok sekolah terpilih kendalian Yayasan Terengganu yang berkonsep Ulul Albab (Hafazan Quran). Sesi temuduga dan ujian kemasukan telah dihadirinya pada 12 Dis 2012 lalu bertempat di Imtiaz Kuala Terengganu.

Kami merasa amat bersyukur kepada Allah SWT atas apa yang diperolehi oleh Solehah. Satu peluang yang tidak sewajarnya dilepaskan. Namun pada masa yang sama kami tertanya-tanya akan tawaran daripada MRSM. Masih adakah peluang untuknya?

Sebenarnya, sehari sebelum ditemuduga di Imtiaz, Solehah telah menduduki sesi ujian kemasukan bertempat di MRSM Kota Putra, Besut. Di MRSM terdapat beberapa program pengajian yang berbeza mengikut MRSM seperti Ulul Albab + IGCSE (Bahasa Inggeris), Ulul Albab sahaja, IGCSE sahaja dan Umum. Pilihan Solehah adalah Ulul Albab + IGCSE yang hanya terdapat di MRSM Kota Putra. 

Penantian kami akhirnya sampai ke penghujung. Dua hari lepas kami menerima SMS memaklumkan bahawa Solehah berjaya mendapat tempat di MRSM Kota Putra. AlhamduliLlah. Kami memberi kebebasan kepada Solehah untuk memilih antara Imtiaz ataupun MRSM - kedua-duanya baik dan kedua-duanya di Terengganu. Cabarannya lebih kurang sama, apatah lagi pengalaman pertama baginya berjauhan daripada keluarga.

Fikiran Solehah buntu dan akhirnya diputuskan secara bersama, MRSM rasanya lebih sesuai untuknya. Mungkin juga kesan aura ibunya, bekas pelajar MRSM Kota Bharu dan juga abangnya, Izzuddin yang kini di Tingkatan 5 di MRSM Serting, Negeri Sembilan.

TAHNIAH Solehah. Moga terus maju jaya dan cemerlang hidup di dunia dan di akhirat. Moga dikurniakan kekuatan oleh Allah SWT untuk menghadapi setiap cabaran dalam kehidupan. Ameen.

Tuesday, January 8, 2013

Muhasabah Tahun Baru

Tahun baru Masihi 2013 telah pun seminggu berlalu. Aura tahun baru masih dirasai. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang terlibat secara langsung dengan kehadirannya. 

Pendek Umur

Setiap kali tibanya tahun baru, fenomena sambutannya tampak begitu meriah sekali. Hampir semuanya berseronok menyambut kehadiran tahun baru. Sebahagiannya bagaikan tidak ingat dunia lagaknya. 

Apabila direnungkan, terasa pelik pula. Apa ke tidaknya. Hadirnya tahun baru menandakan bertambah setahun lagi usia kita, hakikatnya usia kita semakin pendek. Bermakna saat kematian semakin hampir. 

Apakah mereka merasa amat seronok dan gembira kerana usia mereka semakin pendek? Ataupun seronok menyambut kedatangan malaikat maut yang semakin dekat saatnya?

SubhanaLlah, sedangkan para malaikat merasa amat gerun apabila malaikat maut mendatangi mereka.


Azam Bertangguh

Bagi yang berazam baru pula, pasti ramai yang masih bersemangat mengubah diri bagi menggapai apa yang diidamkan. 

Malah tidak sedikit yang telah pun kecundang dek semangat diri yang 'melayu' sebelum sempat berdikari. Itulah akibatnya jika berazam mengikut musim - maka jadilah azamnya hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Pesan seorang ustaz ketika berkuliah Subuh, "Jika berazam atau bertekad ingin menjadi lebih baik daripada sebelumnya, usahlah bertangguh, segeralah laksanakan. Maksudnya, jangan ditetapkan masa, hari mahu pun tahun untuk berubah, dibimbangi hajatnya tidak kesampaian. Apatah lagi melibatkan pengabdian diri kepada Allah SWT. Ingatlah, setiap detik usia kita semakin pendek dan kita tidak tahu bila akan dipanggil pulang kehadrat Illahi".

Moga ada manafaat bersama.

