Showing posts with label musim buah. Show all posts
Showing posts with label musim buah. Show all posts

Tuesday, November 14, 2017

Duku Terengganu...

Duku adalah buahan bermusim. Sekarang ini Duku Terengganu dah pun habis musimnya. Sekitar sebulan setengah hingga dua bulan sahaja. Biasanya di akhir September hinggalah awal November.

Duku Terengganu... kulitnya nipis, tidak seperti Duku Johor yang berkulit tebal. Isinya berulas, jernih warnanya. Bijinya pahit jika tergigit.

Duku awal musim
Di luar Terengganu, terutama di Pantai Barat... Duku Terengganu dikenali sebagai Duku Langsat. Bagi mereka, Duku Johor itulah Duku. Namun bagi orang Terengganu, tiada duku langsat atau selainnya daripada duku yang mereka kenali sejak zaman berzaman. Langsat pula adalah spesis duku yang berlainan rupa dan rasanya. Samalah seperti dokong.

Pada tahun ini duku di Terengganu kurang menjadi. Justeru itu harganya sedikit mahal daripada kebiasaan iaitu sekitar RM4.00 - RM7.00 sekilogram. Lazimnya harga di saat lambakan duku sekitar RM2.00 sekilogram sahaja. Bagi pengemar duku, harga bukan penghalang. Apatah lagi datangnya hanya setahun sekali dalam jarak waktu yang amat pendek. Jika berkira pada harga, tidak merasalah jawabnya...

AlhamduliLLAH, kali ini kami dapat makan duku sepuas-puasnya sehingga terasa se'eh perut (kekenyangan) dibuatnya. Di pertengahan Oktober lepas kami pulang ke kampung halaman di Kuala Terengganu. AlhamduliLLAH ada rezeki untuk kami dari pokok duku di belakang rumah ayahanda. Sebagai buah tangan untuk ahli keluarga dan kenalan di Lembah Kelang pula kami dapatkannya di Pasar Kedai Payang.

Satu fakta yang menarik tentang duku ini ialah lazimnya buah ini dipetik pada waktu tengahari atau petang bagi mengelakkannya daripada pecah. Ini kerana ianya amat sensitif kepada cuaca lebih-lebih lagi jika datangnya musim hujan. 

Satu lagi yang menarik... untuk memetik duku, pokoknya mestilah dipanjat. Si pemanjat pula mestilah memakai kain sarung, jika tidak tiada gunanya memanjat. Inilah yang menjadi gurauan ramai sehingga terpingga-pingga orang yang tidak tahu hujung pangkalnya.

Selempang Sarung (sumber internet)
Sebenarnya kain sarung ini dijadikan selempang dan diikatkan kedua-dua hujungnya. Di dalam kain sarung inilah diletakkan buah-buah duku yang dipetik dari tangkainya. Setelah penuh maka diturunkan menggunakan tali panjang yang turut dibawa bersama untuk disambut oleh orang yang menunggu di bawah pokok. Setelah dikosongkan, kain sarung ini dinaikkan kembali untuk diteruskan tugasan memetik buah duku.

Inilah keunikan memetik buah duku. Hingga kini masih dipraktikkan kaedah yang sama. Pemandangan menarik bagi generasi baru dan juga orang luar dari Terengganu.

Teringat akan zaman kanak-kanak dahulu. Di saat buah duku sedikit menguning di tangkai, pokoknya dah pun dipanjat dek tidak tahan 'menanggung rindu' akan keenakan isinya. Yalah datangnya setahun sekali sahaja...

Cuma kanak-kanak zaman sekarang... sebahagian besarnya buat endah tak endah sahaja walaupun buah duku berlonggok di depan mata... Kebanyakannya lebih sukakan donut, pizza, muffin dan lain-lain makanan segera daripada buah-buahan tempatan. Nampaknya sesuatu yang tidak sihat sedang menyerang generasi alaf moden...

Salah siapa...? Jawapan ada pada diri kita sendiri...!

Thursday, September 19, 2013

Musim Buah

Hujung minggu baru-baru ini saya berada di Kuala Terengganu - menjenguk Solehah di MRSM Kota Putera, Besut dan bawa balik bermalam ke rumah keluarga di Manir.