Saturday, December 1, 2012

Petik Buah

Nostalgia Luar Negara

Cherry Haven @ Silvan - petik dan makan
Sekarang adalah musim panas di bahagian selatan benua Australia.

Salah satu aktiviti di musim panas yang popular adalah berkunjung ke ladang-ladang atau kebun-kebun buah-buahan untuk memetik buah. Bayaran masuknya sekitar AUD 5.00 dan makanlah sepuas-puasnya. Apa yang dibawa pulang itu yang dikenakan bayaran. Lazimnya buah ceri, strawberi dan epal menjadi tumpuan utama. 

Bagi kami sekeluarga, buah ceri adalah pilihan kami. Pepohonannya rendah sahaja tetapi rendang. Buah-buahnya berjuntaian di tangkai. Petik dan makan. Akan tetapi ada pantang larang ketika memetik - pastikan buahnya sahaja diambil tanpa merosakkan tampuk tangkai utamanya. Jika tidak anda boleh dihalau keluar dari ladang kerana dianggap sebagai 'anasir perosak'.

Realiti di Tanah Air

Sebahagian buah tangan yang dibawa pulang
Kini di tanah air kita pun musim buah-buahan.

Baru-baru ini, dalam perjalanan pulang ke Kg. Bukit Bangkong, kami menyinggah di rumah kakak ipar emak, Wak Tina (Suratina) di BB Salak. Di sebelah rumah Wak Tina adalah iparnya yang juga anak saudara abah, Abang Ari (Zahari). Di bahagian belakang rumah mereka adalah dusun buah-buahan. Buah-buahnya pula sedang masak mekar menunggu untuk dipetik.

Agaknya inilah dikatakan 'saudara buah' - musim buah baru nak bertandang. Dapatlah kami merasa makan pelbagai buah secara percuma.  Rambutan, manggis, durian, pisang, dokong, betik dan kelapa muda antara yang dihadiahkan mereka. Penuh bonet 2 buah kereta dibuatnya. Terima kasih Wak. Terima kasih Abang Ari. Moga kalian dimurahkan rezeki dan dirahmati Illahi. Ameen.

Menjolok manggis di hujung dahan
Di samping itu, ianya pengalaman menarik dan amat berharga kepada anak-anak kerana dapat merasa suasana dusun dan memetik sendiri buah-buahan. Ada yang boleh digetus terus dari tangkai, ada yang perlu dikait/jolok, ada yang dahannya perlu dicantas, ada masanya perlu dipanjat dan ada juga cukup sekadar menunggu gugurnya ke tanah. Walaupun 'berperang' dengan nyamuk yang dahagakan 'darah manis orang bandar', namun berbaloi dengan apa yang diperolehi - buah tangan dan pengalaman.

Di sebaliknya, umumnya didapati anak-anak zaman sekarang kurang menyukai makan buah-buahan, lebih-lebih lagi buahan tempatan. Jika tidak orang lain pun, anak-anak kami sendiri. Durian, manggis dan rambutan yang dibawa pulang hanya kami berdua sahaja yang makan dengan 'penuh perasaan', anak-anak hanya buat tak kisah sahaja.

Moga-moga ianya tidak berkekalan. Bukannya apa, silap-silap generasi mendatang tidak kenal lagi buahan eksotik negara seperti mana ada orang-orang sekarang yang tidak kenal lagi rupa pokoknya.

Sekali lagi -  Terima kasih Wak Tina. Terima kasih Abang Ari. Insya Allah lain kali kami datang lagi... (tak tahu malu punya saudara... :)

Thursday, November 22, 2012

Santai @ Trata' Leka

Hujung minggu baru-baru ini (17 - 18/11/2012), kami menghadiri undangan walimatul urus adik biras/ipar (Suraya) di Sri Menanti, Muar, Johor. Hampir seluruh anak cucu Hj Tauhid-Hjh Azizah turun ke sana. Dikira hitung hampir 30 orang kesemuanya. Alang-alang dah bertemu  muka, kami berpakat untuk menyewa resort/ homestay di Muar. Carian kami beberapa minggu sebelumnya menemukan kami dengan Trata' Leka yang terletak berdekatan Pantai Leka, Parit Jawa. 