Menariknya pulang ke kampung kali ini, didapati deretan gerai buah-buahan di tepian jalan  tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Begitu juga halnya di pasar-pasar dan pinggiran jalan di tengah pekan dan bandar.

Durian, rambutan dan duku; antara yang menjadi tumpuan utama. Sememangnya buah-buahan ini sedang menjadi-jadi di Terengganu. Maka tidak hairanlah gerai-gerainya juga mudah ditemui, hatta di hadapan rumah sekali pun.

Itulah nikmat kurniaan Illahi untuk rakyat Terengganu. Ketika buah-buahannya mudah diperolehi dan pastinya harga pula amat murah, inilah masanya untuk kita berkenduri sakan - setakat terdaya tanpa memudaratkan diri. Bersyukurlah dengan apa yang diperolehi.


Kami tiada dusun buah-buahan, cuma beberapa batang pokok di sekitar rumah. Sayangnya duku tidak berbuah, mungkin telahpun 'menopous' (berhenti berbuah). Durian pula tiada pokoknya. Yang ada pun pokok rambutan. Dapatlah diperolehi sedikit sebanyak hasilnya. Itupun bergantung kepada jenisnya seperti rambutan gading, anak sekolah dan gula batu.

Namun, AlhamduliLlah... kami (saya dan Solehah) dapat makan durian dan duku sepuas-puasnya. Durian dijual secara longgok, menunjukkan bahawa durian amat banyak di pasaran. Jika tidak, pasti mengikut harga per kilogram atau pun secara paket.

Manakala duku pula dijual sekitar RM1.50 - RM2.00/kg. Sekiranya rajin, bolehlah beli di pokok dengan harga RM1.00/kg - syaratnya kenalah panjat sendiri. Jika bernasib baik boleh sahaja dapat secara percuma.

Bagi yang mempunyai dusun buah-buahan, pasti sahaja suasananya lebih meriah. Apatah lagi dengan kehadiran ahli keluarga serta sanak saudara yang tinggal berjauhan. Inilah masanya masing-masing tersenyum lebar sambil lunak berbahasa - kata orang 'saudara buah'.

Tempias musim buah ini turut dirasai di seluruh tanah air. Di mana-mana sahaja buah-buahan ini mudah diperolehi. Malah di sesetengah tempat, diadakan pesta makan buah terutamanya durian. Jadi, jangan lepaskan peluang jika diberi peluang. Jika tidak, beli sahaja tika buah-buah tersebut sedang membanjiri pasaran. Usah ditunggu-tunggu. Ini kerana musim buah durian dan duku telahpun di penghujungnya.

Saturday, December 1, 2012

Petik Buah

Nostalgia Luar Negara

Cherry Haven @ Silvan - petik dan makan
Sekarang adalah musim panas di bahagian selatan benua Australia.

Salah satu aktiviti di musim panas yang popular adalah berkunjung ke ladang-ladang atau kebun-kebun buah-buahan untuk memetik buah. Bayaran masuknya sekitar AUD 5.00 dan makanlah sepuas-puasnya. Apa yang dibawa pulang itu yang dikenakan bayaran. Lazimnya buah ceri, strawberi dan epal menjadi tumpuan utama. 

Bagi kami sekeluarga, buah ceri adalah pilihan kami. Pepohonannya rendah sahaja tetapi rendang. Buah-buahnya berjuntaian di tangkai. Petik dan makan. Akan tetapi ada pantang larang ketika memetik - pastikan buahnya sahaja diambil tanpa merosakkan tampuk tangkai utamanya. Jika tidak anda boleh dihalau keluar dari ladang kerana dianggap sebagai 'anasir perosak'.

Realiti di Tanah Air

Sebahagian buah tangan yang dibawa pulang
Kini di tanah air kita pun musim buah-buahan.

Baru-baru ini, dalam perjalanan pulang ke Kg. Bukit Bangkong, kami menyinggah di rumah kakak ipar emak, Wak Tina (Suratina) di BB Salak. Di sebelah rumah Wak Tina adalah iparnya yang juga anak saudara abah, Abang Ari (Zahari). Di bahagian belakang rumah mereka adalah dusun buah-buahan. Buah-buahnya pula sedang masak mekar menunggu untuk dipetik.