Persekitaran hadapan Trata' Leka
Trata' Leka yang berkeluasan 4 ekar diusahakan oleh keluarga Dr. Rosli Nekmat, seorang consultant dari Kuala Lumpur. Kini ianya terdiri daripada 5 buah rumah tradisional iaitu Trata' Ibu (Limas Johor), Along (Umbai, Melaka), Angah (Limas Johor), Achik (Alor Gajah, Melaka dan Anjang (tree house). Juga dilengkapi kolam renang, kolam lotus, wakaf surau dan wakaf santai.

Persekitarannya nyaman sekali dengan kehijauan pepohonan renek dan bunga-bungaan pelbagai jenis yang melatari hampir keseluruhan kawasan, ibarat berada di dalam taman yang terbentang luas. Sejuk mata memandang, terasa damai di hati. 

Sebahagian daripada koleksi foto dapat diakses di Album Foto Kami (kiri laman) atau klik di sini.

Trata' Ibu menjadi rumah rehat keluarga, manakala selebihnya untuk disewa. Menurut Dr. Rosli, kesemua rumah tersebut adalah rumah asal yang dibeli dan dipasang kembali. Insya Allah usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan beberapa buah rumah lagi, antaranya rumah Minang, Kedah dan Perak termasuk sebuah rumah besar untuk dewan dan bilik seminar.

Kami menyewa kesemua 3 buah rumah termasuk tree house yang menghadap ke kolam renang. Pada malamnya, 2 anak bujang; Izzuddin dan Arif Farhan menjadi 'penunggu' tree house. Manakala lain-lain rumah dikongsi mengikut 'mahram jantina'. Menariknya, beberapa buah basikal pelbagai saiz disediakan untuk kegunaan penyewa. Hampir kesemua daripada kami menggunakannya termasuk atuk dan nenek.

Mandi-manda di kolam renang
Tiada aktiviti khusus untuk keluarga kerana hajat kami sekadar untuk bersantaian sesama ahli keluarga. Kolam renang menjadi tumpuan utama anak-anak (dan ibu bapa). Luasnya sederhana sahaja dan airnya tidak dalam, sesuai untuk anak-anak kecil. Apabila kesemua anak-anak turun, sesak kolam dibuatnya.

Pagi petang mereka berendam sambil melakukan pelbagai aktiviti bersama/ bersendirian. Jelas terpancar keseronokan pada wajah mereka. Demikianlah anak-anak apabila dapat bersama-sama dengan sepupu-sepapat mereka. Tidak kurang juga ibu-ibu dan bapa-bapa.

Di sela waktu antara Maghrib-Isyak dan selepas solat Subuh hingga waktu Syuruk, menjadi wadah pengisian ilmu yang disampaikan oleh Atuk Tauhid. Seronok-seronok juga (bersantaian cuti) tetapi jiwa dan hati juga perlu disuburkan dengan iman dan amal.

Di kesempatan yang ada, kami berbasikal menyusuri jalan menuju ke jeti nelayan di Pantai Leka. Bot-bot nelayan teroleng-oleng tertambat di tepian jeti. Kami singgah di penghujung jeti sambil menghayati persekitarannya. Deretan pepohon bakau dengan burung-burung putih bertenggek jelas kelihatan. 

Kembara ke jeti nelayan
Di tepian benteng pula banyak sekali kelihatan ikan belacak (mud skipper) bersantaian di atas batang-batang nibung. Adakalanya laju sekali 'mengepak' di atas air.

Tidak jauh daripadanya, kerja-kerja menurunkan ikatan-ikatan batang nibung ke dalam air sedang giat dilakukan. Menurut pekerja yang ditanya, ianya untuk mengelak kawasan tersebut daripada dicerobohi. Tidak pasti pula apa projek yang dirancangkan.

Bertolak pulang ke Kuala Lumpur, kami menyinggah makan di Restoran Abu Bakar Hanifah yang terletak tidak jauh dari Jalan Maharani. Menu utamanya pasti sahaja Mee Bandung Muar. Secara peribadi, juadahnya memang sedap tetapi rasa kurang selesa kerana ianya menumpang Restoran Wah San. Pelanggannya memang ramai, mungkin suatu hari nanti ia boleh hidup sendiri.