Agaknya inilah dikatakan 'saudara buah' - musim buah baru nak bertandang. Dapatlah kami merasa makan pelbagai buah secara percuma.  Rambutan, manggis, durian, pisang, dokong, betik dan kelapa muda antara yang dihadiahkan mereka. Penuh bonet 2 buah kereta dibuatnya. Terima kasih Wak. Terima kasih Abang Ari. Moga kalian dimurahkan rezeki dan dirahmati Illahi. Ameen.

Menjolok manggis di hujung dahan
Di samping itu, ianya pengalaman menarik dan amat berharga kepada anak-anak kerana dapat merasa suasana dusun dan memetik sendiri buah-buahan. Ada yang boleh digetus terus dari tangkai, ada yang perlu dikait/jolok, ada yang dahannya perlu dicantas, ada masanya perlu dipanjat dan ada juga cukup sekadar menunggu gugurnya ke tanah. Walaupun 'berperang' dengan nyamuk yang dahagakan 'darah manis orang bandar', namun berbaloi dengan apa yang diperolehi - buah tangan dan pengalaman.

Di sebaliknya, umumnya didapati anak-anak zaman sekarang kurang menyukai makan buah-buahan, lebih-lebih lagi buahan tempatan. Jika tidak orang lain pun, anak-anak kami sendiri. Durian, manggis dan rambutan yang dibawa pulang hanya kami berdua sahaja yang makan dengan 'penuh perasaan', anak-anak hanya buat tak kisah sahaja.

Moga-moga ianya tidak berkekalan. Bukannya apa, silap-silap generasi mendatang tidak kenal lagi buahan eksotik negara seperti mana ada orang-orang sekarang yang tidak kenal lagi rupa pokoknya.

Sekali lagi -  Terima kasih Wak Tina. Terima kasih Abang Ari. Insya Allah lain kali kami datang lagi... (tak tahu malu punya saudara... :)

Thursday, September 22, 2011

Kedondong Picking

Di luar negara khususnya ketika kami bermukim selama 4 tahun di Victoria dan South Australia, aktiviti memetik buah-buahan tempatan adalah antara rutin tahunan kami. Selalunya buah ceri, epal dan strawberi menjadi tumpuan ramai.

Kebanyakan pengusaha ladang buahan berkenaan akan membuka ladang mereka kepada para pengunjung. Lazimnya kadar bayaran masuk tertentu akan dikenakan. Mana-mana buah yang dibawa keluar perlulah dibayar dengan harga per kilogram yang telah ditetapkan.

Berada di ladang, petiklah sebanyak mana yang diinginkan dan makanlah sepuas-puasnya sebanyak mana yang terlarat. Akan tetapi perlu diingat, hanya buah yang diperlukan sahaja dipetik dengan kaedah yang dibenarkan bagi mengelakkan 'pokok merajuk tidak berbuah'.

Jika diperhatikan, tiadalah apa yang istimewanya sangat. Sekiranya nak makan, lebih baik beli di pasar buah sahaja, harganya jauh lebih murah dan banyak pilihannya. Cuma seronoknya dari segi pengalaman, apatah lagi berada di negara orang. Itulah yang mahal harganya.

Di Malaysia, pernah juga kami mendengar kedapatan dusun-dusun tertentu yang menyediakan eko-pelancongan seumpamanya. Buah rambutan, duku, langsat, durian dan manggis antara yang popular. Entahlah ada atau tidak lagi aktiviti seumpamanya.

Ketika bertandang ke rumah seorang sepupu di Bkt. Bangkong baru-baru ini, anak-anak dapat merasai satu pengalaman baru, memetik buah kedondong (kedondong picking) - foto sebelah. Pokoknya sebatang sahaja, tegak berdiri di tepi dapur rumahnya. Buah lonjong kehijauan lebat bergayutan di tangkai.

Bagi anak-anak, inilah pertama kali mereka melihat buah ini. Apatah lagi memetiknya sendiri dari pokok. Dengan berbekalkan pengacip dahan, tangga dan bakul rotan, buah kedondong yang bertangkai dipotong dan dimasukkan ke bakul. Dapatlah kami sekeluarga 2 beg plastik penuh 'buah tangan' untuk dimakan dan dibuat jeruk.

Kepada anak-anak dikisahkan juga cerita anak-anak kampung dahulu yang suka meredah semak dan kebun-kebun. Dipoket seluar/baju sentiasa tersedia ketulan garam. Gunanya untuk dijadikan pencicah ketika bertemu buah kedondong ataupun pucuk jambu ataupun apa sahaja buah/daun kayu yang boleh dimakan.

Kisah di zaman kanak-kanak yang sama tidak kira di mana sahaja. Imbauan nostalgia lama anak kampung yang telah pun hilang ditelan kemodenan.

Friday, December 3, 2010

Musim Buah

Setiap buah-buahan mempunyai musimnya yang tersendiri. Ada yang berbuah sepanjang tahun dan ada yang berbuah hanya sekali-dua dalam setahun. Tidak kira di pelusuk bumi mana pokoknya tumbuh. Segalanya telah ditetapkan oleh Allah SWT sejak azali lagi dengan hikmah dan rahmat yang hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Sebagai hambaNya, sewajarnya kita sentiasa bersyukur atas kurniaanNya.

Mengakhiri musim bunga, menjelma pula musim panas menyaksikan beberapa buahan tempatan Australia mula mendominasi pasaran. Buahan berbiji keras (dipanggil Stone Fruits) 4 serangkai; nectarine, peach, apricot dan plum adalah antara yang banyak dijual. Kami sekeluarga kurang menggemarinya kerana rasanya tidak kena dengan selera khatulistiwa.

Di samping itu, buah ceri, antara buah yang kami sukai telah pun bermula musimnya. Harga di pasaran kini antaranya AUD 6 – AUD 13 sekilogram, bergantung kepada jenis dan kualitinya.

Bagi yang ingin merasai sendiri pengalaman memetik ceri di pokok, beberapa ladang ceri di sekitar Melbourne telah pun dibuka. Cherry Haven di Wandin, Blue Hill di Olinda dan Red Hill di Mornington Peninsula adalah antara ladang ceri yang mulai dikunjungi ramai.

Musim memetik ceri tidak lama, kira-kira sebulan sahaja dan akan berakhir di pertengahan Januari setiap tahun. Menariknya tentang memetik ceri ini adalah para pengunjung boleh memakan sebanyak mungkin tanpa bayaran tambahan, cuma yang dibawa keluar sahaja perlu dibayar.

Hampir setiap tahun kami mengunjunginya. Untuk tahun ini belum pasti lagi...

Buah mangga juga kini sedang rancak dijual. Ianya telah bermula sejak 2 bulan lalu, ketika navel orange telah pun tiba di penghujung musim. Di saat lambakan mangga melimpah di pasaran, harganya jatuh sehingga AUD 3/kotak. Di sepanjang musim mangga, sempatlah kami memakan sepuas-puasnya.

Pada ketika yang sama, buah loquat di belakang rumah sewa kami juga meranum masaknya. Walaupun buahnya tidaklah sebanyak tahun lepas tetapi cukup untuk kami berkongsi makan bersama-sama rakan-rakan yang berdekatan. Juga turut sama dirasai oleh emak-abah serta keluarga Eusni Rahayu dari Sydney yang berkunjung ke rumah kami pada akhir bulan lepas.

Dalam kemewahan pelbagai jenis buahan, rindu kami pada buahan tempatan di Malaysia tidak kunjung padam. Durian, rambutan, manggis dan nangka amat mudah ditemui di Australia tetapi harganya amat mahal. Tidak mengapalah... tidak lama kami akan pulang ke tanah air. Insya Allah di saat itu dapatlah kami memakan semahunya...8)


Thursday, July 22, 2010

Tempias Musim Durian

Dengar khabar kini musim durian di Malaysia. Alahai... sedapnya. Teringat akan bermacam jenis durian yang amat menyelerakan; antaranya durian kunyit, tembaga, kampung dan pelbagai jenis durian kacukan lagi.