Selamat tinggal Trata' Leka dan Muar. Insya Allah teringin juga untuk kembali lagi. Jutaan terima kasih kepada Dr. Rosli dan isteri serta Sdr Najib yang melayan kami dengan baik sepanjang percutian kami. Moga kalian sentiasa dimurahkan rezeki olehNya. Ameen.

Tuesday, November 20, 2012

TAHNIAH Solehah!

"Kejayaan dan kecemerlangan adalah impian setiap insan. Namun sebagai hamba Allah SWT yang taat, kita sewajarnya redha dengan setiap ketentuanNya. Insya Allah, disebalik setiap apa yang dicapai pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Sesungguhnya Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hambaNya"
Itulah antara pesanan yang diberikan kepada Nur Solehah sebelum beliau melangkah ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan UPSRnya pagi semalam. Bukannya apa, Solehah meletakkan matlamat tinggi untuk mendapat 5A sedangkan dalam setiap ujian dan percubaannya sebelum ini subjek Bahasa Melayu sentiasa menjadi penghalang baginya. 

Tidak hairanlah kerana Solehah tidak pernah bersekolah rendah di tanah air setelah hampir 4 tahun berkelana di bumi Australia. Solehah memulakan persekolahannya di tanah air ketika di Tahun 5. Dalam jangkamasa 2 tahun amat sukar untuk menguasai segala 'lenggok' bahasa Melayu. Suatu cabaran yang amat perit baginya sehinggakan rembesan airmata dan tekanan emosi sentiasa menyelubunginya setiap hari. 

Tidak dapat dinafikan tekanannya lebih terasa kerana Solehah perlu mengikuti 2 sesi pengajian - paginya di sekolah kebangsaan manakala petangnya di sekolah agama. Walaupun ramai yang hanya memilih persekolahan di sekolah kebangsaan tetapi bagi kami, ilmu pengetahuan di sekolah agama lebih penting sebagai bekalan untuk kehidupan dunia dan akhirat yang lebih bermakna.

Sebagai ibu bapa, kami hanya mampu memberikan dorongan, sokongan moral, pandangan dan iringan doa agar Solehah tabah menghadapi setiap dugaan, cabaran dan ujian. Guru-guru pembimbing di kedua-dua sekolah didekati bagi memahamkan mereka akan kesulitan yang dihadapinya dan harapan yang diidamkannya. AlhamduliLlah, sokongan guru-guru amat baik dan banyak membantu perkembangan Solehah dalam pembelajarannya.

AlhamduliLlah, keputusan UPSR yang diperolehi oleh Solehah amat membanggakan - 5A sebagaimana yang diimpikannya. Berbaloilah dengan airmata yang tertumpah dan usaha tanpa mengenal jemu selama 2 tahun berhempas pulas.

TAHNIAH Solehah! Juga TAHNIAH untuk sepupunya, Arif Farhan yang juga mendapat 5A.

Hampir 2 minggu sebelumnya, keputusan peperiksaan sekolah agama Solehah, PSRA (Penilaian Sekolah Rendah Agama) yang diduduki selepas UPSR juga membuahkan kejayaan cemerlang. Solehah mengungguli pangkat tertinggi, MUMTAZ. Satu-satunya pelajar yang memperolehi pangkat tersebut di sekolahnya, KAFA (I) al-Ridhuan. 

Sekali lagi TAHNIAH Solehah! Anggaplah kedua-dua kejayaan yang dicapai ini sebagai hadiah paling bermakna sempena genap usia 12 tahunnya yang jatuh pada 13/11/2012 lalu.

"Disebalik setiap kejayaan diperolehi, usah lupa mengucapkan syukur kepada Allah SWT (AlhamduliLlah) kerana setiap kejayaan dan kecemerlangan yang diperolehi adalah anugerah daripadaNya. Walaupun di mana berada, bersujud syukurlah kepadaNya sebagai tanda berterima kasih"

Harapan kami sebagai ibu bapa, berusahalah untuk mengekalkan kejayaan dan kecemerlangan akademik yang diperolehi untuk hari-hari mendatang. Namun kejayaan dan kecemerlangan hakiki adalah berusaha menjadi hamba Allah SWT yang diredhaiNya. Kaedahnya jadilah hamba Allah yang bertaqwa yakni taat atas setiap perintah dan laranganNya. Itulah harapan sebenar kami sebagai bekal untuk dibawa ke akhirat. Ameen.