Setiap kali tibanya musim raja buah ini, pasti kami tidak lepaskan peluang memborongnya. Makan sepuas-puasnya. Satu rumah berbau durian.
Jika ada rezeki, pokok durian di sebelah rumah mertua di Kg. Bukit Bangkong, Selangor akan mengeluarkan hasilnya. Dapatlah kami merasa buah dari pokok sendiri.

Ketika pulang ke Terengganu pun tidak kurang seronoknya apabila dijamu dengan durian yang terbaik. Dibeli oleh ayah semata-mata untuk kami sekeluarga terutama untuk cucu-cucunya.

Itu ketika di Malaysia. Di Melbourne ini kami terpaksa menahan keinginan. Bukannya tiada...ada, malah amat mudah untuk diperolehi tetapi harganya mahal, antara AUD 4.00 – 6.00 sekilogram. Tak mengapalah.. tunggulah ketika pulang ke tanah air nanti.

Namun, sesekali dapatlah juga kami merasai keenakan durian apabila diadakan majlis keraian. Kebiasaannya akan ada rakan-rakan yang menyediakan juadah berasaskan durian samada serawa durian, masak tempoyak ataupun disalutkan dengan ikan bakar.

Di sini, durian biasanya dibawa masuk dari Thailand dan juga Malaysia. Buahnya tidak berbau tetapi rasanya sama sahaja. Boleh didapati dalam bentuk buah sebiji ataupun paket samada di kedai buah, kedai barangan Asia mahupun di pasaraya tertentu.

Walaupun buah durian ini ada di Australia tetapi penggemar utamanya adalah orang-orang Asia keturunan Siam, Vietnam, Cambodia dan juga Melayu. Hanya segelintir sahaja orang kulit putih yang menyukainya terutama yang pernah merasainya.

Emm... raja buah hanya gah di negara sendiri tetapi tidak di negara orang. Begitulah lumrahnya.

Tuesday, November 24, 2009

Loquat

Di belakang rumah kami ada beberapa batang pokok buah-buahan. Ada pokok lemon – lebat buahnya. Ada pokok plum kecil – masih putik lagi. Ada pokok fig @ tiin – hairan pula buahnya kurang menjadi tahun ini. Dan sebatang pokok yang ingin saya sentuh kali ini, pokok loquat.

Pokok loquat ini tidaklah berapa tinggi, kira-kira 15 kaki. Pernah juga dilihat pokok tersebut di laman rumah orang, rendah sahaja. Mungkin masih muda lagi. Daunnya berbentuk tirus berwarna hijau gelap, merimbun lebat.

Biasanya pokok ini berbunga di akhir musim sejuk, menghasilkan buah yang berwarna jingga (orange) ketika masak di pertengahan musim bunga. Buahnya besar sedikit daripada guli, berbulu halus, bergugusan di hujung ranting. Isinya manis dan sedap ketika ranum. Tidak hairanlah digemari burung yang banyak di sekitar rumah. Bijinya pula bulat dan licin. Rakan-rakan Malaysia mengatakan buahnya seperti buah remia. Entahlah, kami sendiri pun tak kenal macam mana rupa buah remia tu…8)

Telah lama kami berusaha mendapatkan namanya yang sebenar tapi tidak ketemu. Pernah bertanya kepada tuan rumah, mereka tak pasti. Begitu juga kepada beberapa kenalan Australia.
Setelah 3 tahun bermain-main di fikiran, beberapa hari lalu barulah terjawab persoalannya setelah dimaklumkan oleh Kak Arifah, rakyat Malaysia yang kini menetap di Endervour Hills. Disahkan pula dengan pencarian di internet. Loquat…begitulah namanya. Pelik sekali bunyinya.

Kini buah loquat di pokok hanya tinggal sedikit, itu pun di hujung julai yang tinggi. Sebahagiannya telah pun diambil (panjat dan kait) dan dibahagi-bahagikan kepada rakan-rakan Malaysia di Dandenong dan juga jiran sebelah.

Tidak lama lagi musimnya akan berakhir. Tunggulah setahun lagi, itupun jika kami masih ada di sini. Nampak gayanya kenalah makan sepuas-puasnya kerana buahnya tidak pernah ditemui dijual di mana-mana. Nanti kempunan pula..8)